Cerpen: Dalam Kegelapan Malam (Bahagian 2)

(Sambungan daripada Bahagian Satu) Malam itu aku ke restoran Cina yang terletak lapan kilometer jauh dari rumah. Memang aku sungguh geram dengan Nisha. Dia langsung tidak mahu berganjak.

Ram  dan kawan-kawan yang lain masih belum melihat Boy. Inilah peluang terbaik untuk menunjuk anak sulung kami kepada mereka.

Nasib baik ada tempat untuk parkir. Hujan mula turun ketika aku keluar dari kereta. Aku berlari-lari masuk ke dalam restoran. Kelihatan tujuh rakan sekerjaku sudah memenuhi dua meja besar bulat. Meja-meja lain di restoran itu juga dipenuhi pelanggan. Riuh-rendah bunyi hingga memekakkan telinga.  Aku mengeluarkan telefon bimbit dari kocek. Terdapat dua panggilan daripada Ram.

“Mengapa lambat?” tanya dua tiga orang rakan di situ.

“ Selamat Harijadi Ram. Nishalah … aku dah berpuluh-puluh kali ajak dia dari semalam. Aku ingat nak bawa Boy hari ini, Nisha tak mahu.”

Aku mengeluarkan sampul angpau dari kocek lalu menyerahkannya kepada Ram. Dia meletakannya di atas meja. Kebanyakan rakan memberi angpau sahaja. Ada dua tiga sahaja bungkusan hadiah kelihatan di atas meja.

“Takpalah. Lain kali sajalah,” kata Ram seperti memahami perasaan aku.

Sebuah kek kecil dipotong. Pelbagai jenis masakan Cina yang lazat datang ke meja. Aku mengambil sedikit sahaja dengan chopstick daripada setiap jenis yang dihidangkan. Aku kurang gemar makan makanan Cina. Lidah ini sudah biasa dengan masakan India sahaja. Tak tahu kenapa.

Di samping hidangan makanan pelbagai jenis, juga disediakan air teh bunga panas dalam teko. Ram menuang ke dalam cawan-cawan kecil. Enak diminum panas-panas.

“Lepas siap makan, kita minum bir,”  kata Ram dengan penuh semangat.

Rakan-rakan lain bersorak. Cara Ram memang begitu. Dia tidak suka minum bir sambil makan. Ini akan menyusahkan semua untuk menghabiskan makanan yang telah ditempah. Jadi, tidaklah berlaku pembaziran. Bagus juga caranya. Aku suka.

Setelah makanan di atas meja bulat habis licin sebanyak lapan hidangan, tibalah botol-botol berlabel biru, hijau dan hitam ke dua buah meja kami. Seorang pelayan perempuan Cina yang sungguh lawa datang meletakkan botol-botol tersebut bersama lapan gelas besar kosong. Baldi keluli kecil berisi air batu juga diletakkan bersama-sama botol-botol bir. Ram memasukkan beberapa botol dalam baldi itu.

Pelayan itu memberi pembuka botol kepada Ram lalu beredar dari situ. Kami merehatkan perut sebentar. Dalam beberapa minit kemudian beberapa orang kawan mula membuka penutup pada muncung botol lalu mengisi bir dan stout ke dalam gelas-gelas kami.

Buih melimpahi setiap gelas. Aku suka minum stout jika dibandingkan dengan bir. Rasanya walaupun pahit; sungguh menyegarkan. Minum bir asyik hendak kencing sahaja.

Sejak pagi tadi aku cuma bercadang untuk minum segelas atau dua gelas stout sahaja. Lagipun aku bukanlah peminum bir tegar. Aku cuma minum pada masa-masa tertentu sahaja. Kalau terlalu gian, aku akan ke Pasar Mini berdekatan rumah. Beli setin atau dua tin begitu sahaja. Harga pun murah. Aku biasa minum bersama bebelan Nisha yang akan disambung ke keesokan pagi.

Tetapi malam tadi semua berubah. Aku yang cuma mahu minum sedikit sahaja sudah tidak peduli dengan prinsip yang diamalkan sebelum ini. Ram asyik bergilir-gilir menuang stout dan bir ke dalam gelasku. Walaupun aku tidak mahu, aku dipaksa juga untuk menghabiskan beberapa gelas yang aku sendiri tidak pasti berapa jumlahnya.

Hujan masih belum berhenti. Semasa memandu pulanglah kejadian itu terjadi.

Mata berpinar-pinar. Cahaya di hadapan menusuk-nusuk mata. Pandangan menjadi silau dan kabur. Tangan dilepaskan daripada stereng. Kemudian dipegang erat-erat. Tidak tahu ke mana aku sedang menghala; seolah-olah telah lupa.

Kejadian itu berlaku ketika aku membelok masuk ke suatu kawasan perumahan.

Aku melanggar seorang penunggang motorsikal dari arah belakang. Dia jatuh terpelanting jauh ke hadapan. Nasib baik tidak ada sesiapa yang lalu-lalang ketika kejadian itu. Cuma kereta bersimpang-siur di jalan besar.

Dia tidak memakai topi keledar. Mungkin usianya dalam lingkungan 20-an. Kepalanya berlumuran darah. Begitu juga dengan kaki dan tangannya.

Aku cepat-cepat mengangkatnya masuk ke dalam bahagian belakang kereta dan memandu ke arah hospital. Tiba-tiba sahaja kepalaku berhenti pening. Pandangan mataku menjadi jelas. Cuma, jantungku berdebar kencang.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera KavyanEksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]