Seruling Malam

Jam menunjukkan tepat pukul sepuluh malam.  Krishna hampir menjadi letih dengan amarahnya sendiri. Dia yang patut balik ke kampung untuk menyambut Onam bersama keluarga pada keesokan hari terpaksa bekerja lebih masa pada malam itu.

“Krishna, sudah pun lewat malam. Kata nak balik hari ini, tetapi sampai sekarang kamu tak pulang,” kata amma dalam panggilan telefon.

Amma, minta maaf. Saya terpaksa kerja lebih masa malam ini untuk mengganti seorang staf. Staf yang sepatutnya bekerja syif malam akan masuk kerja lewat nanti sebab ada hal keluarga,” kata Krishna.

Amma faham. Kalau begitu, kamu datang esok. Urvashi chechi dan Murali etta baru sahaja pulang sebentar tadi dari Kuala Lumpur,” jawab Amma.

“Baik, amma. Saya ada beli dua pasang sari kasavu. Satu untuk amma dan satu lagi untuk chechi. Ada juga beli sepasang mundu untuk etta. Esok saya bawa,” ujar Krishna.

“Terima kasih banyak-banyak, Krishna. Jalan baik-baik nanti,” pesan amma.

“Baik, amma,” balas Krishna.

Krishna membelek fail berwarna merah di atas meja. Dia meneliti jadual waktu kerja yang baharu. Kemudian, dia terus menaip sesuatu pada komputer.

Krishna sibuk dengan kerja sehingga pukul dua belas tengah malam. Staf yang diganti telah pun sampai. Krishna berasa letih mula menyelubungi diri tetapi dia segera bersiap untuk pulang ke rumah.

Krishna menunggang motosikal dari tempat kerja di Ipoh ke rumah sewa di Gopeng dengan penuh rasa letih dan lapar. Dia berhenti seketika di hadapan sebuah kedai makan untuk membungkus makanan. Setelah selesai, dia meneruskan perjalanan.

Waktu malam dengan keadaan gelap-gelita menyebabkan Krishna menunggang motosikal dengan lebih cermat. Petrol hampir habis. Dia terpaksa berhenti di sebuah stesen minyak yang terletak berhampiran.

Ketika mengisi petrol, Krishna terlihat seorang lelaki tua yang sedang duduk di hadapan sebuah kuil bertentangan stesen minyak. Dia anggap itu hanya halusinasi kerana dia terlampau letih dan mengantuk. Namun, apa yang mengejutkan adalah apabila orang tua tadi memandang tepat ke arahnya dan melambai.

Krishna agak kekeliruan tetapi dia memberanikan diri untuk berjumpa secara dekat. Selain orang tua itu, tiada siapa pun yang berada di perkarangan kuil. Suasana sunyi dan sepi membuatkan Krishna berasa tidak selesa.

“Pak cik siapa? Kenapa duduk di sini?” Krishna bertanya.

“Saya sudah lama menunggu di sini,” jawab orang tua sambil mengelap air mata.

Krishna rasa tidak sedap hati. Dia hendak pulang ke rumah dengan segera tetapi dia keberatan untuk meninggalkan orang tua itu di situ. Perasaannya bergelora seperti ombak di lautan biru.  

“Boleh kamu temankan saya malam ini?” tanya orang tua dengan suara yang sayu.

“Pak cik … Pak cik tak sihat? Pak cik mahu makan?” tanya Krishna sambil menunjukkan bungkusan makanan yang dipegang.

“Saya tidak mahu makan. Saya hanya rasa sedih dan sunyi. Tiada siapa pun yang mahu menemani saya,” balas orang tua itu sambil menangis.

“Di mana anak-anak pak cik?” Krishna bertanya.

“Sudah lama mereka tidak menjenguk saya di sini,” ujar orang tua itu.

“Sudah berapa lama?” soal Krishna dengan perasaan ingin tahu.

“Sudah lima tahun. Anak-anak tidak mengambil tahu pasal saya. Mereka juga tidak menghadiri upacara kematian saya,” jawab orang tua itu sambil memandang wajah Krishna.

Perasaan Krishna berkecamuk. Dia tidak mampu berkata-kata pada saat itu. Jantungnya berdegup laju ketika itu.

“Pak cik, saya … saya balik dahulu, ya. Su … sudah … lewat,” kata Krishna sambil tangannya mencapai topi keledar dengan pantas.

Tanpa melengahkan masa, dia beredar dari situ. Dirinya diselubungi ketakutan.  Dia menunggang motosikal dengan laju.

Dalam perjalanan pulang, bermacam-macam perkara bermain dalam fikiran Krishna. Dia tidak dapat menumpukan perhatian. Hatinya rasa tidak tenteram.

Keadaan menjadi lebih keruh apabila dia terbau kemenyan ketika melalui satu selekoh tajam. Bayu malam yang sejuk dan bau kemenyan yang menusuk hidung mengganggu emosi Krishna. Dia hanya mampu berdoa ketika itu.

Tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi seruling. Bunyi seruling yang merdu pada saat tengah malam membuatkan bulu romanya berdiri tegak. Krishna tidak dapat mengelak daripada serangan gementar.

Kali ini, dia menunggang motosikal dengan lebih laju. Dia mahu pulang secepat mungkin. Dia pasti ada sesuatu yang tidak kena pada malam itu.

Tiba-tiba, dia rasa motosikalnya agak berat seolah-olah ada seseorang membonceng di belakang. Dia memandang cermin sisi sebelah kanan. Orang tua yang ditemui di hadapan kuil sedang membonceng di belakang sambil tersenyum!

Mata Krishna terbeliak. Motosikal yang ditunggang terus hilang kawalan lalu terbabas. Dia terjatuh di atas jalan dan dilanggar sebuah treler sebelum maut datang menjemput.

 

Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika.