Fragmen Cerpen: Wanita Tua yang Datang Bersama Gagak


Pada pagi jenazah Raman Sellathurai ditemui di bawah pokok ara berhampiran tanah perkuburan Hindu lama di Siru Kambam, tiada siapa bercakap tentang kematiannya. Sebaliknya, seluruh kampung bercakap tentang makanan yang hilang.

Di sebelah jenazah lelaki berusia tujuh puluh dua tahun itu terdapat sebuah dulang keluli yang masih basah dengan gulai kari ikan, segenggam nasi putih yang belum disentuh semut, dan tujuh helai bulu gagak yang tersusun membentuk bulatan sempurna.

Lebih aneh lagi, beberapa penduduk mendakwa mereka melihat Raman berjalan selepas waktu subuh sambil membawa sebuah bungkusan makanan menuju ke hujung kampung, sedangkan doktor yang melakukan postmortem menganggarkan dia sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum itu.

Menjelang tengah hari, cerita yang lebih menakutkan mula tersebar dari satu rumah ke satu rumah: Wanita tua itu akan datang pada malam ini.

Siru Kambam, sepertimana namanya, hanya sebuah kampung kecil. Hanya beberapa deret rumah, sebuah kuil kecil, sebuah dewan orang ramai, dan jalan tidak bertar yang membelah bekas ladang tebu.

Namun begitu, Siru Kambam menyimpan cerita yang lebih tua daripada pokok-pokok tebu yang masih tumbuh di beberapa sudut. Cerita itu diwariskan daripada datuk kepada ayah, daripada nenek kepada cucu.

Setiap kali bulan hampir menghilang dari langit, setiap kali hujung bulan Tamil menghampiri, seorang wanita tua dikatakan akan muncul dari arah jalan yang menuju ke Kuala Sepetang.

Dia tidak pernah datang dengan kenderaan. Dia tidak pernah ditemani sesiapa. Dia hanya berjalan perlahan-lahan dengan sebuah bakul nyiru di tangan dan meminta makanan dari beberapa rumah terpilih; sebelum menghilang semula menjelang tengah malam.

Kanak-kanak dibesarkan dengan cerita mengenainya. Ada ibu yang berkata, wanita tua itu akan menculik anak-anak yang degil. Ada datuk yang mendakwa, dia mampu melihat roh orang mati. Ada pula yang percaya dia ialah sumpahan lama yang masih belum berakhir.

Semakin tua cerita itu, semakin banyak cabangnya. Namun begitu, satu perkara tetap sama dalam kesemua versi: Wanita tua itu sentiasa lapar.

Arvinderaj yang berumur enam tahun tidak pernah takut kepada wanita tua itu. Ketika kanak-kanak lain bersembunyi sebaik mendengar nama wanita tua itu disebut, Arvin pula berlari ke tingkap untuk melihat ke arah jalan kampung.

Dia percaya, wanita tua itu ialah neneknya yang meninggal dunia setahun lalu. Sejak kematian neneknya akibat penyakit barah, seekor gagak hitam sering datang ke tingkap biliknya pada setiap pagi. Burung itu tidak mencuri makanan. Malah, ia tidak mengeluarkan bunyi yang mengganggu. Sebaliknya, hanya bertenggek di tingkap dan memandangnya dengan mata hitam berkilat yang aneh.

Arvin pernah memberitahu ibunya bahawa nenek datang dalam bentuk gagak. Ibu memarahinya kerana bercakap perkara yang bukan-bukan. Namun. burung berkenaan terus datang pada hampir setiap hari.

Pada petang itu, ketika seluruh kampung sibuk memperkatakan tentang kematian Raman, Arvin duduk di tangga rumah sambil memegang sebiji pisang emas. Buah itu merupakan kegemaran neneknya semasa hidup.

Arvin menyimpan pisang itu sejak pagi kerana yakin wanita tua tersebut akan datang. Di atas bumbung rumah, tujuh ekor gagak bertenggek dalam satu barisan. Tidak seekor pun berbunyi. Kesemuanya sekadar memerhatikan jalan yang menuju ke arah barat.

Menjelang senja, hujan gerimis mula turun. Udara dipenuhi bau tanah basah dan batang tebu yang reput. Orang kampung menutup tingkap lebih awal daripada biasa. Lampu-lampu rumah mula menyala satu demi satu. Dalam cahaya kekuningan itu, ketakutan lama yang diwarisi turun-temurun seolah-olah bangun semula daripada tidur.

Muniandy Ponniah, lelaki tertua di Siru Kambam, duduk di beranda rumah sambil menghisap cerut daun. Usianya hampir sembilan puluh tahun. Dia mendakwa pernah melihat wanita tua itu ketika dia masih kanak-kanak.

“Wajah dia tak berubah,” katanya kepada beberapa pemuda yang berkumpul di situ. “Saya nampak dia masa umur saya tujuh tahun. Hari ini, kalau dia datang, wajah dia masih sama.”

“Itu mustahil, Thatha.”

“Ya,” Muniandy mengakui. “Sebab itu saya tak pernah cuba memahami misteri wanita itu.” ... bersambung [Rujuk: Projek Buku Cerpen 2027]

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan blog peribadi. Baca biodata penuh]

Ulasan