Bukan Kerbau Dicucuk Hidung

Kanmani cuba mengambil sapu tangan di tepi katil. Tangannya terketar-ketar. Badan terasa begitu lemah.

"Misi, tolong saya!" Kanmani memanggil dengan suara serak.

"Mengapa kamu ini? Dari tadi asyik misi, misi, misi!  Kamu tak ada keluargakah?" Jerit jururawat dari sana.

Air mata Kanmani berlinangan.

"Eh! Mengapa kamu menangis? Saya banyak kerjalah," kata jururawat dengan kelam-kabut pergi membantu Kanmani.

"Mengapakah kamu  berseorangan? Mengapa tiada sesiapa bersama kamu?" Jururawat cuba menenangkan Kanmani.

Perbualan mereka diganggu oleh tangisan bayi yang dibaringkan di sebelah Kanmani.

"Oo, bayi menangis. Sudah lapar agaknya. Biar saya berikan susu dan hantar ke bilik bayi. Kamu rehat dahulu," kata jururawat sambil mendukung bayi perempuan itu.

Kanmani terbaring dan cuba mengingat kembali bagaimana dia boleh terjebak ke dalam situasi sebegini. Kebodohan? Atau adakah sifat mudah mempercayai orang menjadi punca dia dianiaya? Dia masih ingat bagaimana dia dihalau dari asrama apabila perutnya yang buncit dilihat warden.

Kekasihnya, Mohan, suatu kekecewaan. Hubungan mereka suatu penipuan. Apabila isu yang dihadapi diberitahu kepadanya, penyelesaian yang diberi: “Gugurkan sahaja. Sekarang bukan masanya.”

Kanmani tidak bersetuju. Mohan marah dan tidak menghiraukannya. Selepas menunggu beberapa hari, dengan niat mahu memberi kejutan indah kepadanya, Kanmani pergi ke rumah Mohan dengan keputusan yang berpihak kepada kekasihnya. Namun, pihak yang terkejut ialah Kanmani.

Kanmani berdiri di luar pagar dan menunggu beberapa jam. Dia tidak mahu mengingkari arahan Mohan yang melarangnya memasuki kawasan rumah sehingga tiba masa yang sesuai.

Tiba-tiba pintu pagar dibuka. Empat orang keluar dari rumah dan darah Kanmani menjadi beku. Mohan, seorang wanita unggul dan anggun keluar bersama dua orang anak lelaki yang cukup segak.

Kanmani meninggalkan tempat tersebut dan pergi menumpang di rumah seorang nenek yang ada bau-bau bacang dengannya. Petang hari yang sama, nombor Mohan berkelip-kelip pada skrin telefon. Telefon bimbit dibuang ke dalam sungai di belakang rumah nenek dengan penuh kecewa dan amarah.

Pengalaman mengandung seorang diri memang menyakitkan. Kaki bengkak, sakit badan, kebimbangan dan kemurungan. Segala-galanya ditanggung seorang diri sepanjang sembilan bulan.

Dia tidak berniat untuk menunjukkan kepada Mohan bahawa dia boleh berjaya tanpanya. Kanmani tidak tahu semua itu. Hidupnya di rumah anak yatim tidak mengajarnya semua ini. Dia tidak berpandangan jauh. Dia cuma tahu membuat kerja seharian secara mekanikal. Jadualnya sama sahaja setiap hari: Makan apabila lapar, tidur apabila penat, kerja setiap hari dan pergi berjumpa doktor mengikut tarikh janji temu.

Kanmani juga tiada niat menuntut dharma atau keadilan. Dia tidak mahu membalas dendam. Pada masa sama, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membetulkan situasi yang agak menakutkan ini.

Dia hanya tahu bahawa dia tidak boleh merosakkan rumah tangga orang. Dia tahu bahawa mengganggu hidup wanita lain adalah salah, adalah dosa. Ibunya meninggal dunia kerana sakit hati ditinggalkan suami kerana wanita lain. Pada masa itu, Kanmani baru berumur lapan tahun dan terus dihantar ke rumah anak yatim.

* * *

Kanmani berjalan ke arah rumah nenek selepas habis kerja. Dia bekerja sebagai tukang bersih di beberapa rumah berhampiran. Dia berasa hairan melihat sebuah kereta di luar rumah. Kanmani masuk ke dalam rumah dengan berhati-hati. Dia terperanjat melihat Mohan di rumah nenek.

Mohan sedang cuba berkawan dengan Poongkuzali yang berumur tiga tahun. Tangannya memegang sebungkus coklat. Kanmani serba salah melihat kemunculan semula lelaki itu. Nenek pula kelihatan begitu keliru.

"Boleh saya bercakap dengan kamu? Sekejap sahaja," pinta Mohan dengan suara berketar.

Kanmani berjalan keluar dari rumah nenek. Mohan mengikutnya. Sampai di luar, dia cuba memegang tangan Kanmani. Kanmani pantas mengelak dan berundur.

"Apa kamu mahu? Tidak cukupkah kamu menipu saya sehingga hidup saya musnah?" Kanmani cuba mengawal kemarahan.

"Saya sangat sayangkan kamu. Saya bimbang kalau kamu tahu situasi sebenar, saya akan kehilangan kamu. Sebab itulah saya menyembunyikan banyak perkara semasa kita bercinta. Hidup saya cukup merana dengan isteri. Saya sudah tidak sayangkannya lagi. Kamulah kebahagiaan saya,” Mohan cuba mewajarkan tindakannya.

Kanmani masih marah. Dia senyap seketika. (bersambung)

[VK Ezhilarasi Velautham Krishnan berasal dari Segamat, Johor dan belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Seterusnya, beliau mendapat ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Pesara guru ini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Beliau suka menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik hasil pengalaman membantu golongan ibu bapa tunggal untuk menjaga anak-anak mereka. Antara karya awal Ezhilarasi ialah rencana di majalah Dewan Budaya (April 2016) dan cerpen di majalah Dewan Siswa (Februari 2020).  Hasil karya beliau turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020). Ezhilarasi giat dalam aktiviti Kavyan seperti Baca di Anak Baba (September 2023), Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023). Bengkel penulisan yang disertai termasuk Sesi Penulisan Intensif I (Disember 2018), Sesi Penulisan Intensif II (Mac 2019), Lepak Menulis Rencana di Anak Baba (Oktober 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023). Ezhlarasi merupakan Ahli Jawatankuasa Kavyan mulai 2023. Karyanya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]