Ulasan Cerpen “Pulang Bersama Teman”

Keunikan penulisan Anuradha Chelliah terletak pada kemampuan mengangkat tema-tema yang kelihatan biasa tetapi sebenarnya memberikan perspektif dan pengalaman baharu kepada pembaca.

Salah satu cerpen demikian ialah “Pulang Bersama Teman” yang disiarkan di portal Eksentrika (27 Disember 2019) sebelum dimuatkan dalam antologi Landasan Hidup (2020).

Cerpen ini boleh dibaca pada beberapa lapis makna. Apabila diulang baca, maka kita akan “melihat, memahami, dan menghayati” kisah yang disajikan pada tahap yang berbeza. Hal ini menjadikan karya berkenaan lebih bernilai dan wajar diperkatakan.

Pada lapis pertama, Anuradha mengangkat kisah seorang pemuda (“Dia”) yang menghadapi dilema kerana perlu pulang ke kampung di Parit Buntar, Perak sempena thiruvizha iaitu perayaan tahunan di kuil.

Sebagai seorang pemuda berkerjaya dan memiliki sumber pendapatan yang stabil, tentulah dia akan mendapat tekanan dan desakan daripada ibu bapa supaya segera mendirikan rumah tangga.

Gambaran realiti kehidupan, corak pemikiran, dan budaya kaum India disajikan secara penuh meyakinkan; bukan dipaksa-paksa. Watak utama yang kini menetap dan berkerja di Bangkok, Thailand berdepan dilema iaitu sama ada perlu tunduk kepada desakan keluarga atau kekal dengan gaya hidup pilihan sendiri.

Sebagai sebuah cereka yang tidak sekadar “bercerita untuk bercerita”, Anuradha memberikan satu kejutan atau twist pada pertengahan cerita. Kita mendapat tahu bahawa si pemuda yang merupakan watak pencerita dalam cerpen ini sebenarnya sudah ada seorang teman.

Kehadiran teman atau kekasih ini tidak diketahui keluarga. Situasi ini juga menimbulkan dilema baharu kepada watak pemuda itu yang bersedia untuk pulang ke kampung.

Pembaca turut dikejutkan dengan kehadiran watak seorang anak! Segala pendedahan yang dibuat sedikit demi sedikit membuatkan reaksi, pandangan, dan pemahaman pembaca sentiasa berubah.

“Mengapa agaknya dia tidak mahu berkahwin? Oh, rupa-rupanya dia sudah ada kekasih. Mengapa dia tidak memberitahu ibu bapa tentang kekasih itu? Oh, rupa-rupanya sudah ada anak!” Demikian antara aliran pemikiran pembaca yang mengikuti cerita ini dengan cermat.

Akan tetapi, kejutan atau twist tidak berakhir di situ sahaja. Kita diberitahu pula beberapa lagi perkara – sedikit demi sedikit dan dengan penuh kreatif – oleh Anuradha sehingga akhirnya kita mengetahui keseluruhan punca dilema dialami watak utama.

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]