Saya percaya tidak akan ada adik-beradik di muka bumi ini hidup aman dan sentosa sepanjang hayat mereka. Tidak kira yang mempunyai ramai adik-beradik ataupun kurang, sudah tentu mereka pernah bergaduh dan bertumbuk semasa kecil.
Yang menjadi anak tunggal, lainlah pula kisah
mereka. Mereka tidak dapat dibawa masuk ke dalam topik ini. Mereka adalah insan
yang perlu dikasihani kerana tidak berpeluang untuk beramah mesra bersama
adik-beradik dan juga untuk bertumbuk.
Pergaduhan sesama adik-beradik pada usia kecil
sudah tentu bermula dengan merebut barang kegemaran seperti mainan atau makanan
ringan. Lebih-lebih lagi adik-beradik lelaki. Sudah tentu ada yang pecah kepala
hingga dijahit.
Kebanyakan Ibu
ibu bapa mempunyai sikap pilih kasih terhadap
anak-anak mereka. Ini juga membenihkan sikap benci-membenci sesama mereka.
Pokoknya, ibu bapalah tunjang utama untuk anak-anak menjalinkan silaturahim. Ibu
bapa memainkan peranan penting mendidik anak-anak mereka supaya sentiasa bersatu
dan dapat menyelesaikan masalah yang timbul dengan kadar segera.
Pergaduhan atau perselisihan faham antara
adik-beradik semasa kecil, sudah pasti dapat diselesaikan. Masing-masing pun
tinggal di bawah satu bumbung. Pertembungan mata
pada setiap saat dan minit akan melenyapkan keraguan untuk ‘berkawan’ semula.
Proses perubahan pada tubuh badan, pendidikan dan
hubungan rakan-rakan yang bebeza sikap dan perangai, akan mengubah pendirian
seseorang. Fikiran mereka yang bergerak di ruang lingkup yang tertutup sewaktu
kecil akan beransur ke arah lain semasa meningkat remaja hingga ke dewasa.
Lebih-lebih lagi media sosial masa kini dengan mudahnya disalahgunakan untuk
tujuan-tujuan tidak beretika.
Adik-beradik yang meningkat remaja dan dewasa sudah
pasti mempunyai cara fikir yang berbeza. Perbezaan inilah permulaan untuk
merenggangkan hubungan mereka. Lebih-lebih lagi jika masing-masing mencapai kualiti
pendidikan dan taraf hidup yang berbeza.
Selain daripada perbezaan taraf hidup, akibat
mendirikan rumah tangga bersama pasangan yang
tidak waras juga akan mengundang keretakan dalam hubungan adik-beradik. Boleh
dikatakan 70% adik-beradik terpisah berpunca daripada mendengar kata-kata
isteri atau suami masing-masing. Ini adalah daripada pengamatan saya sendiri.
Malah, drama bersiri Tamil dari India di Astro
banyak mengisahkan kisah-kisah sebegini. Pengaruh menonton serial juga telah
menghancurkan banyak rumah tangga di negara
kita.
Pada pengamatan saya selama ini, kebanyakan adik-beradik
jarang berusaha untuk berbaik semula. Walaupun di
dalam hati mereka berfikir untuk berbaik, namun ego
yang bermaharajalela menjadi penghalang. Mereka tidak fikir kehidupan manusia
bukan untuk selama-lamanya di muka bumi ini. Lagipun kita tidak boleh membawa pulang apa-apa selepas mati.
Cara terbaik untuk mengelakkan kerenggangan sesama
adik-beradik mahupun ahli keluarga yang lain adalah dengan menjadi neutral
dalam segala perkara. Mungkin agak sukar untuk berbaik seperti dahulu, ia masih
boleh dibaiki dengan sapaan biasa dan bersahaja tanpa perlu beria-ria beria-ia.
Yang penting, kita masih berhubung, bertegur sapa
dan mengambil bahagian dalam semua suka-duka mereka tanpa melampaui batas. Ini
akan mengekalkan silaturahim hingga ke akhir hayat.
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen
bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.
Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]