Persiapan
Saya tidak pernah memiliki pasport antarabangsa
pada usia muda. Sebelum ini, saya hanya mempunyai pasport biru untuk ke
Singapura sahaja yang diambil pada umur sembilan tahun. Hanya sekali sahaja
saya pernah ke Singapura bersama keluarga, semasa cuti penggal sekolah pada
tahun 1980. Kami menaiki keretapi melawat saudara mara sebelah bapa, di sana.
Pasport biru itu diperbaharui pada tahun 1988 dan
tidak digunakan langsung.
Selama bekerja lebih daripada tiga puluh tahun,
saya tidak terfikir untuk mengambil pasport; walaupun digesa oleh ahli keluarga
dan sanak saudara. Saya yang tidak berani untuk naik kapal terbang sejak
kejadian terhempasnya pesawat Mas (MH653) di Tanjung Kupang, Johor pada tahun
1977 serta pengaruh filem-filem Hollywood seperti Airport 75 dan Airport
77 dan kehilangan pesawat Mas (MH370) pada 8 Mac 2014, sentiasa menghantui
saya.
Namun, keinginan untuk melawat luar negara memang
ujud jauh di sudut hati apabila melihat ramai sanak-saudara serta rakan-rakan
berbuat demikian. Akhirnya, tercapai juga cita-cita itu pada usia yang ke-56.
Ia bermula dengan persaraan saya pada bulan
Disember 2023. Perkara pertama yang
dilakukan ialah ke Jabatan Imigresen di bandar Raub. Untuk julung kali, saya
memiliki pasport antarabangsa. Buku
kecil berwarna merah itu ditatap beberapa kali.
Walaupun pasport sudah ada di tangan, saya tidak
terburu-buru membuat perancangan. Saya hanya berfikir untuk melawat
saudara-mara di Singapura sahaja, bila lapang.
Pada Febuari 2024, keluarga adik perempuan saya
membuat lawatan ke Tamil Nadu, India. Saya diajak. Oleh kerana belum bersedia, saya
menolak peluang itu. Kemudian pada bulan Mac, adik ipar saya Raymond, mengajak
saya semula. Kali ini dirancang kami berdua sahaja melawat Tamil Nadu, India
pada bulan Mei. Rancangannya untuk melawat kuil-kuil Hindu lama dan bersejarah.
Kali ini saya tidak boleh lagi melepaskan peluang. Saya pun bersetuju.Tiket
ditempah.
Perjalanan kami dirancang bermula dari bandar Tiruchirappalli,
Ramanathapuram, Rameshwaram, Mathurai, Tanjavur dan kembali semula ke Tiruchirappalli.
Iaitu, bermula dari 31 Mei hingga 3 Jun 2024. Empat hari sahaja.
Dari Bentong, saya telah ke rumah adik saya di Seri
Kembangan pada 30hb Mei. Raymond
menyerahkan wang dalam bentuk Rupee. Sebanyak Rp15,000 ditukarkan untuk saya.
Itu sahaja kemampuan saya.
31.05. 2024
Setelah bersiap sedia pada jam 3.30 pagi, saya dan Raymond,
menaiki Grab ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2). Lebih
kurang jam 4.30 pagi kami sudah tiba di KLIA 2.
Amat teruja saya untuk menjejakkan kaki ke dalam
bangunan itu. Walaupun ia agak sama dengan bangunan Terminal KL Sentral,
suasananya berbeza. Kami minum kopi di McDonalds dan menikmati bun kaya
yang dibeli dari Family Mart. Sarapan terawal dalam hidup saya.
Ini juga kali pertama bagi saya menyorong bagasi
yang besar sepanjang pergerakan saya di KLIA 2. Perasaan bercampur baur;
memikirkan bagaimana keadaan dalam kapal terbang nanti. Ia sering merunsingkan
saya.
Selepas pemeriksaan tiket dan pasport, bagasi ditimbang.
Kemudian bagasi dan badan kami turut diperiksa menggunakan mesin pengimbas yang
canggih.
Setelah menanti lebih kurang satu jam, kami masuk
ke dalam perut kapal terbang Air Asia ke Tiruchirappalli pada jam 6.30
pagi. Keadaan dalam kapal terbang, langsung tidak sama seperti sangkaan saya.
Tempat duduknya rapat-rapat serta tempat laluan di dalamnya jauh lebih sempit
daripada bas ekspres.
Bagasi kami diletakkan di atas tempat duduk. Tali
pinggang keledar di pasang. Pramugara dan pramugari yang tampan dan comel
menerangkan cara-cara meyelamatkan diri jika berlaku kecemasan. Begitu juga
diterangkan melalui pembesar suara.
Tepat jam 7.15 pagi pesawat AK 25 mula berangkat.
Jantung saya berdebar kencang. Saya melihat keluar melalui tingkap kecil di
hujung tempat duduk saya. Saya dapat lihat sayap pesawat di sebelah kanan.
Telefon bimbit disenyapkan pada flight mode. Saya
cuba menonton filem yang sudah dimuat turun sebelum ini. Dalam masa setengah
jam keberangkatan kami, tiba-tiba pesawat kami itu mula bergoncang agak laju.
Kebanyakan penumpang mula menjerit. Saya
yang ke tandas ketika itu terkejut dengan goncangan itu dan berpatah balik ke
tempat duduk.
Raymond yang biasa naik pesawat pun terkejut.
Katanya, kapal terbang pun sudah terkejut dengan kedatangan saya. (bersambung)
(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana
diterangkan di sini]
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen
bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.
Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]