Cerpen: Sari-Sari Sutera (Bahagian 2)

(Sambungan daripada Bahagian Satu) Aku memandangnya tanpa berkedip. Apabila aku menyentuh dan memegangnya, kain itu terasa sangat halus sehingga seolah-olah boleh digenggam dalam satu kepalan tangan sahaja. Begitu sekali kelembutannya.

"Dua ribu rupee," kata penjual itu.

Tiga puluh lima tahun yang lalu, nilai itu kira-kira dua ratus Ringgit dalam mata wang negara kita.

Itulah sari sutera Mysore pertama yang aku pilih sendiri buat diriku. Di kedai yang sama, aku turut membeli lima helai lagi sari yang menambat hatiku. Sejak detik itu, sari sutera Mysore mula mendominasi sebahagian besar koleksi simpananku.

Walaupun selang-seli aku pernah membeli sari sutera jenis lain tetapi aku hanya berjinak dengan sari sutera Mysore sahaja.

Andainya ada acara sastera atau majlis perkahwinan yang perlu aku hadiri pada sebelah petang, aku akan mengenakan sari sutera Mysore itu terus ke pejabat pada sebelah pagi.

Hanya sari sutera Mysore yang mempunyai keunikan sebegitu. Seperti yang aku katakan sebelum ini, kelembutan dan kesederhanaan kainnya membuatkan ia kelihatan sesuai untuk digayakan dalam apa jua suasana.

* * *

Aku kembali menatap timbunan sari sutera yang berlonggok di atas katil. Barangkali ada dalam tiga puluh hingga empat puluh helai semuanya. Aku tidak menghitungnya dengan tepat. Namun, setiap helai daripadanya adalah kesukaanku. Semuanya pernah aku gayakan dengan penuh rasa bangga dan gembira.

Lihatlah sari yang ini! Berwarna merah tua dengan birai hijau. Sari inilah yang menemaniku melangkah megah ke atas pentas sewaktu aku menerima anugerah sastera. Dan yang itu pula! Berwarna jingga dengan birai hitam, ia berdiri teguh bersamaku dengan penuh rasa bangga sewaktu majlis pelancaran bukuku.

Biru gelap, hijau tua, dan kuning susu, ketiga-tiga helai ini pernah turut serta berkongsi kegembiraanku sewaktu majlis perkahwinan anak-anakku.

Manakala sari berwarna ungu muda, hijau muda, dan merah pulasan ini pula menjadi saksi kebahagiaanku sewaktu majlis pemberian nama cucu-cucuku.

Di sebalik setiap helai sari ini, tersimpan ribuan kenangan manis yang menyelubungi hidupku.

Hati ini tidak sanggup kehilangan walau sehelai pun. Jiwaku tidak tergamak untuk membuangnya begitu sahaja. Namun, pada masa yang sama, aku sudah tidak punya ruang dan makna lagi untuk terus menyimpannya.

Kalaulah waktu dahulu, tidaklah sesukar ini untuk melupuskan kain atau pakaian yang diguna. Selagi emak masih ada, dialah yang akan mengumpul dan membakar semua sampah-sarap di sekililing rumah. Biasanya kami akan mencampakkan pakaian atau kain yang usang ke dalam julangan api tersebut.

Andainya cara itu tidak memadai, emak akan menggali sebuah lubang yang besar untuk menimbus pakaian-pakaian lama itu di dalam tanah.

Pakaian yang dalam keadaan elok dan masih boleh diguna akan kami berikan kepada kenalan atau kirimkannya ke rumah kebajikan.

Namun kini, bukan sahaja di pangsapuri ini, malah di mana-mana pun seakan sudah tiada lagi cara yang lebih sesuai untuk melupuskan pakaian-pakaian ini.

Jadi, adakah aku juga terpaksa menghumban semua ini ke dalam tong sampah? Haruskah pakaian ini bercampur-aduk dengan sisa kotoran dan sampah yang berbau busuk, lalu tersadai sepi di suatu tempat yang meloyakan? Memikirkannya sahaja sudah cukup untuk membuatkan mataku berkaca.

