Ibu kepada tiga anak lelaki ini berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan sangat aktif dalam yoga. Beliau menamatkan pendidikan rendah dan menengah di Seremban. Pada usia 18 tahun, Sangeetha mula berkhidmat sebagai pramugari dengan Singapore Airlines dan pada masa yang sama melanjutkan pelajaran secara sambilan. Selepas 10 tahun dengan Singapore Airlines, beliau kembali ke tanah air setelah mendirikan rumah tangga.
Kini, Sangeetha menjadi tenaga pengajar yoga sepenuh masa setelah menamatkan kursus pensijilan jurulatih yoga dengan Sakthi School of Yoga, Kajang pada tahun 2017. Beliau juga merupakan pakar yoga onkologi dan mempunyai pensijilan bertaraf antarabangsa.
Apakah
yang mendorong saudari untuk mengikuti kursus yoga dan menjadi seorang tenaga
pengajar?
Selepas
melahirkan anak ketiga, banyak tenaga, tumpuan dan masa yang saya ada diberikan
kepada keluarga saya. Pada masa itu, saya teringin membuat sesuatu bagi diri sendiri.
Justeru, saya mengambil keputusan untuk menyertai kelas yoga. Selepas setahun,
saya mengambil keputusan untuk langkah yang lebih mencabar dengan menyertai
kursus pensijilan jurulatih yoga.
Siapakah
yang menjadi tunjang kepada saudari?
Suami
saya, Thilegeswaran sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk memenuhi
setiap keinginan saya. Sokongan suami dan anak-anak memberi peluang kepada saya
untuk terus cemerlang dan bergerak positif dalam bidang ini.
Bagaimana
saudari boleh terlibat dengan yoga berkaitan dengan onkologi?
Pada
tahun 2013, saya kehilangan abang kerana kanser. Pada masa itu, kami sekeluarga
tidak tahu apa yang boleh kami lakukan untuk memberi ketenangan kepada abang
saya. Kami cuba sedaya upaya untuk memberi kekuatan daripada pelbagai aspek,
namun kami gagal dan akhirnya Tuhan Yang Maha Esa telah memilih untuk
membawanya pulang.
Selepas itu, saya mengambil kesempatan yang ada untuk mengkaji dan belajar cara-cara untuk membantu mereka yang telah disahkan menghidap kanser. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melaksanakan kursus pensijilan jurulatih yoga secara dalam talian dengan yoga4cancer dari Amerika Syarikat.
Bagaimana
penerimaan orang ramai terhadap yoga onkologi terutamanya pesakit kanser?
Mereka
yang pernah bersama saya dalam kelas, sentiasa memberikan maklum balas positif
kerana mereka dapat merasakan faedah pergerakan fizikal (asana) dan teknik
pernafasan (pranayama) dalam yoga yang banyak membantu pesakit kanser.
Dengan
ini, mereka sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan sampingan yang dilalui
akibat ubat, kemoterapi, radioterapi dan lain-lain rawatan sampingan.
Mereka
juga berasa selesa kerana setiap sesi dikendalikan secara perseorangan dan
memberi tumpuan khusus mengikut kehendak mereka.
Apakah
teknik dalam yoga yang anda gunakan untuk mendekati pesakit kanser?
Setiap
pesakit kanser memerlukan pendekataan yang berbeza. Pelbagai perkara perlu
diambil kira sebelum merancang sesi yoga untuk mereka. Kelas yoga onkologi dirancang
berdasarkan jenis kanser, tahap kanser, jenis rawatan yang sedang diterima oleh
pesakit, jenis pembedahan yang telah dilalui dan akan dilalui serta umur
pesakit.
Lazimnya,
teknik yoga flow dengan alat paraga sangat membantu dalam sesi yoga.
Apakah
langkah-langkah yang diambil oleh saudari untuk mengharungi segala rintangan
dan cabaran dalam bidang ini?
Sesungguhnya,
segala rintangan dan cabaran diharungi dengan pengurusan masa yang baik dan
sokongan ahli keluarga.
Sebagai
ibu, saya tahu kepentingan dan bertanggung jawab terhadap keperluan anak-anak
yang masih belajar. Saya sentiasa mengutamakan mereka disamping tanggung jawab
saya sebagai jurulatih yoga.
Saya
juga mengendalikan kelas yoga biasa di studio yang terletak di Seremban.
Pesakit kanser biasanya diberi kelas individu sama ada secara bersemuka atau
dalam talian. Sekiranya, mereka melepasi satu tahap yang membolehkan mereka
untuk menyertai kelas secara berkumpulan, mereka digalakkan untuk berbuat
demikian.
Persediaan
untuk kelas boleh mengambil masa yang agak lama kerana keperluan setiap
individu perlu diberi penelitian. Perancangan yang baik sangat penting untuk
perjalanan kelas yang lancar dan boleh mengambil masa dua atau tiga jam.
Biasanya, saya gunakan masa anak-anak di sekolah untuk persediaan dan
pengendaliaan kelas perseorangan.
Apakah
nasihat saudari kepada mereka yang ingin menceburi bidang yoga untuk membantu
mereka yang menghadapi sakit kronik?
Ambil
tindakan dengan segera. Masa itu sangat penting. Daftarlah dengan segera untuk menjadi
tenaga pengajar atau pelajar yoga kerana melalui yoga seseorang itu boleh
memperoleh faedah dari segi fizikal dan mental, juga emosi dan rohani.
Luangkan
masa untuk membuat kajian, belajar dan ajar mereka yang menghidap penyakit
kronik untuk membantu mengurangkan kesakitan dan derita yang dialami oleh
pesakit kronik.
Saya
selalu percaya bahawa seseorang yang membawa yoga kepada keluarganya dapat
mengubah dan membentuk keluarga itu menjadi sihat dan membentuk perwatakan yang
baik melalui pengamalan nilai-nilai murni yang ada dalam pelbagai teks yoga.
[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau
mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan
pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran
Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau
termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum
India (Kavyan).
Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan
boleh dibaca di sini.]