Biskut segi empat sama menjadi kegemaran ramai.
Biskut ini sedap dimakan begitu sahaja atau boleh dicelup dalam teh atau kopi.
Kebanyakan orang meminati biskut segi empat untuk minum petang. Ada juga yang
memakannya untuk sarapan. Biskut ini juga dijadikan alas perut yang ringkas dan
mudah.
Biskut segi empat ini juga dikenali dengan nama
biskut tawar. Ada juga yang menggelarnya uppu roti (roti masin) kerana
ada rasa masin sedikit. Dalam Bahasa Inggeris, ia digelar sebagai cream
crackers.
Bahan utama dalam biskut ini adalah tepung
gandum, minyak sayuran dan yis. Ada juga biskut segi empat sama yang berperisa
jagung dan ada yang disalut dengan gula. Biskut tawar boleh dimakan seperti sandwic
dengan menyapu mentega, mentega kacang, coklat atau jem. Boleh juga dimakan
bersama keju mengikut selera dan citarasa sendiri.
Terdapat pelbagai jenama biskut tawar di negara
kita dan setiap satunya mempunyai rasa yang agar berlainan. Ada yang berlemak.
Ada yang kering, Ada yang keras dan ada yang lembut. Ini memberikan pilihan
kepada peminat biskut tawar.
Biskut tawar juga menjadi hidangan kepada
tetamu. Pada masa tiada apa-apa hidangan di rumah, bolehlah menghidangkan air
minuman dan biskut tawar. Lagipun, biskut tawar boleh didapati dalam bungkusan
kecil seperti sachet untuk memudahkan hidangan supaya tidak terdedah kepada
udara.
Ada biskut yang mengambil masa lama untuk lembut
walaupun dicelup lama dalam kopi panas atau teh panas. Memang biskut keras segi
empat ini tidak menjadi pilihan saya. Saya lebih mengemari biskut yang berlemak
dan ranggup. Rasanya sungguh enak apabila dimasukkan ke dalam mulut setelah
dicelup air teh susu.
Biskut tawar boleh didapati hampir di semua
kedai runcit berdekatan dengan kawasan perumahan. Biskut ini boleh juga dibeli
secara dalam talian seperti bahan makanan lain. Rumah saya tidak pernah tidak
ada biskut tawar. Semasa kecil, ayah saya akan ke kedai runcit sebulan sekali
untuk membeli keperluan rumah dan biskut tawar pasti ada dalam senarainya.
Setiap petang, biskut tawar menjadi pilihan untuk dimakan dengan air teh. Saya
juga pernah bersarapan biskut tawar sebelum ke sekolah semasa berada di alam
persekolahan.
Biskut tawar boleh meranggupkan bahan gorengan.
Hancurkan biskut tawar dan salutkan bahan yang hendak digoreng seperti tauhu
atau ayam yang telah dihancurkan dan dijadikan bebola. Kemudian, goreng bebola
tersebut di dalam minyak dan nikmati kelazatan makanan tersebut.
Saya pasti ada ramai pengemar biskut tawar yang
suka memakannya mengikut citarasa sendiri. Nikmatilah biskut tawar apabila anda
ada keinginan untuk menikmatinya.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo 2025. Karya-karya Anuradha boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.