Generasi Penerus Tradisi

“Sebagaimana anda semua sedia maklum, sentiasa ada pihak yang cuba menggugat kepercayaan dan amalan kita. Pelbagai janji manis diberi untuk menarik kita menyertai mereka.”

Raman memandang wajah para remaja di hadapannya dengan penuh prihatin. Dalam diam, dia amat berharap mereka berpegang teguh kepada ajaran ketua dan tidak sesekali menjadi mangsa pendakyah.

“Menyedari hakikat itulah, sebaik sahaja remaja dalam komuniti kita mencapai usia lima belas tahun, kita mengatur taklimat dan perkhemahan khas seperti ini. Kita mahu membantu anda membina benteng yang teguh untuk mampu melawan segala hasutan dan godaan dari luar sana.”

Sekumpulan 25 remaja lelaki dan perempuan yang berkumpul di dewan berpendingin hawa itu mendengar dengan teliti setiap butir kata Raman, pemuda berumur 21 tahun yang dipandang tinggi sebagai salah seorang mentor dan pembimbing mereka sejak usia kanak-kanak.

“Tradisi dan amalan perlu diteruskan,” Raman sentiasa mengingatkan.

Sejak tiga tahun lalu, setiap kali kem seperti ini diadakan, Raman tidak lupa berkongsi cerita tentang beberapa orang rakannya yang termakan hasutan pendakyah, lalu memilih untuk meninggalkan amalan yang menjadi budaya sejak lahir.

“Pihak kita tidak mampu berbuat apa-apa kerana tangan kita terikat. Pihak satu lagi lebih kuat dan berpengaruh. Sebagai minoriti, kita sering menjadi mangsa tanpa ada ruang dan peluang untuk menuntut hak serta melindungi para pengikut kita,” Raman menyatakan fakta yang wajar diketahui kelompok remaja yang duduk di hadapannya.

Suasana sepi seketika. Kumpulan remaja yang menghadiri sesi taklimat ternyata sedang menghadam setiap butir kata mentor berkenaan yang disegani dan dipandang tinggi.

“Kami berikrar dan berjanji akan kekal setia tanpa terpengaruh dengan dakyah dan tipu-helah pihak luar yang sentiasa menunggu masa untuk menghancurkan kita,” tegas seorang remaja lelaki yang membuat pembentangan kerja berkumpulan, hampir dua jam kemudian.

Raman pada waktu itu sedang duduk di meja hadapan dan meneliti borang biodata para peserta. Dia menjeling ke arah remaja berkenaan. Raman teruja mendengar kata-kata berupa ikrar dan janji yang dizahirkan remaja itu mewakili rakan-rakan dalam kumpulannya.

Para peserta perkhemahan dibahagi kepada lima kumpulan dan masing-masing dibimbing dua belia yang teguh berpegang pada ajaran, amalan, dan budaya kultus. Beberapa tokoh yang pernah berguru secara langsung dengan Datuk Guluji diundang memberi ceramah dan pencerahan kepada golongan remaja ini tentang ajaran sebenar yang dibawa dan disebarkan pemimpin mereka.(bersambung

[Cerpen penuh boleh dibaca dalam buku Sebelas Amanat Swamiji]

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]