Jendela Alam


Bulan purnama tersenyum di langit

Gugusan bintang menghiasi malam

Sungguh indah khazanah alam

Anugerah yang tiada nilai ringgit

 

Padi malinja berwarna kuning keemasan

Bendang sawah padi penuh kehijauan

Kebersihan dan kesegaran alam persekitaran 

Menjamin kualiti kehidupan dan kesihatan

 

Kehidupan di kota semakin terbelenggu

Kekayaan membuat mata terus kabur

Jika hendak flora dan fauna hidup subur

Pastikan habitat di hutan tidak diganggu

 

Nakhoda kapal belayar di lautan

Samudera biru memberi salam

Haiwan liar perlukan perlindungan

Hidupan liar semakin terancam

 

Kesibukan kota punca tekanan diri

Gaya hidup sedentari semakin menjadi

Pembalakan haram meningkat saban hari

Kawasan hutan tidak mampu berfungsi

 

Luas pemandangan di tepi pantai

Rasa seronok keluarga bersantai

Meneroka tanah jangan memandai

Banyak projek yang terbengkalai

 

Kelibat harimau di Batang Kali

Kebimbangan semakin menghantui

Sungai tercemar sering kali

Tahap kualiti air diragui

 

[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika.]