Seseorang itu mendirikan rumah tangga demi pelbagai sebab yang mereka sendiri faham dan tidak faham. Mungkin kerana cinta, nafsu dan juga untuk menambah bilangan manusia di bumi ini. Situasi rumah tangga akan sentiasa berubah mengikut peningkatan tahun dan pemahaman sesama pasangan.
Memperolehi cahaya mata adalah suatu perkara yang amat penting dalam alam perkahwinan.
Tanpa cahaya mata, kehidupan pasangan suami isteri akan sunyi dan akan kedengaran berbagai-bagai
suara sumbang mengundang kemarahan dan kesedihan yang teramat.
Jadi, mereka yang berzuriat perlu bersyukur. Bukan setakat bersyukur
sahaja, malah perlu bertanggungjawab untuk membesarkan anak-anak mereka ke jalan yang
benar dan berkualiti untuk hidup bermasyarakat di negara pelbagai kaum kita,
Malaysia.
Oleh kerana tugas membesarkan anak adalah rumit dan
memerlukan komitmen yang tinggi, disarankan untuk beranak satu atau dua anak
sahaja. Ini bukan zaman sebelum atau semasa pemerintahan British atau Jepun lagi untuk beranak-pinak ramai-ramai.
Semua telah berubah dan kita juga perlu berubah mengikut
peredaran zaman. Apa
guna beranak banyak tetapi anak-anak itu tidak mendapat pendidikan dan kasih sayang
yang berkualiti.
Justeru itu, sebagai suami isteri yang akan menjadi ibu bapa, mereka perlu
mengetahui cara mendidik dan membesarkan anak secara sempurna
dan berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara.
Pada pengamatan saya selama hidup bermasyarakat
dengan pelbagai kaum di negara ini; banyak perubahan perlu dilakukan demi
kebaikan bersama. Ini adalah kerana anak-anak masa kini jauh berbeza daripada
mereka yang lahir sebelum tahun 90-an.
Ini terjadi kerana keadaan kewangan ibu bapa dan
kemudahan yang sedia ada membuatkan kebanyakan anak-anak masa kini menjadi
manja, malas malah degil.
Untuk mengubah keadaan ini, kita perlu lakukan
sesuatu dari sekarang. Menangguhkan sesuatu idea yang bagus akan bertangguh,
tertangguh, ditangguh dan tidak akan menjadi kenyataan.
Untuk itu, saya terfikir beberapa cara untuk
menangani situasi ini.
Setiap pasangan yang ingin berumah tangga perlu menghadiri kursus khas untuk mempelajari cara-cara dan selok-belok membesarkan dan
mendidik anak masing-masing dengan efisien.
Kursus itu perlu dijadikan suatu kemestian untuk semua pasangan suami isteri dan mereka perlu diwajibkan lulus dengan cemerlang.
Bukan setakat pergi mendengar ceramah sahaja. Tanpa kelulusan cemerlang,
pasangan tersebut tidak dibenarkan beranak.
Kursus Mendidik Anak itu perlu dilangsungkan selama
6 bulan sehingga pasangan tersebut benar-benar arif dengan selok belok menguruskan
rumah tangga. Bukan sahaja secara teori, mereka juga harus
diberi latihan secara praktikal. Mungkin mereka dibolehkan ke rumah sesebuah
keluarga untuk melaksanakan kursus praktikal. Boleh menjadi ibu dan bapa angkat
sementara.
Para pegawai dari kementerian (Jabatan Kebajikan
Masyarakat) perlu membuat pemantauan beberapa bulan sekali ke rumah pasangan suami isteri setelah mereka mendapat anak.
Ini akan membuat setiap warga Malaysia sentiasa berhati-hati dalam
proses penjagaan anak. Dan mereka juga tidak akan berusaha untuk beranak
lebih daripada dua orang.
Setelah mendapat anak, setiap ibu bapa bolehlah
mempraktikkan dengan apa yang dipelajari. Mereka juga boleh mempraktikkan
nilai-nilai positif dengan apa yang ibu bapa mereka mendidik mereka dahulu.
Seorang bayi yang sedang membesar perlu diberi
kasih sayang yang sepenuhnya. Disamping diterapkan didikan agama secara liberal
tanpa paksaan mereka juga harus dididik untuk menghormati orang lain
terutamanya kaum-kaum lain di negara ini.
Di samping bahasa ibunda yang dipelajari, mereka
juga diharuskan untuk mempelajari bahasa-bahasa lain yang digunakan seharian di
negara kita. Jika boleh, ia perlu dimestikan.
Anak-anak ini juga harus menganuti dan mempelajari
agama sendiri serta mengetahui dan menghormati agama-agama lain di sini sejak
kecil lagi. Begitu juga dengan adat dan kebudayaan masyarakat Malaysia perlu
dijadikan subjek utama di sekolah.
Anak-anak Malaysia perlu mempelajari sejarah negara
dan dunia dengan betul. Sejarah dan asal usul keluarga juga harus diketahui
dengan terperinci.
Selain itu, sejak kecil lagi mereka harus
mengetahui cara untuk hidup berdikari tanpa mengharapkan ehsan orang lain. Ini
akan membolehkan mereka yakin pada diri sendiri dan membolehkan membuat sesuatu
keputusan dengan positif.
Tentang sains dan teknologi itu sudah pasti bidang
yang akan diminati dan diceburi oleh generasi akan datang dengan meluas.
Bagaimana pula dengan keadaan ekonomi masa depan
kita?
Pengurusan kewangan juga adalah suatu perkara yang
sangat penting untuk meneruskan hidup secara selesa di muka bumi ini. Didikan
ekonomi, perniagaan dan sebagainya akan membentuk kehidupan rakyat Malaysia lebih sempurna lagi pada masa
akan datang.
Semua pekerjaan perlu dianggap mulia dan perlu
dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan kreatif. Ini akan menghalang kemasukan
warga asing.
Semua cadangan, harapan dan impian saya ini mungkin
nampak tidak masuk akal. Namun, ia adalah untuk mengubah dan membentuk
masyarakat Malaysia yang berbeza daripada yang sedia ada sekarang. Untuk mencapai
impian ini, kerajaan dan rakyat Malaysia
harus berfikiran positif dan terbuka untuk menerima perubahan.
Semoga
impian tercapai.
[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana
diterangkan di sini]
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen
bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.
Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]