Seorang kanak-kanak perempuan berlari ke arah abangnya yang sedang membuat kerja sekolah. Tangan anak patungnya tercabut. Anak patung dihulurkan kepada si abang. Abang pun memasangnya dan mengembalikan anak patung itu lalu mengusap kepala adik.
Kedengaran bunyi senduk berlaga dengan
kuali di dapur kecil di sebuah pangsapuri di Taman Kobena, Kuala Lumpur. Ibu kedengaran
menyanyi sambil memasak.
"Anneh, mari merasa lauk ini,"
laung ibu dari dapur.
Abang berlari dengan seronok untuk merasa
sambal udang, masakan hebat ibu.
"Hm, sedap sangat, ibu,” kata abang sambil memeluk ibu. "Terima kasih kerana memasak makanan kegemaran
saya."
Pada ketika itu, kedengaran bunyi pintu
depan dibuka. Kedua-dua anak bangun dan berlari ke arah pintu sambil menjerit.
"Ayah sudah balik. Hore!"
Tangan si anak bongsu ditadah untuk
mengambil makanan ringan yang dibawa oleh ayah.
"Kenapa attan merosakkan mereka dengan makanan ringan? Nanti
rosak selera makan mereka," ibu
menegur.
"Apa salahnya. Mereka masih kecil,"
kata ayah sambil mencubit pipi
anak-anak dengan manja.
Begitulah suasana hidup mereka
sekeluarga sehingga malang menimpa. Ketibaan nenek membawa bencana.
Segala-gala yang ibu buat,
nenek persalahkan. Apabila ibu cuba mempertahankan diri, nenek terus menyergah. Ibu benar-benar hilang sabar apabila
nenek memukulnya dengan penyapu buruk susulan isu pembahagian harta. Habis seluruh tubuh ibu luka dan lebam. Ibu rasa terhina
apabila dipukul dengan penyapu.
Ayah pula serba salah
kerana tidak boleh memihak kepada
mana-mana pihak. Melihat gelagat ayah yang acuh tak acuh, ibu kecil hati dan
menganggap dirinya tidak dihargai.
Pada petang itu, ibu dengan penuh kecewa menyentuh bahu ayah. Air matanya menitis.
“Attan, saya mahu berbincang tentang keputusan yang saya ambil
demi kebaikan kita semua. Saya mahu bersendirian selama setahun dua. Saya mahu beri
ruang untuk attan melayan ibu attan. Saya terlalu sakit hati dan
saya perlukan masa untuk pulih. Saya harap attan faham situasi saya dan mengizinkan
perpisahan sementara ini,” kata ibu dengan tenang tapi tegas.
Dalam keadaan terdesak, ayah berdiam diri dan melihat sahaja isteri kesayangannya meninggalkan sarang keluarga
bersama-sama saya dan adik. Saya fikir, ayah cuma boleh berharap dan menunggu kepulangan kami.
Dengan perasaan kecewa, ibu, saya dan adik menaiki
bas ke rumah datuk di Ipoh, Perak. Dalam perjalanan itu, Victoria sambil menggaru
kepalanya ingin tahu apa yang berlaku, lalu bertanya kepada ibu.
“Ayah tak ikutkah?”
Ibu mula menangis dengan menutup mulut. Saya
pula bertanya mengapa ibu menangis. Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena
tetapi saya tidak memahami sepenunya kerana tidak cukup umur.
“Tidak. Ayah tidak datang. Ayah bekerja.
Ayah akan datang nanti,” ibu menjawab setelah mengelap mata.
Saya pula dapat melihat kekeliruan pada
wajah ibu. Dengan penuh kekeliruan itulah juga kami sampai ke Stesen Bas Ipoh.
Datuk melambai sambil memanggil kami dan
datang ke arah bas yang baru berhenti. Beliau menolong untuk mengangkat beg
kami dan bertanya khabar dengan penuh tanda tanya. Datuk nampak serba
salah untuk bertanya apa-apa kepada ibu.
Perjalanan ke rumah datuk sangat senyap.
Apabila sampai ke rumah, ibu terus berlari ke arah nenek dan memeluknya untuk menghilangkan
perasaan duka sambil mencucurkan air mata. Nenek juga memeluk ibu dengan erat
dan memujuknya.
“Jangan menangis, Tina. Ibu dan ayah ada
di sini untuk kamu,” kata nenek dengan penuh kasih.
Pada keesokan hari, ibu mengejutkan kami
dan menyuruh kami mandi serta bersedia untuk pergi ke …
[Jeffry Solomon Victor dilahirkan di Ipoh, Perak pada tahun
2002. Beliau belajar di Sekolah
Kebangsaan Bandar Baru Putra, Ipoh dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan
Miharja, Kuala Lumpur sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau menamatkan pengajian peringkat diploma
dalam bidang sumber manusia dan kini menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah
swasta. Jeffry terlibat secara aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (September 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember
2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping
(Disember 2023). Karya Jeffry di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]