Saya mula melibatkan diri dalam bidang penulisan
kreatif sejak tahun 1987. Cerpen-cerpen yang saya hasilkan di dalam Bahasa Malaysia dan Tamil adalah
berdasarkan pengamatan saya pada perkara yang berlaku di sekeliling saya dan
juga melalui pembacaan bahan kreatif sejak dari bangku sekolah rendah.
Tanpa bimbingan asas di
dalam bidang penulisan, saya telah pun menghasilkan beberapa cerpen di dalam kedua-dua bahasa ini. Walaupun banyak
bengkel penulisan dijalankan merata tempat di luar dari daerah saya, saya tidak
ambil inisiatif untuk menyertainya. Mungkin saya berfikiran sempit. Saya bangga
saya sudah boleh hasilkan karya, buat apa perlu hadiri bengkel.
Saya berpendapat, apa yang saya hasilkan dengan
cara saya itu adalah betul. Ini adalah kerana karya-karya yang saya hasilkan
ketika itu disiarkan di akhbar dan majalah. Begitu juga ada beberapa karya memenangi
hadiah di dalam pertandingan menulis. Ini
membuatkan saya lebih konfident yakin pada bakat dan dengan kerja yang saya hasilkan
itu.
Sebagai ahli pertubuhan Kavyan sejak tahun 1999,
saya cuma pernah menghadiri beberapa aktiviti sahaja sejak ditubuhkan. Dan saya
tidak dapat hadir ke bengkel-bengkel penulisan yang dimentorkan oleh Uthaya
Sankar SB. Waktu itu saya bekerja di Temerloh dan ia menyukarkan saya untuk
menyertai apa-apa aktiviti yang berlangsung di ibu kota.
Cuma pada penghujung tahun 2018 dan sepanjang tahun
2019, apabila saya sudah mempunyai banyak masa lapang, saya mula menyertai Sesi
Penulisan Intensif yang dianjurkan oleh Kavyan. Kebanyakan program penulisan
dan pembacaan ini berlangsung di sekitar kawasan Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Pada sesi penulisan pertama pada bulan Disember
2018 yang saya haidiri itu, banyak perkara saya pelajari. Baru itu saya ketahui kebanyakan format penulisan yang saya
gunakan semasa menulis adalah tidak betul. Saya rasa bersalah dengan kealpaan
selama 30 tahun itu. Saya menyesuaikan diri sama seperti penulis baharu di dalam sesi tersebut. Ia membuka mata saya untuk
lebih berwaspada dan yakin untuk menghasilkan karya-karya seterusnya.
Selain daripada mempelajari cara-cara menulis
dengan lebih sistematik, saya juga berpeluang untuk menghadiri
aktiviti-aktiviti membaca petikan karya sendiri di khalayak ramai. Ini juga
merupakan satu perkara baharu di dalam
kehidupan saya. Petikan cerpen perlu dibaca dengan gaya dan intonasi yang
menarik, baru ia akan menimbulkan minat pendengar/penonton untuk terus menumpu
perhatian kepada pembacaan kita.
Menghadiri aktiviti-aktiviti anjuran Kavyan juga
telah menemukan saya dengan beberapa penulis lama dan juga baharu. Ini dapat
membantu kami berkongsi pengalaman dan juga memberi galakan kepada
penulis-penulis baharu.
Walaupun Kavyan diasaskan untuk penulis kaum India
yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, itu tidak bermaksud kaum-kaum lain
dipinggirkan. Banyak aktiviti seperti aktiviti baca cerpen telah dilangsungkan
di SKJC dan SK. Begitu juga dengan pertemuan-pertemuan dengan penulis pelbagai
kaum.
Interaksi sebegini telah memberi kesedaran dan
keyakinan dalam diri untuk bersatu padu dalam
usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dan karya di
dalam bahasa itu.
Saya masih menghadiri sesi-sesi penulisan tanpa
berasa segan untuk turut serta bersama peserta-peserta yang jauh lebih muda
daripada saya. Malah ia lagi “memudakan” saya.
Semoga apa yang saya perolehi bersama Kavyan turut
dikecapi oleh sesiapa sahaja bersama Kavyan selama 25 tahun ini.
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang
penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak 1987. Karupaya (2018)
adalah Kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) Kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau
dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh
dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]