Cerpen: Jalan Yang Benar (Bahagian 2)

[Sambungan daripada Bahagian Satu] Saya diam. Rongga kerongkong saya seperti rasa sudah kering dan perit untuk bercakap. Perempuan kurus itu menundukkan kepala. Sudah tentu dia tahu apa yang sedang bergelojak dalam hati saya.

Saya masih diam.

Jika saya diam lama-lama akan mengundang bahaya. Mungkin Vijay akan menganggap saya sudah tua, lemah dan boleh bertidak sesuka hatinya. Nanti dia akan tinggalkan saya untuk selama-lamanya. Mungkin perempuan kurus ini telah memukaunya.

“Kalau kau kahwin dengan perempuan ini, sudah tentu kamu akan tinggalkan agama kita bukan?” suaranya saya menjadi serak.

Saya tidak tahu mengapa soalan itu yang saya tanya terlebih dahulu. Mungkin sudah terlampau banyak kes berlaku, lebih-lebih lagi kes anak Indra Gandhi yang masih belum diselesaikan.

“Saya sudah lama tinggalkan, ma.”

Badan saya tiba-tiba menggeletar. Kepala terasa berpinar-pinar. Dahi dan tengkuk saya berpeluh. Mahu sahaja saya mengambil rotan dan memukul Vijay sepuas hati saya di depan perempuan kurus itu. Begitu juga dengan perempuan itu; mahu saja saya mencekik lehernya dan menolaknya dari tingkat empat.

Vijay masih kelihatan tenang ketika mengucapkan “sudah lama tinggalkan” itu.

“Kamu tinggalkan agama yang kamu anuti selama ini demi perempuan ini?!”

Vijay tidak menjawab terus. Mereka berdua saling berpandangan. Perempuan kurus itu seperti mahu bercakap sesuatu dengan saya. Saya cepat-cepat menangkis.

“Cakap Vijay!”

“Sudah tiga tahun saya memeluk agama ini, ma. Sebelum kenal Maya lagi,  saya sudah berhasrat untuk memeluk agama ini.”

Saya masih menggagahkan diri di sofa daripada tersungkur ke lantai.

“Kamu sudah menukar nama kamu?”

“Nama saya masih Vijay, ma. Agama sahaja berubah. Nama saya tetap sama. Tak perlu tukar. Nama itu amma yang  berikan”

Oh, boleh pula begitu sekarang. Mungkin sudah diberi kelonggaran untuk memudahkan lebih ramai untuk memasuki agama itu.

“Buat apa tak tukar? Tukar sahajalah! Buat apa nama yang saya berikan itu perlu melekat pada diri kamu? Letaklah nama lain!”

Perempuan kurus itu memandang saya dan mahu bercakap sesuatu. Saya menangkisnya lagi, “Vijay, adakah selama ini pernah saya tidak kabulkan permintaan kamu? Amma buat semua untuk kamu hinggalah kamu menjadi seorang guru.”

Vijay memandang lantai. Kemudian dia bersuara, “Itu lain tetapi ini lain, ma.”

Perkataan ‘lain’ yang diucapkan itu membuatkan darah saya menyirap.

“Ei, perempuan kurus! Kamu tak dapat lelaki lainkah sama kaum dan agama dengan kamu?”

Saya tahu soalan itu memang tidak betul.

“Saya suka Vijay sebab dia sungguh baik dan bertoleransi. Lebih-lebih lagi dia sudah sudah memeluk agama kami sebelum saya menjumpainya, aunty.

Saya terasa sejuk sedikit pada saat dia memuji tentang kelakuan Vijay. Sifat Vijay memang begitu kerana saya yang mendidiknya begitu. Tetapi ayat kedua itu yang membuat saya sungguh benci kepada mereka berdua. Mungkin perempuan kurus ini menganggap saya akan bertoleransi juga dalam hal mereka.

Amma, saya tetap anak amma walaupun saya sudah memeluk agama lain.” kata Vijay.

Adakah ini anakku Vijay yang saya kasih dan sayangi sejak dia dilahirkan? Tiba-tiba sahaja kasih dan sayang terhadapnya beransur-ansur hilang. Vijay di depan mata saya bukan anak saya lagi.

Dia bukan Vijay!

Dia sudah menjadi orang lain.

“Kamu dilahirkan sebagai Hindu, hidup selama ini sebagai Hindu, harus mati sebagai seorang Hindu juga … Vijay.”

Akhirnya air mata yang bergenang di kedua belah kelopak mata turun dengan derasnya membasahi pipi. Vijay mendahulukan tangannya untuk menyekanya. Saya menepis tangannya. Teresak-esak saya menangis.

Perempuan kurus itu mendekati saya. Saya menjauhkan diri.

Aunty, jangan macam ini, aunty. Vijay sudah menemui jalannya yang benar. Agama kita boleh berbeza tetapi kita semua manusia di tanah air yang sama.”

Perempuan kurus itu memeluk saya dari belakang. Saya mengelakkannya.

“Betul, ma. Saya masih sayang amma seperti dahulu. Jangan fikir yang bukan-bukan, ma. Betul kata Maya.”

Betul kata Maya?

Jadi selama ini cara saya membesarkan dan didikan yang saya beri adalah tidak betul dan itu bukan jalan yang benar? - Tamat

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]

Ulasan