“Kau tengok tu. Laju betul! Dia pasti tidak akan berhenti. Aku dah bagi isyarat ni, sebelum Merah. Dia terus tekan minyak. Lagi laju. Apalah yang dikejarnya? Hampir kena langgar tu.”
“Kau ni. Macamlah kau tidak tahu perangai
mereka. Mereka ingat ini tempat untuk berlumba. Berkejar-kejar. Masuk kanan,
masuk kiri. Mereka tidak tahu sebenarnya kita cuba selamatkan mereka. Kita ajar
mereka untuk bersabar. Tapi …”
“Dia bukannya nak berhenti apabila nampak kau berkelip-kelip. Dia terus tekan
minyak. Nasib baiklah badan kita masih teguh,” sampuk Si Hijau.
“Teguh apa? Kau tak ingatkah kita pernah
dilanggar, ditendang dan dihancurkan. Mereka semua ingat kita ni tahan lasak.”
“Betullah. Baru aku ingat. Berkecai di atas jalan. Tak ada yang peduli pun. Tersadai dua
tiga hari.”
“Aku pelik jugalah. Apabila
kita sakit seketika dipanah petir, bukan main marah mereka ni. Tapi, apabila kita elok berfungsi, dia orang langgar je
isyarat yang kita beri.”
“Aku sebenarnya pelik dengan perangai mereka. Apabila ambulans nak lalu, nak berkejar ke hospital,
tak pulak mereka nak bagi laluan. Ikut peraturan konon. Berhenti tanpa bergerak
di lampu isyarat merah walaupun ambulans sudah lama berbunyi.”
“Betul kata kau, Merah. Aku pun perasan. Nak
ikut peraturan masa yang tak patut,” ujar Hijau selamba.
“Apabila orang
berjalan melintas jalan pun sama. Padahal, mereka yang melintas menggunakan
lintasan belang selepas Merah mula menyala menandakan kenderaan mesti berhenti.
Ada yang tidak mahu beri laluan kepada pejalan kaki. Paling hebat semua suka
bandingkan negara sendiri dengan negara luar.”
“Betul tu. Kalau di negara orang, elok je mereka
boleh ikut semua peraturan. Di negara sendiri, ikut suka hati pula.”
“Bilalah mereka akan berubah.”
“Sekurang-kurangnya kemalangan dapat dikurangkan
dan nyawa tidak akan melayang sewenang-wenangnya.”
“Kau ingat mereka peduli?
Mereka tidak hiraukan anak-anak dan isteri di rumah. Mereka cuma nak
sampai ke destinasi secepat mungkin. Kesabaran tiada kaitan dengan kita
bertiga, mahupun lelaki atau perempuan.”
“Aku juga hairan dengan mereka yang menunggang motor
motosikal tanpa memakai topi keledar.”
“Kepala mereka diperbuat daripada besi. Tahan
selama-lamanya,” perli Si Oren pula.
“Yalah tu. Yang tua, muda, berpelajaran atau
tidak, semuanya sama sahaja. Apabila sesuatu
sudah berlaku baru nak buat macam-macam. Tiada yang mahu mengambil langkah
pencegahan.”
Bang!
“Adui!”
Darah mula berlumuran di atas jalan.
[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau
mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan
pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran
Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau
termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum
India (Kavyan).
Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan
boleh dibaca di sini.]