Siapakah Si Beruk Tua?

“Beruk Tua bukan sebarang bos. Ini beruk ada kelas punya, sama kelas dengan beruk Brahmin yang menjaga segala kuil-kuil itu.”

Saya tertarik membaca petikan di atas daripada novel satira berjudul Beruk Tua (2013) karya Yahaya Ismail semata-mata kerana ada rujukan kepada agama Hindu menerusi penggunaan istilah “Brahmin” dan “kuil”.

Siapakah watak yang digelar “Beruk Tua” dalam novel ini? Sejak awal, penerbit sudah memaklumkan bahawa cerita ini tidak ada kena-mengena dengan beruk yang hidup tapi ada kena-mengena dengan beruk yang mati.

“Sekiranya ada manusia menganggap dirinya salah satu watak beruk dalam cerita ini, apa boleh buat … itu pilihan diri sendiri. Penerbit dan pengarang tidak boleh disaman kalau dia identifikasikan dirinya seperti beruk dalam kisah ini,” kata bahagian Peringatan itu lagi.

Yahaya Ismail @ Mustapha bin Ismail lahir pada tahun 1940 di Parit Buntar, Perak. Antara karya beliau ialah novel satira politik Langkah Kiri (1968) dan Penghuni Kamar 14 (1969), serta kumpulan cerpen Maharaja Beruk dan Beruk-beruk Lainnya (1988).

Handsome juga wajah aku,” akui watak Beruk Tua pada halaman pertama novel Beruk Tua setebal 364 halaman. “Jangan kalian [pembaca] samakan aku dengan makhluk-makhluk lain. Aku ni ada kelebihan yang diberi Tuhan.”

Tuhan dirujuk sebagai “Dewata Mulia Raya” dengan amat kerap dalam novel satira ini. Watak Beruk Tua digambarkan sebagai dipilih oleh Dewata Mulia Raya menjadi pemimpin para beruk, monyet, kera, lotong, dan siamang untuk “membentuk sejarah baru bagi kaum-kaum ini”.

Dalam mimpinya, Dewata Mulia Raya telah hadir dan berbisik kepada Beruk Tua bahawa dia bakal menjadi pemimpin yang menguasai lembah, tasik, gunung, dan bukit.

Isterinya, Beruk Kimci, turut mempromosikan kepada semua bahawa suaminya adalah anugerah Dewata Mulia Raya yang bakal menjadi ketua kerajaan. Beruk Kimci yakin, Beruk Tua adalah “pemimpin pilihan Dewata Mulia Raya”.

Anak betina kepada pasangan Beruk Tua dan Beruk Kimci juga mempercayai hakikat bapanya adalah “bakal ketua kerajaan” dan “anugerah serta pilihan Dewata Mulia Raya yang tidak boleh disangkal beruk-beruk jenis apa sekali pun”.

Memandangkan ini sebuah karya fiksyen, maka tidak perlulah kita cuba memikirkan, decipher, atau mentafsir siapakah Beruk Tua dalam dunia realiti. Sebaliknya, minat saya tertumpu hanya kepada kenyataan yang meletakkan Beruk Tua “sama kelas dengan beruk Brahmin yang menjaga segala kuil-kuil”.

Setakat ini nampaknya memang darjat dan kedudukan Beruk Tua amat tinggi kerana watak itu digambarkan sebagai beruk yang dipilih sendiri oleh Dewata Mulia Raya untuk menjadi perdana menteri.

“Dia tidak ada cacat celanya. Dia maha hebat. Dia maha gagah. Dia menjadi pujaan sekalian beruk, kera, monyet dan siamang baik jantan mahu pun betina.” Demikian diakui oleh semua.

Namun begitu, pembacaan lanjut novel satira ini mendedahkan sisi lain watak Beruk Tua dan “perjuangan suci untuk merebut takhta kerajaan”. Ternyata Beruk Tua dalam novel Beruk Tua tidak layak diletak “sama kelas dengan beruk Brahmin yang menjaga segala kuil-kuil”.

Beruk Kimci iaitu isteri kepada Beruk Tua sendiri melakukan aksi breaking the fourth wall, lalu mendedahkan identiti sebenar suaminya kepada pembaca sebelum berpesan:

Please simpan rahsia ini. Keep it a secret between you and me only. Okay?”

Segala rahsia tentang identiti sebenar Beruk Tua boleh dibaca dalam novel satira ini yang saya anggap memang menghiburkan.

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau berpengalaman mengendalikan program galakan membaca dan bengkel penulisan di seluruh negara sejak tahun 1994 – biodata penuh]