Sepanjang Perjalanan di Tamil Nadu, India (Bahagian 8)

03.06.2024

Pagi ini pun saya bangun awal seperti biasa. Begitu juga dengan Raymond. Kami turun ke bawah melihat kawasan perkarangan hotel Parisutham. Kami lepak sebentar di kawasan kolam renang. Tidak kedengaran apa-apa bunyi di sini. Tenang sahaja.

Setelah bersarapan di hotel, Raymond menghubungi jurupandu kami, Raaji. Setelah Raaji tiba, bagasi dimasukkan ke dalam bonet. Ini adalah hotel terakhir untuk kami di Tamil Nadu dalam perjalanan ini.

Kami menuju ke Tanjavur Maratha Palace. Sebuah istana lama, juga berwarna perang keemasan. Dikatakan keluarga Bhonsle memerintah Tanjavur sejak tahun 1674 hingga 1855.

Dikenakan bayaran untuk masuk ke dalam.

Seperti kuil-kuil lama di sekitar Tamil Nadu, istana ini juga dibina menggunakan batu granit. Selain daripada keunikan bangunan, terdapat muzium dan perpustakaan di dalam. Perpustakaannya kecil sahaja.

Di luar muzium itu sahaja kelihatan beberapa patung dewa-dewi Hindu. Di dalam muzium boleh dilihat pelbagai patung dewa-dewi dengan bentuk dan warna yang berbeza. Kebanyakan patung ini diperolehi di sekitar Tamil Nadu beratus-ratus tahun dahulu.

Selain daripada itu, terdapat koleksi olai chuvadi, iaitu tulisan yang sungguh seni/kecil yang ditulis di atas daun kurma (palm leaf). Tulisan yang dihasilkan dalam tulisan lama Tamil ini agak sukar untuk dibaca. Tulisan Tamil telah mengalami perubahan mengikut peredaran zaman. Tulisan-tulisan seperti ini boleh di dapati di kebanyakan kuil-kuil lama yang kami lawati. Setiap kali saya cuba sedaya-upaya saya untuk membaca tulisan-tulisan tersebut. Memang tidak boleh.

Gambar-gambar serta lukisan-lukisan lama berkenaan istana ini terpampang di beberapa sudut di muzium ini. Peralatan-peralatan lama juga dipamerkan di sini.

Menikmati setiap penjuru istana dan mentafsir kejadian-kejadian lampau mengikut imaginasi, memang menyeronokkan. Itulah saya dan Raymond bualkan di dewan muzium ini.

Destinasi seterusnya adalah ke Tiruchirappalli. Sambil mendengar lagu-lagu Ilayaraaja dan A.R. Rahman yang dihidangkan dalam kereta, kami tiba di bandar Tiruchirappalli lebih kurang jam 11 pagi. Kami di bandar ini semula. Tempat pertama saya menjejakkan kaki di India, tiga hari yang lepas. 

Perkara pertama kami lakukan adalah memburu buku-buku yang dipesan oleh adik beradik dan saudara-mara.  Kebanyakan kedai-kedai buku di sini menjual buku-buku ilmiah yang digunakan di sekolah dan di institusi pengajian tinggi sahaja. Keadaan kedai pun tidak menarik. Sempit dan tidak ada ruang untuk berjalan.

Sebuah buku berkaitan dengan perubatan tradisional yang dicari oleh Raymond, langsung tidak ditemui. Begitu juga sebuah buku berkenaan filem yang saya mahukan. Raymond membeli beberapa buah buku berkenaan perubatan tradisional, sebuah buku cerita kanak-kanak dan sebuah buku teka silang kata dalam bahasa Tamil. Perlu ke Chennai untuk mendapatkan buku-buku yang tidak ada di sini. Lebih baik beli dalam talian sahaja, senang.

Waktu makan pun sudah tiba. Raaji membawa kami ke sebuah restoran yang terkemuka untuk masakan briyani. Raymond dan Raaji memesan nasi briyani ayam.  Saya memesan makanan nabati sahaja, namun saya merasa sedikit briyani dari pinggan Raymond. Memang sedap sungguh. Silap saya, tidak pesan tadi.

Sementara makan, Raaji telah menempah tiket filem untuk kami bertiga. Tidak dapat tiket untuk filem Garudan. Dapat untuk filem PT Sir sahaja. Itu sahaja filem, masa tayangannya sesuai untuk kami.

Sementara menunggu masa tayangan jam 2 petang, Raaji merelakan kami untuk bersiar-siar di kawasan Theppakulam.

Masuk sahaja dalam lorong ini, ia menyerupai Petaling Street ataupun Bazaar Ramadhan. Ramai orang jalan berpusu-pusu, kenderaan pun masuk ke dalam jalan yang sama.

Kami berhenti dan ambil udara dingin dalam gedung pakaian Saratha’s. Di sini pun staf-stafnya melayan kami dengan sungguh baik. Memang sukar dicari seperti mereka di Malaysia. Mereka sungguh berdedikasi.

Sepanjang lorong ini, ramai juga yang meminta sedekah. Mereka boleh cam orang Malaysia. Mungkin mereka menganggap orang Malaysia semua kaya belaka.

Kami menunggu Raaji di hujung persimpangan jalan. Setelah dihubungi, Raaji pun tiba.Kami menuju ke pawagam LA Cinema. Sebuah kompleks khas untuk pawagam. Ada 10 hall dalam kompleks ini.

Sebelum masuk, badan kami dan beg kami diperiksa. Keadaan dalam tidak banyak beza dengan pawagam di Malaysia. Cuma harga tiket barisan hadapan agak murah dibanding dengan yang belakang. Diberi 10 minit rehat dalam pertengahan filem. Filem PT Sir, kisah biasa-biasa sahaja.

Setelah tamat filem, kami minum teh di sebuah tea stall  berhampiran dengan LA Cinema. Minum the dan makan bajji pisang sambil berdiri memang suatu pengalaman baru.

Pesawat Air Asia kami ke Kuala Lumpur adalah pada jam 12.15 tengah malam ini. Masih ada masa.

Sekarang baru jam 6 petang. (bersambung)

(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]