Aku dihumban di dalam sel yang sungguh gelap. Langsung tiada cahaya mahupun udara yang selesa untuk aku bernafas. Sebelum dihumban ke dalam sel ini, aku telah dibelasah oleh mereka secukup-cukupnya. Kepala aku berdarah. Kaki dan tangan aku berdarah dan lebam di sana sini. Aku tidak terdaya untuk bangun.
* * *
“Kamu tidak layak
untuk hidup!”
“Saya tidak buat
apa-apa kesalahan, tuan.”
“Jangan banyak
soal, ikut kami ke tempat hukuman!”
“Apa salah saya,
tuan?”
“Jangan banyak
soal!”
“Ini salah. Tanpa
alasan dan waran tangkap, tuan tidak boleh tangkap saya.” Aku digari oleh
mereka berdua. Mereka tidak kelihatan seperti polis. Pakaian seragam mereka
tidak sama seperti biasa dilihat. Siapa mereka ini. Polis pun bukan, tentera
pun bukan, namun mereka berseragam. Tidak tahu dari unit mana. Pakaian seragam
mereka berwarna kuning. Silau mata memandang. Baju dan seluar berwarna kuning.
Mesingan tergantung di bahu mereka.
Aku meronta dan
merayu pada mereka untuk dilepaskan.
“Tuan mungkin
salah orang.”
Aku mencuba nasib
dengan bercakap sedikit sopan dengan mereka. Aku dimasukkan dalam sebuah van. Dua
pegawai mengawasi aku. Aku tidak tahu van itu sedang menghala ke mana. Sudah
pasti aku akan terima hukuman untuk kesalahan yang aku tidak lakukan. Mungkin
mereka menyamar sebagai pihak berkuasa dan akan mencuri organ-organ aku untuk
dijual agaknya. Kecut perut aku dibuatnya.
“Saya akan
laporkan kepada pihak atasan. Kamu semua menyamar sebagai pihak berkuasa.
Membawa orang tidak bersalah seperti saya untuk menjalani hukuman.”
“Jangan banyak
cakap!” Aku dilempang dua kali di muka. Tidak tahu siapa di antara mereka
berdua yang melempang aku. Celaka! Mereka melempang tatkala aku menunduk.
Perjalanan ke
destinasi tidak secepat seperti yang aku sangka. Jalan raya yang mereka lalui,
langsung tidak membelok ke arah mana-mana, lurus sahaja. Ke mana mereka hendak
membawa aku? Bingung aku dibuatnya. Sakit pada pipi kiri akibat dilempang masih
terasa. Perit. Amat perit. Begitu juga dengan tulang di dalamnya.
Setelah hampir dua
jam pada anggaran aku, van itu membelok sebelah kiri dan berhenti di suatu
tempat. Pintu tepi van dibuka dari luar. Salah seorang pegawai keluar dahulu lalu menarik aku ke luar.
Seorang lagi menolak aku dari dalam. Aku hampir tersungkur. Memang tidak
perikemanusiaan langsung pegawai-pegawai ini. Aku lihat di tempat pemandu. Tiada
pemandu! Selama ini aku menaiki sebuah van tanpa pemandu? Mungkinkah mereka adalah
hantu? Meremang bulu di kedua belah tangan aku.
Bangunan berwarna
kuning tersergam indah. Tinggi. Aku cuba mencari apakah nama jabatan yang
tertulis di muka pintu. Hampa.
Mereka menarik aku
ke suatu bilik yang agak besar. Kelihatan seorang lelaki yang tua daripada
mereka berdua ini. Dia pun berseragam kuning. Amat janggal dan asing bagiku
jika orang berseragam kuning atau merah. Menjijikkan.
Aku ingatkan
mereka akan menyuruh aku duduk di depan ketua mereka. Rupa-rupanya tidak. Tidak
ada pegawai-pegawai lain selain daripada mereka bertiga di dalam bilik itu.
Pejabat apakah ini? Pejabat yang tidak bernama. Walaupun tangan aku digari, kedua-dua pegawai berbaju kuning masih
memegang tangan aku dan menatap wajah aku dengan sungguh bengis. Memang
menakutkan.
“Tengok sini!”
jerkah ketua mereka.
Aku yang sedang memandang setiap sudut di
bilik kecil dan malap itu, cepat-cepat aku berpaling ke arah ketua berbaju kuning. Wajahnya
juga bengis. Sebengis-bengis mereka, mereka belum lihat lagi bengis aku lagi.
