Mereka yang jatuh cinta pandang pertama selalunya tertarik pada rupa paras seseorang. Kecantikan dan kekacakan adalah faktor utama untuk memulakan alam percintaan mereka.
Ada juga dalam kalangan mereka yang baru
menjejakkan hati dan kaki mereka ke alam percintaan setelah melihat tingkah
laku serta budi pekerti seseorang itu memikat jiwa mereka.
Selain daripada kategori seperti di atas, ada juga
yang memilih kedua-kedua kategori. Kecantikan pun diutamakan, budi pekerti pun
turut menjadi pilihan.
Jika dibandingkan dengan zaman sekarang, pemuda
pemudi kaum India dahulu bergantung kepada ibu bapa atau saudara mara untuk
memilih teman hidup.
Kini walaupun masih ada situasi seperti itu, namun
sudah amat berkurangan. Alam percintaan lebih diutamakan daripada alam
perkahwinan. Walau bagaimanapun, restu kedua orang tua amat diperlukan untuk
mendirikan rumah tangga.
Alam percintaan yang penuh dengan keindahan
kadang-kadang akan mengelabui mata. Segala apa yang dilakukan oleh si dia semuanya
akan menjadi betul walaupun ada yang salah dan silap.
Walaupun akan ada pergeseran, ia dapat diperbaiki
dengan adanya sifat tolak ansur. Ia juga sama kepada pasangan itu selepas
mendirikan rumah tangga. Tanpa tolak ansur, keluarga yang dibina pasti akan
binasa.
Bagaimana pula dengan cinta bertepuk sebelah tangan?
Ini yang menjadi masalah utama kepada mereka yang mahu bercinta tetapi cinta
itu tidak dibalas, ataupun cinta itu dibalas tetapi tidak bertahan lama.
Baru-baru ini saya berhadapan dengan dua orang
rakan yang menceritakan dua masalah yang hampir sama dengan saya. Seorang
membawa kisah yang cintanya tidak diterima atas perbezaan kaum dan usia yang
jauh berbeza.
Yang lagi seorang pula membawa kisah, cintanya
diterima dahulu tetapi setelah ada ‘jodoh’ baharu yang jauh lagi bagus
kedudukannya, kini meninggalkannya.
Kedua-dua rakan ini tidak dapat melupakan perempuan
yang sudah pun dianggap sebagai kekasih mereka. Saya faham, pada permulaannya
ia agak sukar untuk dilupakan begitu sahaja. Keadaan ini masih berlarutan
walaupun ia telah terjadi lebih enam bulan. Mereka juga tidak tenteram dan
tidak dapat laksanakan tanggungjawab mereka di tempat kerja. Mereka juga cepat
marah.
Kedua-dua rakan ini masih berdegil hendak
meneruskan percintaan mereka hingga timbul beberapa masalah psikologi pada diri
mereka. Mereka tidak dapat bekerja dengan tenteram. Rakan seorang lagi masih
bercinta dengan menulis menerusi paparan ayat-ayat cinta di Facebook. Sedangkan
perempuan yang enggan menerima cinta itu sudah pun menyekat (block) dia di media sosial berkenaan.
Mereka menceritakan kisah ini kepada saya bukan
dengan tujuan untuk mendapatkan khidmat nasihat untuk melupakan kekasih
masing-masing. Lagipun saya bukanlah seorang pakar dalam bidang kaunseling.
Mungkin mereka berdua mendapat kelegaan sementara dengan menceritakan kisah
putus cinta mereka itu.
Saya bukan sekadar mendengar, saya juga ada memberi
cadangan-cadangan yang akan membolehkan mereka mengubah cara hidup mereka.
i. Jangan bekerja lagi di tempat sama di mana
perempuan itu bekerja.
ii. Buatlah perkara yang disukai.
iii. Padamkan segala gambar atau mesej berkenaan
perempuan itu serta merta.
iv. Kurangkan masa bersendirian, lebihkan beriadah.
v. Bacalah pelbagai jenis buku. Ini akan mengubah
cara pemikiran ke arah lebih positif.
vi. Carilah teman baharu kelak dengan lebih
berhati-hati.
vii. Semoga teman baharu itu mempunyai kegemaran
yang sama dengan anda.
Walaupun beberapa cadangan telah diberi untuk
membolehkan mereka melupakan cinta yang telah menjadi parah. Itu tertakluk pada
usaha mereka sendiri. Jika mereka benar-benar ingin menjadi manusia baharu,
mereka harus berubah. Ya, berubah.
Akan berubahkah kedua-dua rakan saya ini?
[M. Mahendran dilahirkan di
Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa
Malaysia dan Tamil sejak 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan
cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen Tamil. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh
dibaca di sini.]