Pada masa kini, pembangunan negara semakin pesat berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Banyak bangunan bersejarah yang terpaksa dirobohkan untuk digantikan dengan gedung-gedung
pencakar langit yang megah.
Mengapakah kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut
diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai
kepentingan untuk kita mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara ini.
Bangunan bersejarah perlu dikekalkan supaya bangunan bersejarah atau
monumen itu dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau
peristiwa sejarah yang telah berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana
Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 67 tahun, kesan yang ditinggalkan
oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda, dan Portugis masih dapat
dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan.
Sebagai contoh, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad
ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de
Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadthuys dan Geraja St. Paul.
Kesannya, dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah
suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal
pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Oleh
itu, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monumen negara tidak wajar
dilaksanakan.
Selain itu, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong,
baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke
negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong
bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas.
Oleh itu, banguan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya
dipulihara dan diubah suai. Contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai
untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini
sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di
England, Perancis, Itali, dan Belanda.
Kesannya, dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan
dapat menjadi sumber pendapatan negara. Dengan ini, bangunan dan monumen ini
secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
Seterusnya, bangunan dan monume lama juga memainkan peranan yang penting
dalam pendidikan di negara kita khususnya untuk para pelajar dan penyelidik.
Hal ini dikatakan demikian kerana pelbagai ilmu dapat dipelajari dengan
memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama.
Contohnya, Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah
dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan
Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19.
Kesannya, pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah
persis peribahasa, yakni ‘’tak kenal maka
tak cinta’’. Dengan keadaan sedemikian, bangunan bersejarah dan monumen
sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
Kesimpulannya, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda
generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah
negara. Pihak Kerajaan perlulah
mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh itu,
mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah perlulah
dikenakan tindakan undang-undang.
[Prishanthine
Gobi, 13 tahun, merupakan pelajar Tingkatan 1 di SMK Methodist,
Banting, Selangor. Beliau gemar membaca buku-buku berunsur fiksyen dan suka
mendengar lagu-lagu Taylor Swift.]