Aku sudah tiada. Aku sedang menanti untuk diuruskan. Aku hanya menunggu masa. Aku belum dibawa ke rumah mayat. Aku dapat merasakan kesedihan dalam kalangan ahli keluraga. Namun, aku tahu mereka sudah bersedia menerima ketiadaan aku. Apa gunanya seorang yang sudah berusia dan tidak dapat berdikari lagi?
Yang pasti anak aku akan berjumpa dengan pihak pengurusan jenazah untuk
mendapatkan masa yang sesuai. Masa bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan.
“Doktor, tolong jangan lakukan bedah siasat untuk aku. Atma sudah
meninggalkan badan. Jadi, apa gunakan buat bedah siasat? Lagipun, aku sudah
tua. Aku tidak mahu badan aku dikelar sana sini. Biarlah aku dibakar seadanya.”
Ini permintaan pertama aku apabila aku sudah tiada. Aku berharap Sutha
dan anak-anak akan akur. Aku tahu Sutha tidak akan membantah kata-kata aku.
Lagipun, dia seorang yang tahu membezakan kebaikan dan keburukan sesuatu
perkara.
Sebenarnya, aku telah merancang segala-galanya dengan penuh teliti.
Tetapi, tiada yang mengambil peduli sebelum ketiadaan aku. Aku tidak mahu
menyusahkan sesiapa apabila aku sudah tiada. Bukan apa, sebenarnya ini yang aku
nak. Aku hendak meninggalkan tempat ini mengikut kehendak aku. Walaupun ini
adalah jasad aku sahaja.
Aku sudah lama membuat persiapan untuk ketika aku sudah tiada. Aku
seakan-akan tahu yang pengakhiranku adalah perjalanan yang sangat indah. Aku
ingin melaluinya dengan hati yang tenang.
Beberapa bulan lalu, aku dimasukkan ke hospital. Aku sudah berusia dan
pernafasan aku kurang stabil. Dalam sebuah lagu thevaram ada dikatakan
yang kesesakan nafas yang teruk adalah tanda-tanda pertama kita mula
meninggalkan dunia ini secara perlahan-lahan.
Dada aku mula dipenuhi air. Aku sentiasa batuk dan batuk itu penuh
dengan kahak. Akhirnya, aku terpaksa ke hospital dan terpaksa menggunakan
bantuan pernafasan. Sedikit demi sedikit, aku sudah tiada.
Aku seorang yang sihat dan aktif pada suatu ketika. Aku melakukan
senaman setiap hari dan menjaga pemakanan. Pada usia yang agak lanjut ini, aku
masih mampu memandu ke kuil setiap pagi untuk berdoa. Aku juga akan ke kedai
untuk bersarapan dan berjumpa rakan-rakan. Sekurang-kurangnya adalah yang akan
menegur aku atau menghulurkan senyuman. Aku mendapatkan rawatan dan nasihat doktor
tiga bulan sekali. Namun, aku sentiasa beringat bahawa setiap insan yang lahir
di dunia ini akan kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa suatu hari nanti.
Bila aku masih ada, tak ada pula yang mencari aku. Aku sudah berusia
ketika ini. Aku sudah tidak berfungsi untuk sesiapa. Aku dicari untuk memberi
restu. Aku dicari untuk mengucapkan selamat tinggal. Aku dicari semasa hari
kebesaran untuk mendapatkan ang pau. Sekurang-kurangnya masa itu, aku
dapat memeluk anak dan cucu.
Bila aku masih muda, ramai juga yang selalu datang berjumpa aku. Masa
itu, aku berduit. Berwang. Berpangkat. Bernama. Kalau ada yang mencari bantuan
atau sokongan, aku buat yang terbaik untuk mereka. Aku akan membantu mereka.
Anak kawan mencari kerja, aku tolong. Anak buah nak beli kereta, aku tolong
juga. Aku buat yang terbaik untuk semua.
Aku sanggup belanja kawan-kawan. Bukan aku sahaja, kawan-kawan aku pun
sama. Darah muda. Tak ingat hari tua. Semuanya, ingin berseronok. Lagipun, kami
semua bujang. Lulusan universiti tempatan dan datang dari seluruh Malaysia.
Tinggal berjauhan dengan keluarga. Kawan-kawan sahaja yang menjadi sokongan
satu sama lain.
Selepas sahaja hari gaji, jangan ingat boleh jumpa dengan aku dan geng
aku. Kedai kopi yang dikunjung, mesti berjenama. Harga secawan berpuluh
ringgit. Restoran mamak dan kedai makanan India tidak kelihatan masa itu.
Restoran makanan segera semuanya sudah aku rasa. Lidah aku ini. Hmm … Masuk
sahaja ke mulut apa yang boleh dimakan Pernah juga aku dan kawan-kawan memandu
dari Petaling Jaya, Selangor ke Kampar, Perak untuk makan nasi itik. Hujung
minggu, ke Pulau Pinang untuk menjamu nasi kandar. Ada kalanya, ke Muar, Johor
untuk makan roti bakar dan minum kopi di Hailam Kopitiam. Asal ada sahaja
tempat makanan sedap, kami akan ke sana. Asalkan ada duit. Ada kawan. Kita berseronok.
Aku mendirikan rumah tangga dengan Sutha ketika berusia 33 tahun. Kami
berkenalan sejak di universiti. Setelah mendapat persetujuaan orang tua, kami
berkahwin. Aku mula menjadi seorang yang lebih bertanggung jawab. Aku tahu aku
mesti menunaikan janji aku kepada Sutha. Dia datang kerana aku.