Lima Sasterawan Kavyan masing-masing mengemukakan dua soalan yang kemudian dikumpul dan dijawab secara berasingan oleh kelima-lima individu terbabit. Berikut jawapan daripada M. Mahendran.
1. Siapa yang menjadi inspirasi kepada anda menulis (selain mana-mana penulis)?
Bapa saya, S. Mathavan, sering menulis ke ruangan “Surat
Dari Pembaca” di akhbar dan majalah Tamil. Ibu saudara saya, Saratha Kannan,
menulis cerpen dan drama Tamil ke akhbar, majalah dan radio. Begitu juga dengan
abang saya, Mad Sentul. Aktiviti mereka mendorong saya untuk terlibat sama
dalam bidang penulisan.
2. Dari manakah datangnya idea atau inspirasi untuk anda menulis?
Idea datang dari keadaan sekeliling dan apa yang
berlaku di dalam dan luar negara.
3. Apakah karya sulung/pertama yang tersiar/terbit? Bagaimana peluang menyiarkan karya itu muncul?
Cerpen bahasa Tamil saya terbit di majalah Mayil dengan tajuk “Ezhmayin Vilayattu”
pada tahun 1987. Itu adalah cubaan pertama saya menulis cerpen selain menulis
surat pembaca sejak tahun 1984. Manakala cerpen sulung dalam Bahasa Malaysia
bertajuk “Karupaya” ditulis untuk Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP pada tahun
1987 dan diterbitkan dalam antologi cerpen Menara
(1988). Boleh dibaca dalam buku Karupaya (2018).
4. Berapa banyak tempoh waktu diperuntukkan untuk membaca dan membuat kajian sebelum menghasilkan karya?
Itu tertakluk kepada tema dan panjang karya yang ditulis.
Kebanyakan cerpen saya mengambil masa selama sebulan lamanya untuk disiapkan.
Cuma cerpen-cerpen yang terpendek yang dikirim ke portal Sastera Kavyan dan Eksentrika dihasilkan dalam masa satu
atau dua hari.
5. Pada waktu bilakah atau dalam suasana yang bagaimanakah anda ada “feeling/mood” untuk menulis?
Bukan mudah untuk adakan mood untuk menulis kecuali ia adalah rutin harian. Saya suka
menulis pada waktu malam dan kepala ringan tanpa berfikir perkara-perkara lain.
Saya juga membaca buku secara terus-menerus, sambil itu menulis dalam masa
senggang.
6. Apakah topik/tema/isu yang agak mudah untuk anda tulis dan apa pula yang agak sukar untuk anda tulis?
Isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat kita boleh
dikatakan mudah untuk adaptasi sebagai cerpen. Topik-topik kebudayaan atau
politik agak sukar dijadikan karya.
7. Apabila anda mengetengahkan kebudayaan komuniti sendiri dalam karya, bagaimana ia mempengaruhi pembaca? Apakah reaksi yang diterima daripada pembaca?
Saya tidak pernah menghasilkan cerpen mengetengahkan
ciri-ciri kebudayaan sesuatu komuniti secara terperinci. Cuma amalan harian kaum
India dan kaum-kaum lain di negara ini ditulis secara universal.
8. Apa yang mendorong anda untuk terus menulis walaupun tiada pendapatan lumayan melalui bidang penulisan?
Mungkin saya menulis secara prolifik jika dengan
menulis boleh mendatangkan wang untuk menyara hidup.
9. Apakah karya terkini anda yang sedang diusahakan? Berikan sedikit maklumat dan cabaran dalam menyiapkannya.
Tidak ada karya terkini. Masih dalam proses mencari
idea.
10. Ramai yang mempunyai aspirasi (cita-cita) untuk menjadi seorang penulis seperti anda. Apakah tips yang boleh anda kongsikan kepada mereka?
Banyakkan membaca pelbagai jenis karya, lebih-lebih
lagi karya penulis veteran tanah air mahupun dari luar negara. Kita dapat pelajari
teknik-teknik penulisan dan gaya bahasa berbeza daripada mereka.
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau
berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak
tahun 1987. Cerpen Mahendran termuat dalam antologi seperti Menara
(1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih
(2003), Busana
Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) merupakan
terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan oleh beliau untuk penulis
veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung
Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil.
Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi
pada tahun 2023. Sila klik di sini untuk lebih banyak karya Mahendran.]