“Apa kesalahan
saya? Kenapa saya digari dan dibawa ke sini?”
Aku mula marah dan meronta sebab mereka berdua
menggenggam lengan aku dengan agak kuat. Sakit dibuatnya. Aku sungguh gelisah
sebab masih tidak dapat jawapan untuk penahanan aku. Harap ketua keparat ini
akan jelaskan segala-galanya.
Ketua keparat
kuning yang berdiri tadi kini sudah duduk di kerusi empuknya. Kakinya dinaikkan
ke atas meja, disilangkan pula. Geram.
“Kamu tahu kenapa
kamu dibawa ke sini?”
“Tak tahu!”
“Oh, tak tahu? Tak
tahu atau buat-buat tak tahu?” Badannya yang bersandar pada kerusi ditegakkan.
Kakinya masih bersilang di atas meja.
“Saya tak membunuh, tak mencuri, tak merompak, tak main rasuah dan tak kacau
anak bini orang. Buat apa saya ditangkap?”
Biar dia tahu
betapa marahnya aku. Tangkap orang tak tentu pasal. Dua orang pegawai yang
memegang aku tadi, salah seorang daripada mereka mencekik leher aku dari
belakang. Geramnya aku. Aku meronta-ronta lagi minta dilepaskan. Mereka cuma
merenggangkan pegangan mereka setelah ketua mereka beri isyarat. Namun tangan
aku masih digari. Badan terasa amat letih. Terasa untuk duduk sahaja. Baru aku
akan rasa lega.
“Kesalahan-kesalahan
yang kamu sebut tadi adalah kesalahan yang biasa sahaja. Kami tidak masuk
campur dalam urusan itu. Polis dan mahkamah ada untuk tujuan itu.”
“Jadi kamu bukan
polislah, ya?”
Memang betul, aku
sudah diculik oleh sindiket agaknya. Nak jadikan tebusan? Aku bukan ada wang
ringgit pun. Banyak perkara-perkara buruk menerpa di minda aku. Sahaja mereka hendak
menganiaya orang.
“Jadi jika kamu
bukan polis, kenapa tangkap aku. Apa kuasa kamu? Tunjuk!” Bila disebut mereka
bukan polis, aku tambah berani untuk bersuara lantang.
“Cuba kamu fikir.
Kamu pasti pernah buat kesalahan. Kesalahan besar yang biasa dilakukan oleh
manusia berpelajaran seperti kamu.”
Aku tidak faham
dengan apa yang ingin disampaikan oleh ketua mereka. Bunyi dan nada
percakapannya sungguh lain bunyinya. Bunyinya seperti satu sindiran. Sindiran
halus. Sudahlah bawa aku ke sini tanpa sebab, menyusahkan aku tak tentu pasal. Mereka
ingat apa tentang orang berpelajaran tinggi seperti aku. Pakaian seragam mereka
sudahlah teruk sangat. Masih hednak sindir orang berpelajaran seperti aku.
“Saya tahu, saya
tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya berani kerana benar!”
Biar si baju
kuning ini tahu siapa aku sebenarnya.
“Kamu tahu baca,
bukan?”
Apa dia tanya ini.
“Soalan apakah
ini? Budak tadika pun tahu bacalah di negara ini.”
“Jadi apa yang kamu lakukan dengan pembelajaran kamu, apa yang kamu dapat?”
“Aku ada kelulusan
dari universiti, tahu. Dengan pelajaranlah saya kini sedang bekerja sebagai
seorang jurutera.”
“Itu sahaja?”
“Apa lagi?”
“Apa yang kamu
baca semalam?”
“Baca apa, apa?
Saya tak faham.”
“Kamu tahu baca.
Apa yang kamu baca semalam dan juga pada hari ini?”
“Baca mesej-mesej
di WhatsApplah. Nak baca apa lagi?”
“Itu sahaja yang
kamu baca tiap-tiap hari.”
Aduh dia ini benar-benar
menjengkelkan aku.
“Di masa kerja
adalah saya baca dan tulis untuk melaksanakan projek.”
“Kamu ada makan
bukan?”
“Soalan apa yang
kamu tanya ini. Langsung tak masuk akal!”
“Memang tak akan
masuk akal. Sebab kamu tidak berakal!”
“Cakap baik
sikit!” Aku menerpa ke arah ketua mereka.
