Cerpen: Bangunan Di Atas Bukit

Kami melihat dari jauh, sebuah  jentolak sedang  bergerak perlahan bersama segerombolan orang berpusu-pusu menaiki bukit itu. Mereka mahu merobohkan bangunan lama itu. Aku tahu. Mereka menjerit mengatakan tanah yang didirikan bangunan itu sebenarnya bukan milik bangunan tersebut.

 

Di sini ada bangunan; di sana pun ada bangunan. Di atas bukit ada bangunan; di bawah bukit pun ada bangunan. Boleh dilihat bangunan ada di mana-mana sahaja.

 

Di dalam hutan.

 

Di tepi jalan.

 

Di depan rumah.

 

Tidak kira kecil atau besar; semuanya adalah bangunan. Sesuatu yang dibangunkan dari bawah hingga ke atas adalah bangun+an = bangunan. Dan semua bangunan itu bukanlah semata-mata bangunan sahaja. Ia adalah lebih daripada itu. Ya, lebih daripada itu.

 

Sebagaimana manusia boleh bangunkan daripada tidur, bangun daripada duduk dan bangun daripada jatuh; begitu jugalah sebuah bangunan dapat dibangunkan daripada tiada hingga ada.

 

Sesuatu yang  dibangunkan harus dipelihara dan dipulihara sebaik-baiknya agar ia akan dapat kekal beratus-ratus tahun lamanya dan untuk selama-lamanya. Ia harus dibuat begitu, semoga cucu, cicit, cuit dan keturunan beribu-ribu tahun akan datang turut dapat memelihara dan memulihara kesemua bangunan dengan sebaik-baiknya, agar bangunan yang dibangunkan akan dapat kekal beratus tahun atau beribu tahun lagi. Manusia bermanfaat dengan mengwujudkan bangunan.

 

Manusia yang bangun daripada tidur, bangun daripada jatuh memang sukakan bangunan. Oleh kerana mereka bangun setiap kali dan setiap hari, mereka memerlukan bangunan. Manusia tidak boleh hidup lama tanpa bangunan. Bangunanlah segala-galanya untuk mereka. Ya, segala-galanya untuk mereka.

 

Ada yang dibangunkan dengan pokok kayu. Ada yang dibangunkan dengan papan. Ada yang dibangunkan dangan batu bata. Malah, ada yang menganggap pokok itu sendiri adalah bangunan. Dan untuk disempurnakan, ia akan dibangunkan perlahan demi perlahan menggunakan batu bata hingga menjadi bangunan besar.

 

Semua bangunan bukan dibangunkan sekadar untuk dibangunkan menjadi bangunan sahaja. Masing-masing mempunyai kisah di sebaliknya. Setiap keping papan dan setiap ketul batu bata mempunyai kisahnya tersendiri; sejarahnya sendiri mengapa ia dibangunkan di sesuatu tempat. Ia dibangunkan bukan sekadar untuk dibangunkan. Bangunan dibangunkan kerana keperluan untuk dibangunkan menjadi bangunan.

 

Ada kisah di sebalik setiap bangunan yang dibangunkan oleh manusia. Dan kisah itu sudah menjadi sejarah serta harus dipelajari oleh semua warga muka bumi ini. Dengan mengetahui kisah penat-lelah, jerih payah datuk, nenek dan moyang, akan timbullah rasa hormat kepada mereka.

 

Mereka yang sudah meninggalkan kita harus disanjung tinggi untuk selama-lamanya kerana tanpa mereka, tiadalah bangunan-bangunan ini di sini.

 

Begitu jugalah penghormatan diberikan kepada setiap bangunan. Tidak kira kecil, besar, buruk atau cantik. Bangunan tetaplah bangunan. Ia harus dihormati, dipelihara dan pulihara dengan baik. Bangunanlah tempat berlindung bagi manusia.

 

Ke mana pergi manusia, di situ pasti ada bangunan. Di sana bangunan, di sini bangunan, di atas bukit bangunan dan di bawah pun ada bangunan.

 

Bangunan, bangunan dan bangunan. Di mana-mana pun ada bangunan. 

