Jangan Kata Tidak

Jangan kata tidak. Aku tidak sanggup untuk mendengar perkataan itu keluar dari mulut kamu yang comel. Aku tidak mahu mendengar perkataan ‘tidak’ diucapkan melalui pergerakan bibirmu yang mungil itu. Aku tidak berani. Ya, aku tidak berani. Aku tidak sanggup mendengar. Aku tidak berani.

Perkataan ‘tidak’ akan membunuh aku. Ya, sudah pasti akan membunuh. Lebih-lebih lagi ia diucapkan oleh kamu. Kamu yang aku sanjung di jiwa dan ragaku. Kamu yang aku sanjung jauh lebih daripada dewi-dewi di kayangan. Jangan kamu sanggup keluarkan perkataan ‘tidak’ itu dari mulutmu. ‘Tidak’ yang kamu ucapkan nanti akan membinasakan aku. Akan membunuh aku.

Jangan kata tidak.

Perkenalan sesama kita bukanlah baru. Kamu perlu sedar. Kita bukan kenal sejak bersekolah atau sejak bekerja. Kita sudah saling kenal-mengenali sejak dalam kandungan ibu lagi. Aku dalam kandungan ibuku. Kamu dalam kandungan ibumu. Aura sesama kita sudah ujud sejak itu.

Jangan kata tidak.

Kamu tidak dapat nafikan. Jangan cuba nafikan. Penafian dari mulut kamu akan menyiksa diriku. Jangan lupa, penafian kamu tidak akan mengubah sejarah. Sejarah tetap sejarah. Ia tidak boleh ditukar ganti dengan penafian dan diselitkan dengan insiden baharu yang tidak pernah terjadi. Hubungan antara kita berdua adalah fakta. Bukannya fiksyen. Yakni, kita telah saling hubung-menghubugi sejak menjadi janin dalam rahim ibu masing-masing.

Jangan kata tidak.

Jika kamu menafikan hubungan kita ketika itu, kamu juga menafikan hubungan kita ketika sekarang. Begitulah dapat aku andaikan. Aku akan andaikan kamu tidak sukakan aku lagi.

Semoga andaian aku itu tidak benar dan tidak menjadi benar.

Aku tidak faham mengapa kebelakangan ini kamu sentiasa menghindari aku. Kita berjiran, malah kita sudah pun bersekolah dan  berkerja di tempat sama. Lebih-lebih lagi, Ibu bapa kita juga tahu akan perhubungan kita dan telah pun direstui.

Apa lagi yang kamu mahukan? Apa yang menjengkelkan kamu hingga membuatkan dirimu untuk menghindari aku? Aku tidak faham.

Apabila aku bertanya tentang perubahan pada dirimu itu, kamu cuma melayangkan sebuah senyuman. Sebuah senyuman palsu.

Kamu enggan bersama-samaku lagi. Kamu suka menyendiri. Menyepi. Menjauhi dari dirku.

Apabila aku bertanya adakah kamu masih cintai aku lagi. Kamu berdiam sahaja. Aku tidak faham sama ada kamu masih mencintai aku atau tidak.

Jangan kata tidak.

Mengapa kamu mengelakkan diri daripada aku? Kamu seperti telah dirasuk. Wajah cantik, lemah-lembut dan keayuanmu seperti berkurangan kebelakangan ini. Kamu seperti telah dirasuk. Adakah kamu telah dirasuk?

Atau …

Atau kamu sudah dipunyai oleh jejaka lain. Jangan kata ‘ya’. Ya, jangan kata ‘ya’. Aku tidak sanggup mendengarnya. Tetapi aku tidak pernah melihat mana-mana lelaki laknat mendekatimu. Aku juga tidak pernah melihat kamu bergayut lama-lama di telefon.

Kelakuan dan perubahan kamu yang mendadak ini sedang membunuh aku. Aku tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya untuk mendapatkan semula dirimu. Dirimu yang bersih dari segi hati dan nurani. Dirimu yang bersih dari segi semua aspek. Dirimu yang bersih yang boleh bergaul denganku secara bebas tanpa syak wasangka. Aku juga tidak perlu gerun untuk mendampingimu. Aku perlu mendapatkan semula dirimu yang tulin itu tanpa was-was.

Aku mencintamui dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Aku sanggup sujud di kakimu jika aku ada melakukan kesilapan. Terimalah aku seperti sediakala. Terimalah aku sebagai teman hidupmu hingga ke akhir hayat. Terimalah.

Jangan kata tidak!

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]


[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]