Untuk menjayakan sesuatu perkara atau projek menjadi nyata, semua bergantung di tangan kita. Segala perancangan yang kita lakukan, baik untuk diri kita ataupun untuk orang lain, pasti perlu dilaksanakan seperti mana diperlukan.
Tanpa perancangan terperinci, sudah pasti ia tidak
akan dicapai dengan jayanya. Setiap langkah perlu diambil dengan cara yang
bijak sebelum diheboh kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang awam. Perbincangan
boleh dilakukan bersama mereka untuk menerima pandangan dan khidmat nasihat
sebelum membuat keputusan muktamad.
Saya sering menemui mereka yang suka menguar-uarkan
perkara yang ingin dilakukan tanpa usul periksa terlebih dahulu. Mereka suka
bercakap besar, seperti akan buat itu dan ini. Cara pertuturan mereka sahaja
akan menjelaskan mereka akan meneruskan atau tidak usul mereka.
Orang yang bekerja keras ke arah pencapaian dan mereka
yang omong kosong ada perbezaannya. Mereka yang tahu akan arah tuju sebenar tidak
akan gembar-gemburkan segala tindakan yang dibuat. Mereka akan bertindak
bersendirian secara senyap-senyap. Jika perkara yang perlu dilaksanakan itu
agak besar, mereka akan memilih inidividu-individu tertentu yang mahir dalam
bidang tersebut. Mereka tidak akan mengambil langkah tanpa usul-periksa.
Jenis manusia yang omong kosong, cuma tahu cakap,
cakap dan bercakap sahaja. Mereka akan berbangga bahawa tahu segala-gala
perkara di dunia ini. Mereka akan cuba perbodohkan orang lain dengan kebodohan
mereka sendiri tanpa menyedari status pihak yang mendengar.
Kita tidak dapat elak daripada menemui manusia
seperti ini dalam kehidupan seharian kita. Malah, ramai berperanan begitu dalam
kalangan kawan kita atau ahli keluarga kita sendiri.
Kita sebagai pendengar akan berasa sukar untuk
terus mendengar segala apa yang diceritakan oleh mereka. Kita cuma boleh
berpura-pura dengar tanpa memberi pandangan. Orang seperti ini tidak akan akur
kepada cadangan kita. Mereka sudah membina mahligai dalam imiginasi dan
kata-kata. Sebagai pendengar, kita hanya boleh mendengar sahaja.
Saya sebagai pemerhati gelagat manusia seperti ini
saban hari, berharap agar mereka akan mengubah cara pemikiran dan pertuturan
mereka. Orang seperti ini pasti tidak akan kotakan apa yang dikata.
Mereka yang mempunyai sikap seperti ini harus tahu
batas mereka. Mereka tidak harus menyinggung perasaan pendengar dengan menguji
kesabaran mereka.
Saya sering cuba mengelak orang seperti ini dengan
beberapa cara. Walaupun ia tidak dapat dielakkan seratus peratus, masih boleh
dicuba. Semoga cara-cara yang disebut di
bawah ini akan menolong mereka menghindari parasit seperti ini sedikit demi
sedikit.
Apabila mereka berkobar-kobar bercerita mengenai
janji-janji mereka, berpura-puralah sibuk melayan mesej di telefon atau buat
perkara lain. Mereka akan tahu anda tidak berminat dengan topik yang sedang
diperkatakan.
Jangan jawab mesej mereka di WhatsApp atau panggilan mereka. Lebih baik sekat (block) mereka dalam talian (online). Ini akan menyedarkan mereka
kelak. Tindakan ini nampak agak keras. Ia tetap akan berfungsi.
Elakkan berjumpa atau lepak bersama orang seperti
ini di kedai kopi. Anda sedang membazir masa dan tidak akan beri apa-apa
manfaat.
Sebagai manusia yang waras, kita perlu berkawan
dengan mereka yang berfikiran positif dan mempunyai hala tuju. Hubungan bersama
mereka yang benar-benar menjalankan tugas demi kejayaan sudah tentu akan
mengubah cara kehidupan kita untuk jangka masa panjang.
Apa yang saya nyatakan ini amat berguna untuk kita
bersama-bersama membendung manusia-manusia palsu di muka bumi ini, lebih-lebih
lagi para politikus.
[M. Mahendran dilahirkan di
Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa
Malaysia dan Tamil sejak 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan
cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen Tamil. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh
dibaca di sini.]