Kehilangan

Sekali lagi ia berlaku

buat sekian kalinya

seseorang “pergi” meninggalkanku

aku tak terdaya untuk menangis

kelenjar lakrimalku kekeringan.

 

Tika kali pertama ia berlaku

aku terlalu muda untuk mengerti

usiaku 12 tahun ketika itu

pemergian insan bergelar ammamma

juga bererti aku kehilangan seorang guru.

 

Pada usia 34 tahun

kehilangan berlaku lagi

kali ini, appa pula pergi

tanpa aku duga

gara-gara penyakit jantung

sebelum aku sempat menyiapkan diri

untuk menanggung rindu.

 

Setahun selepas itu

dua orang insan dalam keluargaku

pergi jua

Kakak appa pada bulan 9

adik lelaki appa pada bulan 12

bukan kerana COVID-19

tetapi sakit tua yang akhirnya

memakan diri.

Pada tahun 2022

kehilangan seterusnya

pemergian ini terlalu perit

insan yang diharapkan akan

pulih kembali

pergi mengejut setelah tewas

melawan penyakit jantung

adik lelaki pertama amma

yang aku gelar sebagai mama.

Tanggal 5 Januari 2024

tatkala aku melaksanakan tugasan hakiki

pergi seorang lagi mama

adik kedua amma

kali ini, aku bersedia

hatiku dapat menerima dugaan ini

aku bersyukur bahawa dia telah pergi

aku tidak mampu melihatnya sengsara

gara-gara barah yang memakan diri

aku PASRAH!

[Thanusya Shanmuganathan merupakan graduan sarjana muda sastera dari Universiti Malaya (UM). Beliau sudah menghasilkan novel berjudul Tak Sengaja Cinta (2014), Cik Cemerkap vs Encik Selfie (2016), Savithri (2021) dan Hanya Kau Untukku (2022) menggunakan nama pena Meera Natasya. Beliau juga aktif menulis skrip, cerpen, esei, dan sajak. Beliau merupakan Ahli Lembaga dan Mentor dalam Koperasi Penulis Nasional (KOPENA). Karya Thanusya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]