Berdekatan dengan lebuh raya yang sibuk, berdiri sebuah kondominium mencakar langit. Di dalam bangunan itu, di tingkat 30, rumah nombor 5, berdiri seorang wanita merenung ke luar balkoni dengan secawan kopi di tangan manakala timbunan kajian kes klien yang separuh siap merenungnya kembali.
Rumah yang serba lengkap itu agak sunyi dan dinding
rumah itu kosong, seolah-olah dia tidak mempunyai foto untuk digantung. Masih
dalam pakaian kerja, dia bertekad untuk menyiapkan kerja pemfailan sebelum
tidur kerana keesokan hari merupakan hari cuti.
Dia tersentak dari kebingungan apabila telefon berdering.
Melihat nama pemanggil, dia mahu mengabaikan panggilan itu tetapi dia tetap
menjawab disebabkan firasat. Pasti ada sesuatu yang penting.
Perkara terakhir yang Sylvia mahu lakukan ialah
pulang ke rumah. Tetapi kali ini nampaknya dia tidak ada pilihan lain. Dia
tergesa-gesa memasukkan beberapa pakaian ke dalam beg dan membuat beberapa
panggilan ke beberapa agensi pengangkutan.
Selepas menempah tiket paling awal, dia bergegas ke
stesen bas dan bersedia secara mental untuk perjalanan selama empat jam.
Sebagai percubaan untuk melupakan fail-fail yang ditinggalkannya, Sylvia
memejamkan mata agar dapat tidur sebentar.
Memang dia amat perlu merehatkan mata dan kepala.
Tidur adalah sesuatu yang tidak pernah kunjung tiba. Tambahan pula, dua gelas
kopi yang diminum tadi sudah mula menunjukkan kesan. Cubaan untuk melelapkan
mata gagal. Fikiran Sylvia melayang ke masa lampau.
Hari pertama tadika. Kanak-kanak yang memegang
tangan datuk dengan rasa gelisah dan rasa teruja bercampur baur. Dia melangkah
masuk ke dalam kelas di mana ramai kanak-kanak kecil menjerit dan bergelut
dengan ibu bapa kerana tidak mahu memasuki kelas.
Sepanjang hari di tadika, Sylvia senyap dan patuh
kepada segala arahan. Dengan serta-merta dia menjadi murid kegemaran par guru.
Pada waktu tengah hari, datuk mengambilnya dari perkarangan tadika dan mereka
berdua berjalan beriringan pulang ke rumah.
Datuk dengan bangga membuat beberapa panggilan telefon
sebaik sahaja tiba di rumah untuk bercakap besar tentang bagaimana Sylvia
adalah satu-satunya anak yang berkelakuan baik di seluruh kelas. Tetapi tiada
siapa pun tahu apa yang berlaku dalam diri kanak-kanak yang gugup sewaktu meninggalkan
rumah pagi itu.
Sylvia masuk ke dalam bilik dan mengeluarkan diari
kecil yang berkunci. Dia hanya menulis beberapa perkataan dengan jemari kecil.
"MAMA", “PAPA” diikuti
beberapa lakaran di mana seorang kanak-kanak berdiri sendirian memandang
anak-anak lain berpegangan tangan dengan ibu bapa mereka.
Dia cepat-cepat mengunci diari apabila mendengar
suara nenek dari dapur, menyelitnya ke dalam laci lalu menyertai datuk untuk
makan tengah hari.
[Thivyajayanthi Nair K Jayan lahir di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1997 dan membesar di
Segamat, Johor. Beliau belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Canossian Convent,
Segamat sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, Tangkak di
mana perjalanan menulis beliau bermula. Beliau belajar teknologi maklumat di
Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka. Thivyajayanthi memenangi tempat
keempat dalam Pertandingan Menulis Cerpen Bahasa Tamil anjuran Persatuan Koperasi
Kewangan dan Tanah Kebangsaan (NLFCS) pada tahun 2014. Kini beliau menetap di
Cheras, Kuala Lumpur dan bergiat aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Rencana di Anak Baba (Oktober 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia
(Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping
(Disember 2023). Karya Thivya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]