Samaya

Ya, betul. Saya tidak menipu. Jika hendak percaya, percayalah. Jika tidak percaya, jangan percaya. Apa yang saya katakan adalah benar. Bukan fiksyen. Memang terjadi. Dihasilkan oleh saya. Saya bertungkus-lumus hampir sepuluh tahun untuk merealisasikannya.

Jangan ada yang tanya berlebihan tentang bagaimana saya menghasilkannya. Ia adalah rahsia. Dan penghasilan atau ciptaan saya ini bukan untuk diperdagangkan. Sama seperti M.G.R dalam filem Ulagam Sutrum Vaaliban. Hasil penemuannya bukan untuk dijual kepada mereka yang tamak haloba di luar sana. Nanti akan musnahlah Bumi dan segala warganya. Saya tidak akan dedahkan formulanya.

Penemuan ini adalah untuk kegunaan saya sendiri. Bukan untuk diperdagangkan. Jika ia jatuh ke tangan manusia-manusia durjana di luar sana, pasti akan hancur dunia ini. Ya, pasti akan hancur.

Saya cuma akan tujukkan penemuan yang saya sendiri tidak tahu berapa nilainya ini kepada ahli-ahli keluarga dan beberapa rakan yang boleh dipercayai sahaja. Ya, yang boleh dipercayai sahaja.

Mereka yang boleh dipercayai itu pun mungkin akan berubah fikiran untuk mengubah fikiran saya. Jadi, saya perlu sungguh berhati-hati menunjukkan penemuan ini kepada mereka. Ya, perlu berhati-hati.

Penemuan saya ini berbentuk kecil sahaja. Sebesar jam tangan. Jika dipasang pada pergelangan tangan kanan atau kiri, orang tidak akan dapat membezakan ia dengan jam tangan. Nescaya, mereka akan ingat ia adalah jam tangan biasa-biasa sahaja.

Saya menjemput seramai enam orang kanak-kanak ke dalam bilik kajian saya. Ya, enam orang sahaja. Anak saudara saya tiga orang dan tiga orang anak jiran. Kesemua mereka berumur antara tiga hingga dua belas tahun. Saya tidak memilih dalam kalangan dewasa. Ia akan merumitkan lagi.

Saya menjemput  mereka satu demi satu masuk ke bilik kajian saya. Mereka disuruh berdiri membentuk bulatan. Saya berdiri di tengah. Saya menunjukkan alat yang terpasang pada lengan kiri saya.

“Kamu semua tahu apakah alat ini?”

Saya memusingkan badan sambil menunjukkan ciptaan saya tepat pada wajah-wajah mereka. Reaksi keenam-enam kanak-kanak kelihatan biasa sahaja. Tidak ada tanda-tanda teruja. Mungkin mereka berasa pelik dengan jemputan ini.

“Jam tangan, mama!” mereka menjawab serentak.

“Betulkah ini jam tangan?” saya membuat mereka keliru.

“Betul, mama!”

“Tengok betul-betul.”

Masing-masing mendekati saya. Dua orang anak saudara saya yang masih kecil melompat-lompat menarik tangan saya. Ada yang cuba memicit alat itu. Saya menarik tangan saya ke atas. Mereka kelihatan kecewa.

(Cerpen penuh boleh dibaca dalam Antologi 5 Penulis)

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]


[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]