Aku lantas menyumbat pakaian-pakaian itu ke dalam sebuah beg plastik besar berwarna merah.

”Oleh kerana kami sudah usang, kerana kami tidak lagi berguna buatmu, maka kau memilih untuk membuang kami begitu sahaja?”

Aku seolah-olah terasa pakaian itu sedang merenungku dan melemparkan soalan ini kepadaku.

Ah! Apakah jawapan yang harus aku berikan kepada kalian? Bukankah aku juga senasib dengan kalian?

Seperti gadis-gadis lain, aku juga dilahirkkan di muka bumi ini. Aku dibesarkan sebagai puteri kesayangan ayah dan ibu. Aku bersekolah kemudian melangkah ke alam kerjaya.

Setelah berkahwin, melahirkan tiga cahaya mata, membesarkan dan menyekolahkan mereka, sehinggalah mereka mendirikan rumah tangga dan membawa haluan masing-masing.

Kini, setelah kehilangan suami dan mengharungi sisa-sisa usia dalam kesepian serta hari tua yang kian melabuh, nasibku tidak tumpah seperti kalian. Jika begitu, bagaimanakah aku mampu memujuk kalian?

Aku mengikat beg plastik besar itu lalu menyeretnya ke ruang tamu. Jam sudah pun melepasi sembilan malam. Aku membuka pintu utama, membawa beg itu keluar, lalu mengunci pintu rapat-rapat.

Meskipun bungkusan itu tidaklah seberat mana, namun saiznya yang besar menyukarkan aku untuk menjinjingnya. Maka, di bawah samar cahaya lampu jalan, aku menyeret beg itu perlahan-lahan.

Setelah mencampakkannya ke dalam tong sampah besar di pangsapuri kami, aku berjalan kembali dan masuk kedalam rumah dengan hati yang sarat dengan bebanan.

Tatkala aku merebahkan kepala di katil, kenangan masa lalu datang mengetuk pintu hati bagaikan ombak yang membadai pantai. Mata ini seakan enggan terlelap, menolak pelukan mimpi.

* * *

Keesokan paginya, aku menunggu lori sayur di bawah pangsapuri. Beberapa orang wanita lain dari blok yang sama turut sedang menanti.

Sedang kami berdiri di situ, lori sampah besar yang biasa datang telah pun mula mengangkut sisa-sisa buangan. Saat lori itu mula bergerak pergi, aku terpaku, merenung kosong ke arahnya.

Kini, sari-sari yang pernah aku gayakan dengan penuh kasih, sari yang telah sebati dengan segala perasaanku, sedang menuju ke tempat pelupusan sebagai sampah-sarap.

Sari-sari sutera indah yang pernah berkongsi ribuan memori hidupku, yang sehingga semalam masih menjadi milikku yang berharga, kini tercampur dengan sisa-sisa buangan yang kotor dan busuk.

“Maafkanlahku. Aku tidak terdaya untuk mengubah nasib kalian.”

Hati ini terasa amat berat, dan air mata mula menggenangi kelopak mataku.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Kamalah Suppiah @ சு.கமலா lahir di Batu Feringghi, Pulau Pinang pada tahun 1960. Cerpen Tamil pertama tersiar di akhbar Tamil Osai (1981) dan menang Anugerah Sastera Datuk Athi Nagappan (1985). Novel Thimalar (1987) menang pertandingan menulis pada 1986 dan Anugerah Buku 1988 anjuran GAPETAM. “Tiada Penyesalan” ialah cerpen sulung dalam Bahasa Malaysia, telah menang tempat ketiga dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP dan termuat dalam antologi Menara (1988), antologi Hujan Emas di Negeri Orang (1989) serta Dari Pulau ke Pulau (1992). Buku persendirian Kamalah ialah Illaiyoor Kathaigal (2012), Yha (2021), Moodrezhutil (2023) dan Amaravathi Kadithangal (2024). Cerpen Bahasa Malaysia turut termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022). Baca karya beliau di portal Sastera Kavyan.]

Ulasan