Pada suatu hari, semasa berada di suatu tempat terpencil, saya tertidur dan mengalami sebuah mimpi yang amat unik serta mengubah hidup.
Dalam mimpi itu, malaikat muncul dan mengarahkan supaya saya menceritakan kepada orang ramai tentang kehebatan Tuhan serta keindahan segala ciptaan-Nya.
Pada mulanya saya menolak dengan pelbagai alasan tetapi malaikat itu tidak berganjak.
Tiba-tiba, saya tersedar daripada tidur. Saya yang buta huruf dan tidak berpelajaran, kini memiliki ilmu tentang kehebatan Tuhan.
Berbekalkan ilmu itu, saya mengasaskan agama baharu dan mula menyampaikan kisah kehebatan Tuhan kepada para penduduk menggunakan bahasa tempatan yang mudah difahami.
Orang ramai mula berduyun-duyun menjadi pengikut. Saya yang selama ini hidup biasa-biasa sahaja, tiba-tiba mengalami perubahan besar susulan pengalaman unik dikunjungi malaikat yang meminta saya menyebarkan agama baharu.
Sedang saya seronok menikmati segala kemewahan hidup baharu, saya benar-benar tersedar daripada tidur.
“Apa yang malaikat itu beritahu saya tadi?”
Malangnya, saya tidak ingat kandungan mesej yang disampaikan. Akan tetapi, rangka cerita dalam mimpi itu tetap segar dalam ingatan.
“Demikianlah kandungan mimpi tadi,” saya berkata selepas menceritakan apa-apa yang saya ingat kepada isteri.
Anehnya, isteri saya tidak terkejut mahupun teruja.
Saya sangka, dia akan melonjak kegembiraan kerana suaminya dikunjungi malaikat dalam mimpi dan diminta menyampaikan ajaran baharu kepada orang ramai.
“Awak baca buku tu tadi?” tanyanya sambil menjeling koleksi puisi William Blake yang memang sedang saya baca selepas makan tengah hari tadi sebelum terlena di atas tikar di ruang tamu.
“Ya. Tapi apa kaitannya?”
“Mungkin tiada kaitan secara langsung tapi tidak mustahil menjadi pemicu kepada mimpi yang awak alami,” jawabnya dengan tenang sambil duduk bersimpuh melipat kain baju.
Tentulah saya kecewa kerana pengalaman mistik dan spiritual yang saya alami dianggap mimpi biasa-biasa sahaja oleh si isteri.
“Mimpi yang konon awak alami bukan benda baharu.”
Tentulah saya terkejut mendengar kata-kata itu.
“Maksud awak?”
“Itu kisah Caedmon, si pengembala lembu di Northumbria, Kepulauan Inggeris pada zaman dahulu.”
Lalu, sambil terus melipat kain baju, isteri saya menceritakan serba sedikit tentang individu berkenaan.
Caedmon merupakan pengembala haiwan peliharaan penduduk setempat. Dia tidak berpelajaran dan buta huruf tetapi dihormati orang kerana rajin bekerja.
“Kisah dialah yang muncul dalam mimpi awak tadi.”
Saya terdiam. Nampaknya mimpi saya bukan sesuatu yang asli. Sebaliknya, kisah tentang seorang lelaki yang hidup pada kurun ketujuh.
“Dia antara individu terawal menggubah lagu puja agama Kristian dalam bahasa Anglo-Saxon atau Old English,” si isteri menghuraikan. “Puisi pendek bertajuk Caedmon’s Hymm adalah satu-satunya karya penyair itu yang masih wujud. Malah, ia dianggap puisi tertua dalam tradisi Inggeris.”
Katanya, kisah Caedmon yang hidup pada kurun ketujuh boleh dibaca dalam buku Historia ecclesiastica gentis Anglorum (731) oleh Saint Bede (673-735) yang juga dikenali sebagai Bedae dan Venerable Bede. Penulis karya Latin itu diiktiraf sebagai Bapa Sejarah Inggeris.
“Maknanya, buku itu terbit sembilan puluh sembilan tahun selepas Nabi Muhammad meninggal dunia,” kata saya semata-mata untuk menggambarkan kronologi dan garis masa.
“Biografi atau sirah Muhammad (570-632) dikumpul daripada pelbagai
sumber lisan dan disampaikan juga secara lisan oleh Muhammad ibn Ishaq (704-767) kepada
para pengikutnya, sekitar seratus tahun selepas tokoh itu meninggal dunia,” tambahnya
pula sambil tangan masih ligat melipat kain baju. (bersambung)
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah Dewi
Pertiwi (2024) dan Cerpen
(2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan
boleh dibaca di sini.]