Barathi

Suttum Vizhicchudarthaan, - Kannammaa!

Sooriya Chanthiraroa?

Vattak Kariyavizhi – Kannammaa!

Vaanak Karumaikolloa?

Barathi amat menyukai sajak ini yang dihasilkan oleh penyair tersohor Tamil di India iaitu Mahakavi Barathiyar, atau nama sebenarnya Subramaniya Barathi. Barathi bangga dirinya dinamakan Barathi sempena nama tokoh tersebut. Walaupun tokoh tersebut sudah meninggal pada tahun 1921 di usia yang ke-39, sajak-sajak mendiang amat popular di serata dunia dan masih relevan hingga kini.

Barathi amat meminati kesusasteraan Tamil, Melayu, dan Inggeris. Ini adalah pengaruh daripada bapanya, Somasundaram. Walaupun keadaan rumah atau kewangan keluarga Barathi tidak sehebat rakan-rakan sebaya, namun dia gembira dengan apa yang dia dan keluarganya miliki selama ini.

Barathi amat berbangga dengan bapanya. Bapanya amat mementingkan bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Tamil, lalu menyekolahkan Barathi dan adiknya, Tamil Inyan, di sekolah rendah Tamil.

Bapa dan ibu Barathi sentiasa berbeza pendapat. Barathi pun tidak tahu bagaimana bapa dan ibunya boleh berkahwin dahulu sedangkan masing-masing berlainan haluan. Mungkin bapanya terpikat akan kecantikan ibunya. Ibu Barathi pun masih kelihatan cantik, lagipun perkahwinan mereka dilangsungkan atas dasar cinta.

Ibu Barathi langsung tidak setuju apabila bapa Barathi bercadang untuk letak nama Barathi untuk anak perempuan sulung mereka.

“Nama itu, nama orang dulu-dulu. Nampak kolot sangat. Dahlah nama saya dinamakan Maariammah.”

“Apa yang kolot sangat? Itu ‘kan nama penyair agung Subramanya Barathi. Nama kamu pun dinamakan sempena nama dewi dalam agama Hindu iaitu Devi Mariamman. Bagus, bukan?”

“Yang awak ambil nama orang lelaki buat apa?”

“Barathi juga milik nama perempuan, bukan?”

“Yalah, tetapi sekarang sudah tahun 2000. Takkan awak nak letak nama macam ini lagi.”

“Jadi, awak nak letak nama bagaimana pula?”

“Letaklah nama seperti Nisha, Manisha, Loshini, dan lain-lain yang sedap didengar. Ini Barathi … adui!”

“Itu bukan nama Tamil.”

“Setahu saya, Barathi pun bukan nama Tamil.”

“Itu tidak menjadi masalah, yang penting ada nama penyair itu pada anak kita.”

Apabila anak kedua mereka lahir pun ibu Barathi masih tidak puas hati lagi.

“Awak suka baca sajak-sajak Maha Kavi Barathiyaar yang menulis tentang kebebasan wanita tetapi awak langsung tak beri kebebasan untuk saya.”

“Kebebasan apa lagi? Bukankah awak sudah bebas. Mana saya pernah halang awak untuk ke rumah sesiapa atau pergi ke bandar seorang diri? Saya tak bagi kamu pergi kerja sahaja sebab saya sayangkan awak.”

“Sayang, konon. Itu semua sudah lumrah pada zaman sekarang. Awak tak beri kebebasan untuk letak nama kedua-dua anak kita.”

“Tak mahu saya. Nanti awak akan letak nama seperti Dev, Suraj, Kishore, Rohit, dan lain-lain seperti itu.”

“Itu juga ‘kan nama orang India juga.”

“Ya, saya tahu. Itu nama golongan India Utara. Saya lebih selesa dengan nama-nama India Selatan, khususnya nama Tamil.”

Barathi tahu kisah-kisah lama ini hasil perbualan dengan ibunya.

Dan ibu dan bapanya masih bertelingkah untuk hal remeh temeh hingga sekarang.

“Kenapa awak selalu suka bazirkan duit untuk beli buku-buku, akhbar, dan majalah? Kalau dulu, yalah. Sekarang zaman dah modern; semua boleh tengok dalam fon, awak masih nak beli buku-buku. Bukan saya baca pun.”

“Awak tak baca, saya tak kisah pun. Yang penting, anak-anak kita baca dan cucu-cicit kita akan baca nanti.”

“Dahlah rumah kita kecil, satu bilik itu penuh dengan buku sampai tak boleh letak rak lagi. Lantai penuh dengan buku sahaja. Kalau dengan duit buku itu beli satu lagi rumah besar atau ubah suai rumah ini bukankah bagus? Kereta Wira ini pun sudah lebih dua puluh tahun umurnya. Malu saya dengan jiran-jiran dan kawan-kawan saya,” luah emak Barathi, hampir menangis. (Cerpen penuh dalam antologi Seruling Malam)

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya Mahendran di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]