Melihat akan
keberanian aku, kedua pengawal menarik aku dan mendudukkan aku di kerusi di
hadapan ketua. Mereka menekan kedua-dua bahu aku. Sakit. Tidak apa. Lebih bagus
daripada berdiri tadi.
Ketua mereka bangun
dari kerusi, datang ke arah aku lalu duduk di sebelah bahu kiri meja. Dia
menepuk-nepuk pahanya. Tangannya menghampiri muka aku. Dia mengangkat dagu aku
ke atas dan tepat memandang ke arah mata aku. Aku tidak mahu melihatnya. Aku
menundukkan muka. Dia naik marah. Lagi dia memegang dagu aku dengan agak kasar
pula.
Perut aku sungguh
lapar. Aku bangun dan meraba-raba dinding, mecari pintu jeriji besi. Langsung
tidak ada pintu sebegitu rupa di dalam sel ini. Cuma terdapat sebuah pintu besi
tertutup rapat. Aku tidak dapat mengetuk pintu itu. Aku menendang kuat pintu
itu.
“Aku nak makanan!
Perut aku lapaaaar! Lepaskan akuuuu! Lepaskan akuuuu!”
“Pandang sini!”
Aku medongak
sedikit. Takut akan dipukul nanti.
“Kamu nak tahu
bukan, kenapa kamu dibawa ke sini?”
“Mestilah. Saya
akan laporkan kepada pihak polis.”
“Kamu lupakah yang
kamu dilahirkan di negara Antah Berantah. Di sini polis tidak akan dengar kes
kamu. Urusan untuk pesalah-pesalah ini, kami yang dipertanggungjawab.”
Aku baru sedar. Aku
dilahirkan di negara Antah Berantah. Namun begitu aku tidak begitu arif tentang
jabatan-jabatan atau jenis-jenis hukuman yang diperkenankan di negara ini. Aku jarang
membaca akhbar dan tidak minat mendegar berita TV dan radio. Orang-orang tua
sahaja yang sukakan itu.
“Mengapa kamu
tidak membaca, walaupun kamu tahu membaca, bodoh! Bukankah ibu bapa kamu
menyekolahkan kamu untuk celik huruf. Mengapa kamu tak teruskan apa yang diajar
itu?”
“Saya tidak suka
baca akhbar. Malah apa-apa buku pun saya tidak akan baca. Biar belajar setakat
sekolah dan universiti sudah cukup untuk mendapat pekerjaan. Buat apa nak baca
buku? Aku tak suka!”
“Sekarang kamu
dengan sendirinya sudah mengaku tentang kesalahan kamu.”
Aku tidak faham
mengapa dia berkata begitu. Aku berasa seperti orang bodoh di depan mereka yang
berbaju kuning ini, walaupun berijazah
aku begitu mudah diperbodohkan.
“Adakah menjadi
suatu kesalahan jika tidak membaca? Saya tidak pernah dengar ada undang-undang
seperti ini di mana-mana.”
“Ini adalah negara
Antah Berantah! Kamu masih tidak faham?”
Aku diam. Mungkin
aku yang tidak peka akan undang-undang di negara aku yang bernama Antah
Berantah ini.
“Saya akan
dibicarakan?” Jantungku mula berdegup kecang. Badanku bertambah panas. Peluh
mula membasahi bajuku.
“Tiada
perbicaraan!”
“Haa!” Aku tidak
puas.
“Jabatan apakah
ini? Apakah hak kamu untuk menghukum saya?”
“Ini adalah
Jabatan Pembacaan. Cuma terdapat di negara Antah Berantah. Adalah menjadi suatu
kesalahan besar seorang yang tahu membaca, langsung tidak membeli buku atau
bahan bacaan. Kamu memalukan dan menghina Institusi Literasi.”
“Apa hukuman yang
akan dikenakan pada saya nanti?”
Mereka tidak menjawab pertanyaan aku. Mereka mengunci aku di sel gelap ini dan beredar terus. Ya, mereka beredar. Mereka beredar. Tidak tahu bila mereka akan kembali lagi.
[Audio-Video - di sini]
[M. Mahendran
dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen
Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Cerpen Mahendran termuat
dalam antologi seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa
Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus
Aksara Sealur Kasih (2003), Busana
Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi
dan Impian (2013) merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan
oleh beliau untuk penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) adalah
kumpulan cerpen sulung Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada
tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Sila klik di sini untuk
lebih banyak karya Mahendran.]