Saya
selalu beranggapan bahawa semua kejadian lampau seperti baru sahaja berlaku,
walaupun ia sudah berlaku berpuluh-puluh tahun lamanya. Ini adalah kerana kita
tetap berada di ‘hari ini’ dan tidak boleh kembali ke ‘semalam’ dan ‘esok’.
Begitu
juga dengan usia kita. Sejak muda hingga ke tua, kita masih berada di ‘hari
ini’.
Sudah hampir 58 tahun saya sudah bernafas di muka
bumi ini. Semakin lama, saya dikatakan sedang mencecah usia warga emas. Manusia
tidak dipinta untuk menjadi tua. Ia berlaku dengan semulajadi. Rupa berkedut,
rambut beruban dan gigi pun semakin berkurangan.
Kekuatan
juga tidak lagi seperti dahulu lagi. Namun, semua kejadian lampau masih segar
dalam memori.
Sudah
tentu semua orang telah mengalami, sedang mengalami dan akan mengalami sama
seperti saya alami sekarang. Cuma, memori yang masih terpalit segar dalam
ingatan membuatkan rasa rindu akan kejadian-kejadian lampau. Apa yang berlaku
di alam kanak-kanak, remaja hingga menjadi dewasa adalah saat-saat penting.
Situasi sebenar kita sekarang adalah hasil daripada apa yang kita telah lalui
selama ini.
Tangis,
ketawa, makan, minum, sekolah, kawan, guru, peperiksaan, cinta, buku, wayang,
TV, pekerjaan dan banyak lagi perkara telah kita lalui hingga memenuhi memori
di minda kita.
Setiap
kejadian yang berlaku ketika muda adalah pengajaran agar tidak diulangi
kesilapan lampau. Kegembiraan masa lampau pula boleh menenangkan jiwa di hari
tua.
Sesuatu
kejadian yang dianggap malang pada suatu ketika dahulu akan menjadi bahan lucu
apabila dikenang semula. Masa sentiasa mengubah cara pemikiran seseorang.
Hairan bukan?
Apakah
yang harus dilakukan bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan ini? Sisa-sisa di sini
bermaksud, kita tidak tahu bilakah kita akan tinggalkan dunia ini. Ini adalah
kerana saban hari, ada sahaja rakan atau saudara mara sebaya meninggalkan kita
secara tiba-tiba. Sungguh menyeramkan bukan?
Itu
bukan bermaksud semua akan ‘pergi’ secepat mungkin. Untuk mengelakkan fikiran
tertumpu pada itu, kita perlu mengaktifkan diri dengan pelbagai kegiatan.
Kesihatan
diri adalah sangat penting. Ia perlu dijaga sejak kecil lagi. Bukan pada usia
senja baru hendak dipraktikkan. Jadi, harus dikekalkan penjagaan kesihatan
seperti mengurangkan pengambilan gula, nasi, makanan bergoreng, ayam dan
daging. Lebihkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan. Memasak dan makan di
rumah akan memberi manfaat kepada kesihatan dan juga untuk wang. Lakukan
senaman mudah setiap hari.
Saya
sering melihat warga tua masih bertungkus-lumus bekerja mencari nafkah,
menguruskan urusan keluarga seperti muda-muda dahulu. Jika tersilap merancang
dan mendidik anak dengan tidak teratur inilah akibatnya. Anak-anak yang
seharusnya menjaga ibu-bapa mereka pada usia tua masih membebankan mereka.
Mereka
yang telah merancang keluarga dengan baik bolehlah meluangkan masa bersama kaum
keluarga, cucu-cicit dan sahabat handai. Membaca, menulis, melukis, menyanyi
dan bermain alat muzik boleh menjadi terapi.
Jika
boleh, peliharalah kucing atau anjing. Usah fikirkan masalah negara dan masalah
dunia. Pasti ada yang akan datang untuk menyelesaikannya dan ia akan sentiasa
berulang. Manusia dan masalah berpisah tiada.
Selain
itu, yang paling penting - jangan fikir kita sudah tua. Penuaan adalah hanya
untuk organ-orang di dalam badan, bukan untuk pemikiran. Pemikiran kita tetap
sama seperti dahulu.
Apabila
kita rasa diri kita masih muda, pemikiran kita akan cergas.
Janganlah
bersusah-payah mencampuri urusan keluarga anak-beranak. Ini akan membuatkan
hidup tidak tenteram. Mereka boleh uruskan sendiri. Lebih baik tidak tinggal
bersama mereka kecuali terpaksa dan tidak ada cara lain.
Begitu
juga dari segi kewangan. Simpanlah wang secukupya sejak muda lagi untuk
digunakan pada hari tua tanpa meminta ehsan daripada sesiapa pun.
Dengan
adanya kesihatan yang baik dan wang secukupnya, kita boleh bergerak bebas,
makan angin ke mana-mana sahaja di dalam dan di luar negara. Pengalaman adalah
segala-segalanya. Usia berperanan sebagai nombor sahaja.
Usia
tua bukan untuk diratapi tetapi untuk dinikmati.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].
[Mahendran
dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan
cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa
Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika,
Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]


