Amit Panggung

Amit Panggung atau nama sebenarnya Mohammad bin Hamid tinggal di bandar Bentong, Pahang sejak tahun 1984. Anak kelahiran Raub, Pahang ini telah menamatkan pendidikannya sejak darjah lima. Bapanya meninggal dunia akibat serangan sakit jantung ketika Amit Panggung berusia lapan tahun. Ibunya terpaksa bertungkus lumus untuk menyara kesemua lima adik beradiknya.  

Amit Panggung juga mula melakukan pelbagai kerja sejak umurnya menjangkau dua belas tahun. Beliau mula berkerja di kebun sayur, ladang kelapa sawit, kilang papan dan juga di kedai makan. Ini tidak termasuk kerja-kerja sambilan yang dilakukannya di sebelah petang atau pada hari cuti.

Ibunya berkahwin semula ketika Amit Panggung berusia empat belas tahun. Bapa tirinya yang juga duda anak tiga menjaga kesemua anak-anak isteri baharunya sebagai anak sendiri. Kasih sayang dikongsi sama rata.

Walaupun ibunya sudah berkahwin lain dan bapa baharu itu menyara keluarga, Amit Panggung tetap meneruskan kerjanya untuk menanggung keluarga yang sudah bertambah besar.

Dalam keadaan itu juga ada adik kandung beliau meninggal dunia akibat penyakit yang tidak diketahui ketika itu. Begitu juga dengan abang tirinya, meninggal dunia akibat penyakit Malaria.

Amit Panggung bertambah dewasa dan mendapat peluang berkerja di bandar Bentong yang terletak 50 km jauh dari Raub. Ketika itu masih jalan lama. Adik-beradiknya pula masing-masing mencari haluan sendiri.

Amit Panggung yang bernama Mohammad mula bekerja di pawagam Cathay pada tahun 1984. Dia datang seorang diri ke bandar Bentong pada usia 32 tahun dengan harapan akan menjana pendapatan yang lebih. Ibu dan bapa tirinya turut berpindah ke Bentong setelah Amit Panggung melaksanakan tugasnya di Cathay selama tiga tahun. Bapa tirinya mendapat kerja di kilang besi di Bentong.

Saya pernah melihat Amit Panggung ketika saya menonton wayang gambar di Cathay, ketika remaja. Pada waktu itu saya cuma pernah lihat Amit Panggung tetapi tidak pernah berbual dengan beliau. Saya juga tidak tahu tugas apa yang dilakukannya di Cathay, sebab saya tidak pernah lihat beliau tampal poster atau koyakkan tiket.

Pawagam Cathay menamatkan operasinya pada tahun 1995. Selepas itu beberapa tahun di pawagam Lyceum. Kemudian Amit Panggung mula bekerja sebagai kelindan lori dan pelbagai kerja lagi untuk menyara diri sendiri serta ibu bapanya.

Tahun 2008 beliau mula bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di bandar Bentong dan bersara dari situ pada tahun 2017 akibat penyakit pada kakinya yang menyusahkannya untuk berjalan. Ketika beliau bekerja di kedai makan itulah saya dapat bertemu semula dengannya. Beliau sering menceritakan kisah-kisah lamanya setiap kali saya ke kedai makan itu.

Kini saya masih menemui Amit Panggung di rumahnya. Beliau tinggal seorang diri dan sudah pun mencecah umur 72 tahun. Beliau juga masih suka menceritakan kisah suka duka di pawagam Cathay di Bentong dan di pawagam-pawagam lain di sekitar negeri Pahang. Saya juga rela mendengar kisah-kisah Amit Panggung berkaitan dengan pawagam Cathay, walaupun diceritakan berulang kali.

“Susah … ooo … kerja operator filem panggung ni. Bukan senang. Itu tong yang isi filem itu sangat berat … ooo. Kena pikul naik atas tangga. Dahlah bilik projeksyen itu panas. Ada kipas pun tak guna.”

Amit Panggung sentiasa kelihatan tidak berbaju di rumahnya. Rumah pemberian Projek Perumahan Rakyat Pahang (PPR) itu walaupun kecil, ia tetap memberi keselesaan kepada beliau.

“Saya belajar sama satu orang India di Cathay. Mula-mula saya kerja di Cathay kerja koyak tiket sahaja. Dalam dua bulan, manager panggil saya belajar jaga mesin projektor. Bila naik atas, itu orang India kasi marah sama saya. Dia tak bagi saya naik atas. Belakang, manager bising sama India itu, barulah dia kasi saya masuk bilik operator. Saya belajar dengan India itulah, macamana mahu operate.

“Bukan senang oo … kerja operator. Cathay ada dua projektor dan lagi satu mesin slide. Saya punya kerja biasa pukul 12 tengah hari sudah mula. Mahu sapu kemas bilik projektor. Lepas itu mahu rewind itu filem. Pasang lagu.  Kena standby slide iklan, lagi reel iklan dan juga reel untuk tayang wayang pada hari itu. Biasanya cerita Inggeris, Cina dan Melayu satu hari dua show saja. Cerita India dua show saja. Sebab cerita India panjang sampai tiga jam.”

Apabila saya tanya apa yang dibuatnya sepanjang tayangan atau pernah duduk bersama penonton di bawah:

“Banyak kuranglah saya duduk bawah. Saya tengok wayang dari lubang projektor sana saja. Mana ada masa mahu turun kelas reserve sana atau first class atau second class. Masa jaga projektor tak boleh lari mana-mana. Kencing pun kadang-kadang susah. Ini filem bila akan putus kita tak tahu. Nanti penonton bising susah … ooo. Cepat-cepat mahu potong dan tampal itu filem dan mahu kasi main cepat-cepat.”

Apabila saya bertanya tentang reel filem, begini pula dijawabnya:

“Biasa ada dua jenis filem. Ada 16 mm itu biasa separuh dari skrin. Yang 35 mm itu cinemascope, penuh skrin. Biasa satu reel filem boleh main 15 minit. Kena standby reel sambungannya pada projektor lagi satu. Lepas itu kena pasang reel ke projektor pertama dan sama untuk projektor kedua. Habis reel satu ini nanti kena operate projektor kedua. Itu sebab saya mesti mahu tunggu dalam bilik panas itu.

“Cerita orang putih, Cina dan Melayu biasa guna enam hingga lapan reel. Cerita India sampai 15 reel … ooo. Bikin susah sama saya saja. Balik rumah pun sudah lambat.”

Bila ditanya adakah beliau pernah operate filem di pawagam lain, jawapannya begini:

“Ya, pernah pergi Mentakab dan Temerloh. Kuantan pun pernah sekali. Manager cakap, saya jaga projektor sangat bagus dan bersih. Lain orang jaga, filem pun jadi rosak. Projektor pun selalu kena repair. Lepas Cathay Bentong tutup, saya kerja di Lyceum Bentong. Banyak filem India saja. Ada satu kali bila filem Muthu main sini, itu reel datang dua atau tiga reel sekali dari Mentakab. Kalau reel sampai lambat, naya saya. Sebab wayang sudah main. Nasib baik tak jadi macam itu. Macam itulah kita kongsi satu wayang dengan Mentakab. Bikin banyak susah … ooo.”

Begitulah kisah-kisah Amit Panggung.

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya Mahendran di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]