Saya sudah lama tidak berkunjung ke pasar malam. Kalau sebelum zaman perintah kawalan pergerakan (PKP), hampir setiap minggu saya akan ke pasar malam untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan. Kadangkala, makan malam juga dibeli di pasar malam. Pasar malam memudahkan urusan pembelian saya. Nak kata harganya murah, tidak juga.
Pasar malam merupakan tempat yang menjual
pelbagai jenis makanan dan barangan keperluan harian. Barangan mainan, kasut,
cadar dan pakaian juga boleh dibeli di pasar malam. Ada juga makanan basah yang
dijual di sini. Pasar malam juga menjual tumbuh-tumbuhan dan baja untuk
menyuburkan tanaman.
Segala makanan kaum Melayu, Cina dan India boleh
dibeli. Nasi goreng, mee goreng, laksa, yong tau foo, vadei, idiyappam, putu,
nasi lemak dan pelbagai jenis makanan pilihan rakyat Malaysia boleh didapati di
pasar malam. Walaupun ada kalanya, makanan yang dijual itu terbuka dan tidak
ditutup sepenuhnya, orang ramai masih berminat untuk membeli di pasar malam.
Pasar malam adalah satu-satunya tempat di mana
air berwarna-warni boleh dibeli. Air oren, sirap bandung dan milo ais adalah
minuman yang biasa. Sekarang ini, ada air berwarna hijau, hijau muda, kuning,
biru dan hitam-putih pun ada. Semuanya menjadi pilihan pelanggan yang inginkan
kelainan.
Selain itu, pelbagai jenis jagung, apam balik,
putu bambu, ayam gunting, tau foo fah, lobak goreng, bermacam-macam jenis roti
dan kek juga dijual di pasar malam.
Buah-buahan di pasar malam biasanya sama seperti
yang dijual di tempat-tempat lain. Penjual di pasar malam juga pandai menarik
minat pelanggan. Macam-macam taktik digunakan oleh penjual. Ada yang akan suruh
mencuba buah yang dijual. Bila makan di sana, rasanya manis dan ingin makan
dengan banyak. Apabila dibeli dan dibawa balik, ada yang kurang manis, tidak
sedap, sudah busuk dan tidak menepati citarasa.
Kalau ibu bapa membawa anak-anak kecil ke pasar
malam, gerai yang menjual alat permainan mesti disinggah. Kalau beli di pasar
raya, harganya berkali ganda. Kalau beli di pasar malam, bolehlah anak-anak
bermain dan berseronok untuk seminggu dua. Selepas itu, apabila permainan
tersebut tidak dapat digunakan lagi boleh diganti dengan yang baharu dari pasar
malam yang sama.
Saya suka ke pasar malam kerana dapat membeli jajan
yang dijual pada zaman kanak-kanak. Biskut yang ada topi berwarna-warni di
atasnya, biskut wafer, asam dengan daun terup, mo fa kor, mamee dan macam-macam
lagi. Walaupun tidak membeli, pasar malam menjadi tempat untuk mencuci mata.
Anak-anak perempuan pula suka membeli cekak
rambut, rantai mainan, beg tangan dan macam-macam perhiasan diri. Ada juga
pakaian ala-ala puteri raja yang disiap digantung dalam plastik untuk menarik
minat kanak-kanak.
Pasar malam juga sudah berubah mengikut
peredaran zaman. Alat teknologi juga boleh dibeli di sini. Pelbagai jenis casing
telefon boleh didapati di pasar malam. Kalau dulu pasar malam menjadi tempat
menjual cakera padat. Sekarang, orang sudah tidak pandang cakera padat lagi.
Namun, banyak benda baharu sudah mula dijual di pasar malam.
Pasar malam juga menjadi tempat berjumpa dengan
rakan-rakan yang jarang kita jumpa. Ada kalanya boleh terserempak dengan rakan
sekolah. Pasar malam menjadi tempat bertemu dan bertanya khabar. Orang bekerja
biasanya tidak ada masa untuk melepak bersama kawan-kawan. Jadi, pasar malam
memberi sedikit ruang kepada mereka yang ingin berkongsi pendapat dan
berbual-bual kosong. Juga tempat meluahkan perasaan. Dalam masa beberapa minit,
macam-macam boleh dibincang dan diketahui di pasar malam. Dari hal rumah tangga
hinggalah ke politik tanah air.
Ada juga gerai di pasar malam yang terlalu
sibuk. Ada pelanggan yang terpaksa beratur lama untuk mendapatkan makanan atau
minuman kegemaran mereka. Namun, semua ini tidak menjadi masalah. Beratur
sahaja, asalkan dapat apa yang dikehendaki.
Apapun, pasar malam adalah tempat yang menarik
dan istimewa untuk rakyat Malaysia. Sekiranya anda belum pernah ke pasar malam,
cuba ke sana sekali sekala.
[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau
mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan
pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran
Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau
termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum
India (Kavyan).
Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan
boleh dibaca di sini.]