Memorandum kepada Menteri Dalam Negerimerhand Tentang Bible yang Menyimpang (Bahagian 2)

(Sambungan Bahagian Satu) Para jemaah yang menjadi pengikut Pastor Mathew dan membaca Bible versi Tamil diberitahu, hanya dua anak naik ke kapal manakala seorang lagi berdegil tidak mahu naik, lalu mati lemas. Tidakkah percanggahan fakta dan tindakan mengubah cerita seperti ini menyelewengkan kesucian kitab Bible?

Maka, tuan tentu faham mengapa saya mengatakan tindakan Pastor Mathew menyentuh sensitiviti agama, tidak menghormati kesucian kitab Bible, selain berniat menyogok kami dengan terjemahan berniat jahat.

Kisah berkaitan bandar Sodom dan Gomorrah juga ternyata diubah oleh Pastor Mathew semasa menterjemahkan teks kepada bahasa Tamil bagi kegunaan di gereja pimpinannya.

Dalam Genesis (19:15-17), Tuhan menghantar dua malaikat untuk memberi amaran kepada Lot agar menyelamatkan keluarganya sebelum Sodom dimusnahkan.

Malaikat mengarahkan Lot membawa keluarganya ke atas bukit—jangan berhenti dan jangan berpaling ke arah bandar Sodom yang ditinggalkan. Malangnya, dicatatkan dalam Genesis (19:26) bahawasanya isteri Lot berpaling, lalu bertukar menjadi tiang garam.

Tuan mungkin bertanya, apakah isu dalam kisah itu? Sebenarnya, Pastor Mathew mengajar kami berpandukan Bible versi Tamil terjemahannya bahawa malaikat mengarahkan seluruh keluarga Lot tidak menoleh—kecuali isteri Lot.

Memang selalu juga saya tertanya-tanya mengapa isteri Lot tetap bertukar menjadi tiang garam kalau Tuhan sudah mengizinkannya menoleh ke arah Sodom. Hanya apabila berpeluang membaca versi Tamil dari negara India dan versi Bahasa Malaysia dari negara jiran, saya sedar hakikat Pastor Mathew mengubah cerita!

Wahai Tuan Menteri Dalam Negerimerhand, izinkan saya memberi satu lagi contoh kandungan Bible yang diubah sesuka hati mengikut selera dan interpretasi peribadi Pastor Mathew. Versi itulah yang kami baca selama ini dan kami semua telah anggap sebagai fakta dan kejadian sebenar.

Ini berkaitan Joseph dan isteri Potiphar. Kisah dalam Genesis (39:6-12) menceritakan bagaimana si isteri cuba menggoda Joseph tetapi pemuda kacak itu menolak berkali-kali. Perempuan berkenaan menarik jubah Joseph sehingga tertanggal.

Kemudian, jubah itu ditunjukkan kepada Potiphar untuk memfitnah kononnya Joseph cuba merogol perempuan tersebut. Dalam versi asal, Genesis (39:20) menyebut bahawasanya Potiphar memenjarakan Joseph susulan mempercayai fitnah itu.

Dalam versi yang Pastor Mathew terjemahkan untuk bacaan para pengikutnya, Potiphar tahu bahawa isterinya yang menggatal, lalu sekadar meminta Joseph melupakan sahaja apa yang berlaku. Bukankah ternyata Pastor Mathew mengubah dan menyelewengkan kandungan kitab suci sesuka hati?

Saya harap tuan tidak memandang enteng segala isu penyelewengan fakta yang saya senaraikan di sini. Sesungguhnya ia berkaitan akidah kami selaku penganut agama Kristian. Walaupun mazhab mungkin berbeza, kami tetap berpegang pada Bible yang satu.

Dalam kitab suci kami, ada kisah penting di mana Moses melakukan sesuatu untuk membuktikan kepada Firaun dan penduduk Israel bahawa sesungguhnya dia utusan daripada Tuhan.

Sejak kecil, kami semua sebagai jemaah di gereja pimpinan Pastor Mathew diberitahu – selain membaca dalam Bible versi Tamil terjemahannya – Moses memasukkan tangan ke dalam jubah di hadapan Firaun. Apabila dikeluarkan, tangan itu bersinar-sinar dan bebas daripada sebarang penyakit.

Rupa-rupanya, versi sahih dalam Bible sebagaimana terkandung dalam Exadus (4:6) ialah Moses memasukkan tangan ke dalam jubah sepertimana diarahkan oleh Tuhan. Apabila tangan itu dikeluarkan, ia sudah dijangkiti penyakit kusta. Pada kali kedua, tangan itu bebas penyakit atas kuasa Tuhan.

Mungkin Pastor Mathew mahu mendidik kami bahawa Tuhan mampu menyucikan dan membebaskan manusia daripada penyakit. Akan tetapi, dia tidak berhak mengubah, meminda, menukar, dan menyeleweng kandungan kitab suci agama kami.

Wahai Tuan Menteri Dalam Negerimerhand, saya tidak tahu apakah motif sebenar Pastor Mathew. Mungkin dia sengaja mahu menyesatkan kami dengan menyalurkan maklumat salah menerusi terjemahan Bible ke dalam bahasa Tamil. Mungkin dia sebenarnya pengasas sebuah kultus ajaran sesat!

Pastor Mathew bukannya buta huruf. Dia mampu membaca, menulis, dan bercakap bahasa Tamil serta Inggeris. Jadi, tidak logik untuk mengandaikan dia mungkin terkhilaf, tersalah tafsir, atau tersilap semasa membuat terjemahan.

Sebagai seorang pastor dan pemimpin jemaah, tentu dia sedar bahawa sesiapa pun tidak berhak mengubah kisah, cerita, dan kandungan Bible. Ini bukan koleksi cerita dongeng yang disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi oleh puak buta huruf dan tidak berpelajaran di tengah hutan atau padang pasir.

Ada banyak lagi kesalahan fakta ditemui dalam Bible terjemahan Tamil yang diusahakan oleh Pastor Mathew. Saya sertakan senaskhah kitab berkenaan yang ditanda setiap kesalahan sebagai bukti memang berlaku penyelewengan secara licik dan terancang.

Saya memohon supaya tuan memandang serius perkara ini dan seterusnya mengambil tindakan tegas mewartakan Bible bahasa Tamil terjemahan Pastor Mathew sebagai haram dan tidak sah digunakan penganut Kristian.

Kalau tuan berdiam diri, mungkin pada masa depan, orang Hindu di Negerimerhand juga akan mula disogokkan oleh para macai Pastor Mathew dengan ajaran sesat yang terkandung dalam versi terjemahan palsu ini.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

Ulasan