Sebagai pengikut tegar ajaran Prashamsaneeji sejak lahir, saya amat teruja diberi peluang menyediakan bahan tayangan slaid sempena ulang tahun ke-152 kelahiran dan ulang tahun ke-90 kematian tokoh hebat ini.
Keluarga kami pengikut Prashamsaneeji sejak zaman
datuk dan nenek. Saya dan adik-beradik membesar mendengar kisah-kisah tentang kehebatan
tokoh berkenaan yang membawakan ajaran baharu untuk kaum India.
Nama Prashamsaneeji asalnya Prashamsa yang membawa
makna “yang terpuji” atau “yang dikagumi” dalam bahasa Sanskrit, Malayalam,
Hindi, Marathi, dan beberapa bahasa lain di Benua Kecil India. Nama itu juga
lumrah dalam ajaran Buddha, Hindu, dan Jain, walaupun hampir tidak ditemui di
sini.
Buku yang menjadi rujukan utama para pengikut ialah The Life of Prashamsaneeji or the
Praiseworthy (2002) yang ditulis berdasarkan pelbagai sumber lisan di
Malaysia. Inilah biografi paling komprehensif tentang guruji yang menjadi pujaan kami walaupun beliau sudah lama
meninggal dunia.
Pada usia 21 tahun, saya diberi kepercayaan dan
tanggungjawab membuat pembentangan slaid khas bagi golongan pemuda dan pemudi
dalam kumpulan kami.
Saya boleh sahaja mengambil segala maklumat yang sedia
ada untuk dipaparkan dengan gandingan efek, ilustrasi, rekaan, dan muzik yang
pasti menjadikan pembentangan saya benar-benar menarik dan berkesan.
Akan tetapi, saya memutuskan untuk meninggalkan zon
selesa dan mencari sekurang-kurangnya sedikit maklumat tambahan untuk disajikan
kepada khalayak semasa majlis sambutan ulang tahun yang dirancang secara
besar-besaran pada hujung tahun nanti.
Keputusan itulah yang membuka mata hati dan
menjernihkan minda saya untuk menilai semula segala ajaran yang dibawa oleh Prashamsaneeji.
Jika anda sudah bersedia, marilah mendengar pengalaman
saya.
Semua orang—atau sekurang-kurangnya para pengikut
beliau—tahu bahawa Prashamsaneeji lahir pada tahun 1870 di Jaisalmer,
Rajasthan. Tempat berkenaan yang diberi julukan “The Golden City” terletak di tengah
Gurun Thar.
Prashamsaneeji yang lahir dan membesar dalam komuniti
pengamal ajaran Jain dan Hindu telah mengasaskan ajaran baharu pada tahun 1910
iaitu semasa berumur 40 tahun.
Ajarannya terus berkembang di Gurun Besar India
walaupun tentu sahaja ada rintangan, halangan, dan bantahan daripada penganut
Hindu dan Jain yang rasa tercabar oleh ajaran baharu yang muncul serta mula
mendapat sambutan orang ramai.
Tanyalah mana-mana pengikut ajaran Prashamsaneeji dan
mereka akan menjawab dengan tepat bahawa beliau datang ke Malaya pada tahun 1930.
Tetapi kalau ditanya punca penghijrahan itu, jawapan yang tuntas sukar
diperoleh.
Dan biasanya para pengikut tidak kisah. Malah, kami
menganggap peristiwa itu suatu rahmat besar kerana Prashamsaneeji memilih untuk
berhijrah ke Malaya yang kemudian menjadi Malaysia.
Ada orang mengatakan Prashamsaneeji terpaksa
meninggalkan Jaisalmer selepas diracun seorang wanita pengikut ajaran Jain.
Racun itulah kononnya turut menjadi punca kematian guruji pada tahun 1932.
Namun begitu, cebisan ajaran Prashamsaneeji berjaya
dikumpul dan ditulis oleh para pengikut tegar beliau di Malaysia pada tahun
1982. Di sana tercatat bahawa kematian Prashamsaneeji adalah akibat menghidap
demam panas dan sakit kepala.
Kalau anda pernah membaca Sulalatus Salatin, maka anda akan sedar bahawa Hang Tuah juga meninggal
dunia akibat penyakit yang sama sewaktu Melaka dijajah Portugis pada tahun
1511.
Pada tahun 1992 pula, terdapat usaha mengumpul dan
mendokumentasi ajaran dan ceramah Prashamsaneeji oleh para pengikutnya di India.
Apabila teks berkenaan tersebar luas, maka para pengikut di sini menggabungkan
teks tahun 1982 (Malaysia) dengan teks tahun 1992 (India) untuk menyebarluaskan
ajaran Prashamsaneeji.
Memanglah sejak usia remaja, saya sendiri terdengar
desas-desus bahawa teks tahun 1992 dari India tidaklah sepenuhnya asli.
Sebaliknya, segala ajaran dan kandungan ceramah Prashamsaneeji telah disunting,
ditokok tambah, dan diubah suai supaya kekal relevan dengan zaman.
Para pembimbing kelas Prashamsaneeji sentiasa
mengingatkan kami supaya tidak percaya atau terkeliru atau terpedaya dengan
puak pendakyah yang terus-menerus cuba menghasut para pengikut meninggalkan
ajaran guruji.
Mujurlah keluarga saya kuat berpegang pada ajaran Prashamsaneeji
dan tidak mungkin termakan hasutan mana-mana pihak berniat jahat. Prashamsaneeji
satu-satunya guruji yang kami sanjung
dan puja sepanjang hayat.
Namun begitu, susulan saya memulakan kerja-kerja
mengumpul bahan tambahan untuk dimasukkan dalam slaid tayangan sempena perayaan
ulang tahun kelahiran dan kematian Prashamsaneeji, muncul beberapa pertanyaan
dalam diri.
Sudilah membaca – [Bhavishya Purana] – [Komen Malini] – [Komen Sri Vignaraajah] – [Komen Mahendran] – [Komen Ezhilarasi] – [Komen Thivyajayanthi] – [Komen Jeffry] – [Komen Anuradha]
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]