Kedai Vaathiyaar

Paridah yang disayangi, waappa menulis. Saya sihat di sini. Saya berdoa setiap hari untuk kesejahteraan semua di sana.

Perniagaan di kedai seperti biasa, bagus.Tiada perubahan besar. Mungkin tiga bulan lagi saya akan ke sana.

Apa yang abang kamu buat dengan wang yang saya kirim? Dia kata nak buka mess. Jika boleh, minta dia tulis surat kepada saya. Dia hanya tahu pusing-pusing kampung dengan kawan-kawannya sahaja.

Simpan kira-kira dengan betul. Cuma beri wang kepada abang kamu apabila betul-betul perlu sahaja. Dia akan memahami kesusahan saya hanya apabila datang ke sini. Umma kamu akan faham. Saya ada menulis tentang ini, minggu lepas kepada Umma kamu.

Bagaimana dengan pengajian kamu? Waappa akan sedaya upaya membantu menyambung pengajian kamu. Kamu tidak perlu bimbang. Bashir tidak berpendidikan. Kamu sahaja harapan kami. Jangan bertandang di rumah orang seperti umma kamu. Saya tahu kamu tidak akan buat seperti itu. Waappa mengingatkan sahaja.

Itu adalah tulisan saya daripada apa yang saya dengar dari mulut Vaathiyaar.

Vaathiyaar tidak meneruskan lagi. Dia sedang mengunyah sirih. Saya menekup tangan di belakang kepala.

“Jangan tekup tangan di kepala," kata Vaathiyar.

Saya tidak tahu mengapa dia berkata begitu. Di rumah pun jika saya menekup kepala atau leher, emak akan marah. Jika ditanya mengapa tidak boleh, emak akan diam sahaja.

Saya menulis menggunakan pen mata bola Kilometrico. Harap anak perempuan Vaathiyaar boleh membaca tulisan saya. Inknya terputus-putus. Saya tidak dapat menulis beribu-ribu perkataan seperti dalam iklan.

“Nak tulis apa lagi?”

Saya tidak pernah sesekali pun memanggil tauke kedai ini dengan panggilan Vaathiyaar. Saya pun tidak tahu bagaimana dia mendapat gelaran itu. Mungkin dia pernah menjadi guru di kampungnya di Tamil Nadu. Yang saya tahu nama sebenarnya ialah Raja Mohammed.

Apa pun, saya tidak pernah terbiasa memanggil orang lain dengan nama atau gelaran mereka. Saya pun tidak pernah memanggil emak dan bapa saya dengan panggilan amma dan appa.  Walaupun berjarak jauh, saya tetap akan memberitahu sesuatu perkara tanpa memanggil nama. Dengan adik-beradik pun sama.

“Masih ada ruang untuk tulis?" tanya Vaathiyaar sambil mengunyah daun sirih bersama gambir. Bibirnya nampak merah.

Saya duduk di meja Vaathiyaar, menunggu bersama pen di tangan. Vaathiyaar berjalan ke sana ke sini dan menyusun barang. Pekerjanya Subbaiyah, menaiki tangga sempit di dalam kedai untuk makan tengah hari. Makanan yang dimasak oleh Vaathiyaar. Sudah pukul empat petang sekarang.Vaathiyaar mungkin sudah makan, tengah hari tadi. Dia tinggal seorang diri di bilik atas yang sempit itu.

Pelanggan baharu pasti akan keliru siapa tauke kedai ini. Saya mendominasi penuh meja kecil itu.

Aerogram itu sungguh kecil. Tulisan saya pula besar-besar.

“Hanya ada sedikit ruang sahaja," kata saya.

"Begitu cepat sudah penuh?”

Vaathiyaar keluar dan meludah di longkang. Kemudian, dia kembali menghampiri saya. Dia melihat aerogram melalui cermin mata tebalnya. Rambut berubannya berterbangan ditiup kipas angin di atas kepalanya. Dia membetulkan rambut dan menarik-narik seluar pendeknya hingga ke pusat.

“Nak tulis apa lagi?”

Mulut sahaja bertanya begitu. Pada hal, otak saya ligat memikirkan tentang teh yang akan dibancuh oleh Vaathiyaar dan biskut jem nenas.

“Baca ayat terakhir yang kamu tulis itu.”

“Jangan bertandang ke rumah jiran seperti umma kamu. Saya tahu kamu tidak akan buat seperti itu. Waappaa cuma mengingatkan sahaja.” Saya baca seperti membaca berita radio.

“Jangan benarkan mama kamu, Usman masuk ke rumah. Saya tahu dia adalah adik umma kamu. Dari dulu lagi saya dah panggil dia nikah dan datang ke sini menolong saya di kedai. Tidak seorang pun menghormati saya. Langsung tidak dengar kata-kata saya. Hmm … ada tempat lagi untuk tulis?”

“Mmm … takda.” (bersambung)

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]