 

Manusia mempunyai kaki dan tangan serta perut, maka mereka boleh  berpindah-randah. Manusia tidak dapat duduk diam di suatu tempat untuk selama-lamanya. Mereka suka bergerak. Menggerakkan kaki dan tangan membuatkan mereka lapar. Perut melaparkan mereka. Perut minta diisi.

 

Bukan sahaja perut sahaja yang perlu diisi. Baik zahir mahupun batin, masing-masing perlu diisi dengan sewajarnya. Tanpa pengisian yang sempurna, tiadalah manusia di dunia ini. Tanpa manusia, tiadalah bangunan-bangunan ini.

 

Alam rumah tangga menghasilkan ramai anak baharu di muka bumi ini. Anak-anak juga perlu diberi makanan dan pakaian. Tanpa dua perkara ini, manusia tidak layak untuk hidup. Untuk memperoleh makanan dan pakaian, manusia tidak boleh duduk diam di suatu tempat. Manusia perlu bergerak dan berhijrah jauh-jauh mencari nafkah untuk menyara keluarga.

 

Di tempat kelahiran, tidak menjanjikan apa-apa. Menjadi lumrah bagi orang lain mengambil peluang ini untuk menjanjikan yang bukan-bukan dan membawa mereka dari suatu tempat ke tempat yang lain.

 

Dengan harapan tinggi, mereka berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Tetapi apa yang diimpikan  dan dijanjikan menjadi tidak benar. Indah khabar daripada rupa. 

 

Mereka yang berhijrah terpaksa memugar hutan, membuat jalan, menanam tumbuh-tumbuhan. Mereka membanting tulang mengeluarkan peluh dan menumpahkan darah. Untuk melindungi diri, kaum keluarga di tempat kerja dan di tempat tinggal, mereka memerlukan perlindungan. Jadi, mereka mewujudkan bangunan.

 

Bangunan kecil ataupun besar. Ia tetap memberi perlindungan kepada mereka.

 

Itu adalah sejarah mereka yang berhijrah beberapa ratus tahun yang lepas. Sedangkan sebelum mereka, raja-raja telah membawa kerajaan dan telah membina pelbagai jenis bangunan yang besar. Mereka juga menurunkan fahaman mereka bersama membina bangunan-bangunan megah dan tersergam indah. Ada yang musnah sama sekali dan ada yang masih ketinggalan separuh.

 

Bangunan, bangunan dan bangunan. Di mana-mana pun ada bangunan.  Di sana, di sini, di atas bukit mahupun di bawah bukit pasti ada bangunan. Bangunan dibina bukan sekadar untuk menjadikannya sebagai bangunan tetapi juga sebagai perlindungan untuk manusia yang sudah hidup berkurun lamanya di suatu tempat.

 

Jadi, apabila sesiapa datang dengan sewenang-sewenangnya untuk merobohkan sesuatu bangunan yang sudah lama didirikan di sesuatu tempat, mereka sebenarnya bukan merobohkan bangunan sahaja, tetapi merobohkan tempat perlindungan serta merobohkan sejarahnya sekali. Ya, sejarahnya sekali.

 

Merobohkan sesuatu bangunan atau mana-mana bangunan pasti akan mengundang kemarahan sesiapa sahaja.

 

Begitulah pada hari ini. Kami melihat segerombolan orang datang berpusu-pusu menuju ke atas bukit bersama sebuah jentolak untuk merobohkan sebuah bangunan lama dan bersejarah yang sudah lama memberi perlindungan kepada penduduk  di sekitarnya tatkala hujan dan panas; tatkala kemarau dan banjir; tatkala kenduri kahwin dan kenduri kematian.

 

Kami tidak boleh buat apa-apa. Kami biarkan sahaja. Kami akur pada lunas undang-undang. Ramai juga antara kami yang menangis. Hati aku sebak tetapi aku tidak menangis seperti mereka yang lain. 

 

Biarkan.

 

Biarkan.

 

Biarkan bangunan lama itu dirobohkan sahaja. Rupa bangunan dan segala kebaikan yang kami peroleh melalui bangunan ini tetap terpahat dalam hati kami. Akan terbina bangunan lain yang baharu di situ. Biarlah mereka pula yang mendapat manfaat.

 

Bangunan tetap bangunan.

 

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan,  Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]

Ulasan