Saya dilahirkan di sebuah keluarga sederhana pada penghujung tahun 60-an. Ibu dan bapa saya berasal dari negeri Johor. Bapa dilahirkan di sebuah kampung di Segamat, manakala ibu juga dilahirkan di Segamat dan dibesarkan di Johore Labis Estate.
Bapa kepada bapa saya bekerja sebagai mandur di
estet berhampiran kampung mereka. Kedua ibu bapa sebelah ibu saya bertugas
sebagai guru di estet Labis. Jadi, kami tidak berasal daripada keturunan buruh
di ladang.
Bapa saya merantau ke beberapa negeri setelah
mendapat pekerjaan sebagai kerani kewangan (bendahari) di Kesatuan Kebangsaan
Pekerja-Pekerja Ladang (KKPL) atau lebih dikenali sebagai National Union of
Plantation Workers (NUPW). Satu-satunya organisasi yang ditubuhkan oleh Nathan,
Dr. P. P. Narayanan dan Chowdry pada tahun 1954 untuk menjaga kebajikan dan
hal-ehwal pekerja ladang yang kebanyakannya adalah kaum India.
Setelah bapa dipos ke negeri Pahang pada tahun 1959
yakni di Bentong, dia kekal di Pahang sehingga bersara. Cuma pejabatnya
berpindah ke daerah Temerloh, Pahang pada tahun 1979. Kami masih menetap di
Bentong.
Walaupun lahir dan membesar di bandar Bentong, saya
masih terdedah kepada kehidupan di estet sejak saya bayi lagi. Ibu saya bekerja
sebagai guru di sekolah Tamil di Felda Lurah Bilut, Bentong. Oleh kerana saya
dan abang masih kecil, ibu membuat keputusan untuk menghantar saya seorang ke
estet Johor Labis, estet yang dijejaki untuk kali pertama.
Di estet Johor Labis, nenek dan kedua chitti (ibu
saudara) yang belum berkahwin, menjaga saya. Saya akan dibawa semula ke Bentong
pada cuti penggal sekolah. Jadi, suasana hijau menjadi milik mata saya. Ya,
pokok kelapa sawit, pokok getah dan rumah papan dua tingat semua hijau-hijau
belaka.
Walaupun rumah kediaman buruh dan staf tidak ada
elektrik di estet Johor Labis, saya tetap gembira di situ. Ketiga-tiga mama serta
chitti-chitti saya menjaga saya dengan begitu baik sekali. Jadi, tidak
timbul rasa rindu terhadap mereka di Bentong selepas beberapa hari di Labis.
Lagi pun, saya masih kecil untuk mengenal erti rindu.
Ketiadaan elektrik tidak begitu terasa kerana di
setiap rumah di estet itu menggunakan lampu gaslin. Di rumah nenek yang
bertingkat dua itu sahaja ada tiga buah lampu gaslin. Lampu gaslin diletakkan
di atas meja sahaja untuk dibawa ke tingkat atas atau ke tandas yang berada di
luar rumah.
Setelah kembali ke Bentong semula secara sepenuhnya
pada usia dua tahun, kami sekeluarga sentiasa ke estet Johor Labis pada
perayaan Deepavali.
Terdapat sebuah padang di depan rumah nenek. Saya
dan abang sering bermain badminton di situ. Di seberang padang itu pula
terdapat sebuah kuil Muniswaran yang kecil. Bersebelahan patung Muniswaran itu
ada patung anjing yang digelar Bhairavar. Setiap petang ada sahaja penghuni
estet datang bersembahyang. Muniswaran disembah dan dihormati sebagai pengawal.
Selepas paatti bersara, dia, mama dan
chitti-chitti saya berpindah keluar dari estet Labis dan menuju ke Kuala
Lumpur pada pertengahan tahun 1973. Mereka berpindah ke Kuala Lumpur oleh sebab
mama serta chitti saya mendapat pekerjaan di situ. Lagipun Kuala
Lumpur terletak berhampiran dengan bandar Bentong. Ini memudahkan kami untuk
melawat paatti.
Walaupun saya tidak menjejakkan kaki semula di
estet Labis, saya masih berpeluang untuk menikmati suasana estet di kebanyakan
tempat di Pahang.
Bapa dan pemandu kereta NUPW sering ke kebanyakan
ladang di seluruh Pahang seminggu sekali untuk mengutip wang kesatuan yang
diserahkan kepada seorang pegawai di setiap estet. Wang itu disebut sebagai kola
kaasu’. Ia adalah seperti insurans untuk pekerja estet. Dengan hasil
kutipan ini jugalah bapa peroleh pendapatan bulanan. Jadi, saya teramat
terhutang budi kepada buruh-buruh estet di seluruh Malaysia.
Saya dan abang sering menaiki kereta diesel
Peugeot 404 berwarna kuning yang dipandu
oleh pemandu dan bapa menuju ke estet-estet seperti Ladang Bentong, Ladang
Renjok, Ladang Bukit Dinding, Ladang LWC, Ladang Lanchang, Ladang Bee Yong,
Ladang Cheroh, Ladang Carmen, Ladang Menteri dan lain-lain estet lagi.
Kebanyakan ladang getah dan ladang kelapa sawit ini
indah-indah belaka. Sepanjang perjalanan, saya akan menikmati alam sekitar yang
berwarna hijau yang menutupi langit. Walaupun sepanjang perjalanan menuju ke
tempat kediaman pekerja tidak bertar, kereta Peugeot boleh sahaja meredah
menelesuri pokok-pokok getah dan sawit.
Bau peluh bercampur dengan bau getah pada badan
pekerja dan pegawai yang bapa berurusan masih boleh dirasai hingga kini. Ia
bukan busuk. Malah ia adalah suatu aroma yang menerangkan keperitan kehidupan
seharian mereka di ladang. Bau peluh itu juga yang memberi nafkah untuk
keluarga kami. Bau itu tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Bau yang
membangunkan negara Malaysia.
Apabila kami bertandang ke rumah pegawai atau buruh
di estet, kami dilayan begitu baik. Sering dihidangkan dengan teh dan biskut. Minum
teh dengan persekitaran bau getah memberi kenikmatan yang lain daripada yang
lain. Hanya mereka yang pernah atau masih menikmati keadaan ini akan tahu akan
kesannya pada hati dan minda.
Pada tahun 1990 hingga tahun 1992 saya bertugas
sebagai guru sandaran di dua buah sekolah yang berlainan. Satu di SJKT Ladang
Mentakab dan satu lagi di SJKT Ladang Kuala Krau. Di sini saya dapat bergaul
terus bersama penduduk estet. Murid-murid serta ibu bapa di kedua-dua estet ini
begitu menyanjung manusia yang dinamakan sebagai guru.
Masyarakat India kini sudah berkurangan di
kebanyakan estet. Namun, susah payah mereka untuk membangunkan negara ini harus
disanjungi.
[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana
diterangkan di sini]
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen
bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.
Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]