Tahukah anda bahawa melukis tatu pada badan boleh mengambil lebih dari lapan jam untuk disiapkan? Tattoo Anneh pernah melukis tatu pada lengan seorang individu selama sembilan jam dengan masa berehat di antara melukis tatu.
Tattoo Anneh atau nama sebenarnya Dharann
Maatheyhalagan berkecimpung dalam bidang kesenian sejak di bangku sekolah.
Kini, beliau menjadi seorang artis tatu dan memberi satu keunikan melalui tatu
kepada mereka yang berminat untuk bertatu. Menurutnya, koma bertitik juga boleh
dijadikan tatu. Tatu yang mudah boleh disipakan dalam masa kurang dari lima
minit.
Minat beliau terhadap unsur-unsur seni bermula sejak
kecil dengan dorongan daripada ayahnya. Ayah Dharann, Encik Maatheyhalagan
telah mengajar beliau untuk melukis dan menerapkan ciri-ciri kesenian dalam
dirinya.
Dharann, 34 tahun memang tidak dapat dipisahkan
dengan unsur-unsur seni. Beliau juga melukis mural pada dinding rumahnya untuk
menyerlahkan minat terhadap seni.
Isteri Dharann, Harshani telah memberi galakan
kepada beliau untuk meneroka bidang tatu dan menjadi titik permulaan untuk
mengambil kursus dalam bidang tatu. Bahkan, guru Dharann, juga memberikan
galakan kepada beliau untuk meneroka kerjaya sebagai artis tatu.
Dengan itu, bermulalah perjalanan D’Black Monkey
Ink.
Bolehkah
anda ceritakan sedikit latar belakang mengenai tatu?
Ia
sebenarnya berbeza mengikut budaya sesuatu bangsa, masyarakat, atau suku kaum. Tatu
adalah kebanggaan individu yang berasal daripada tradisi ini.
Contohnya,
masyarakat Sabah dan Sarawak bertatu untuk menunjukkan keberanian dan menjadi
warisan budaya mereka. Tatu dianggap identiti dan jati diri asal usul bagi
pemilik tradisi ini.
Tatu
juga mempunyai maksud yang tersendiri dalam kalangan orang India, Africa, New
Zealand, Amerika dan lain-lain mengikut budaya dan tradisi masing-masing. Tatu
mempunyai pelbagai keunikan dan boleh menyampaikan sesuatu kepada orang lain.
Di
manakah anda mempelajari mengenai tatu dan cara-cara melukis tatu?
Saya
mempelajari cara-cara melukis tatu daripada ayah saya. Lukisan beliau sangat berunsur corak dan sentiasa melukis
tatu pada dirinya sendiri. Namun, ayah saya tidak meneruskannya sebagai satu
perniagaan.
Apakah
alat yang digunakan untuk melukis tatu?
Saya
menggunakan dakwat tatu tulen yang diimport dari Amerika. Mesin tatu digunakan
untuk melakar corak yang diminati oleh pelanggan. Saya mengutamakan citarasa
pelanggan dan memberikan yang terbaik kepada mereka.
Adakah
tatu selamat/sesuai untuk setiap individu?
Sebenarnya,
tatu tidak sesuai untuk semua individu. Mereka yang mempunyai penyakit kronik,
diabetes, tekanan darah dan masalah kesihatan harus mendapatkan nasihat doktor
sebelum bertatu.
Saya
juga akan memberi nasihat kepada mereka yang mempunyai masalah kulit untuk
mendapatkan kepastiaan daripada pihak doktor sebellum melukis
tatu.
Apakah
yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin melukis tatu pada badannya?
Yang
penting mereka perlu membuat janji temu dengan saya sekiranya mereka inginkan
kepakaran saya. (Dharann menguntum senyuman)
Jangan
melukis tatu dalam keadaan tergesa-gesa. Ramai suka melukis tatu atas desakan
kawan dan kemudian mereka tidak berminat dengan tatu tersebut.
Rancang
lakaran tatu anda sebab tatu ini akan kekal pada badan anda. Pastikan anda
berasa puas dengan lakaran sebelum melukis tatu pada badan.
Pakai
pakaian yang sesuai semasa anda pergi untuk janji temu melukis tatu. Jangan
sapu losyen pada bahagian yang anda ingin melukis tatu kerana ini akan
menyukarkan artis tatu untuk melukis.
Dapatkan
rehat yang secukunya sebelum anda hadir untuk melukis tatu.
Apakah
pandangan masyarakat Malaysia terhadap tatu?
Sekarang
tatu menjadi semakin popular terutama dalam kalangan remaja. Tatu tidak lagi
dilihat sebagai sesuatu yang buruk. Malah, ramai artis dan orang profesional
juga berminat dengan tatu.
Lagipun,
reka bentuk tatu semakin menarik dan menjadi kegemaran ramai.
Dimanakah
seseorang itu boleh mempelajari cara-cara melukis tatu secara formal?
Banyak
institusi menawarkan kursus profesional untuk artis tatu. Pensijilan memberikan
keyakinan kepada orang ramai untuk merujuk dan mendapatkan yang terbaik
daripada seseorang aritis tatu.
Mereka
yang berminat menjadi artis tatu boleh sahaja membuat carian dalam talian dan
mempelajari cara-cara dan teknik-teknik yang terkini untuk melukis tatu.
Bolehkah
tatu yang dilukis pada badan dibuang? Apakah cara-caranya?
Ya,
tatu boleh dipadam tetapi mengambil masa yang lama dan agak rumit. Lazimnya,
teknik laser digunakan.
Apakah
perbezaan di antara tatu moden dan tatu tradisional?
Tatu
tradisional digunakan oleh satu-satu suku kaum adalah berdasarkan kisah-kisah
yang diwarisi secara turun-temurun. Ia mempunyai unsur-unsur budaya yang
berkait rapat dengan masyarakat berkenaan. Contohnya, seseorang itu akan melukis
tatu apabila berkahwin atau setelah mendapat anak dan juga untuk sesuatu
peristiwa istimewa berlaku dalam hidupnya.
Sekarang,
tatu dibuat mengikut kesesuaian sendiri. Ada tatu yang besar dan ada yang
kecil.
Pelbagai
corak tatu boleh dilukis mengikut minat dan citarasa seseorang.
[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana
diterangkan di sini]
[Anuradha Chelliah, lahir di Klang, Selangor
pada 1978. Beliau mendapat pendidikan di SRK Methodist dan SMK Methodist,
Banting sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Muda Pembangunan Manusia di
Universiti Putra Malaysia, Selangor (2001). Beliau mendapat ijazah Sarjana
Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (M.Ed TESL) dari
universiti yang sama (2011). Beliau kini tinggal di Banting, Selangor dan
berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Beliau
terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia sejak tahun
2014. Karya beliau tersiar di The Star, The Malaysian Indian Anthology, Iris
Magazine, Anak Sastra, Eksentrika, Dewan Budaya dan portal Sastera Kavyan. Karya beliau juga termuat dalam
antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru
Aksara (2020). Cerpen beliau turut termuat dalam Siri Warisan Budaya - Teluk
Belanga dan Periuk Belanga (2023), Seruling Malam (2024), Inspirasi Kisah-kisah
Dongeng Dunia Kita (2024), Tantangan: Patah Sayap Bertongkat Paruh (2024) dan
Tekad Motivasi dan Sukan (2024). Puisi beliau pula termuat dalam Tentang Trauma
(2024) dan Citra Bahasa (2024).]