Tidak sangka, anak yang dikandung dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang, mengharungi segala suka duka bersama selama 27 tahun boleh berbuat demikian.
“Amma, betulkah
Dewa Vinayagar dan Ganesha adalah sama?”
“Ya, Vijay.
Setiap nama Vinayagar mewakili sifat, kuasa dan kisah. Dia mempunyai banyak
nama mengikut pelbagai bahasa dan kepercayaan di India. Mengapa Vijay suka
dengan Dewa Vinayagar, ya? ”
“Saya suka Dewa
Vinayagar kerana rupanya macam gajah dan nampak comel, ma.”
“Sembahyanglah
mana-mana Dewa yang kamu suka Vijay. Tidak menjadi masalah. Biarpun banyak Dewa
dalam agama Hindu. Tuhan tetap satu.”
Dia sudah
berubah dengan tiba-tiba. Berubah seolah-olah dia bukan anak saya dan saya
bukan ibunya. Seolah-olah bukan saya yang melahirkan dan membesarkannya.
“Sukakah kamu
Vijay, kelas Thevaaram yang kamu hadiri setiap hari Ahad di kuil?”
“Suka! Saya
suka lagu Jaya Ganesha Paahimam dan lagu Jyothi Jyothi Jyothi Suyam, ma.”
“Kamu tahu
maksudnya?”
“Tahulah
sikit-sikit, ma walaupun tak faham sangat. Cikgu ada menjelaskan maksudnya.
Yang paling bagus, selepas tamat kelas mereka ada bagi biskut dan ponggal.
Sedap!”
Saya tidak tahu
apakah kesilapan yang saya pernah lakukan ketika membesarkannya. Makan, minum,
tempat tinggal, pelajaran, tunjuk-ajar tentang baik dan buruk; semua saya
berikan tanpa suami di sisi. Sayalah ibu dan saya jugalah bapa baginya.
Tetapi apa
guna. Semua telah hancur. Saya tidak sangka Vijay akan berbuat begini tanpa pengetahuan
saya. Mungkin dia menganggap peranan seorang ibu sebagai amah sahaja. Tidak
lebih daripada itu.
“Sungguh
menarik rupa kamu dalam pakaian jippa, Vijay.”
“Terima kasih,
ma. Barulah saya nampak lain daripada kawan-kawan saya yang lain di kuil.”
Segala keperluan dan kehendaknya disempurnakan
setakat yang mampu. Walaupun dia seorang sahaja anak saya, saya tidak
memanjakannya. Salah silap yang dilakukan, ditegur dan dihukum agar dia tidak
mengulanginya lagi.
“Maafkan saya,
ma. Saya tak akan buat lagi.”
“Walaupun saya
pukul kamu, saya tetap sayangkan kamu Vijay. Jangan buat kesalahan itu lagi.
Saya tak mahu kamu menjadi seperti appa kamu.”
Mungkin juga
Vijay menganggap saya sengaja menghukumnya. Tidak mungkin. Dia tidak pernah
bersikap dingin terhadap saya ketika membesar.
Semua terjadi
pada petang semalam ketika tiba-tiba Vijay pulang dari tempat kerjanya di
Seremban bersama seorang perempuan.
Alangkah
terkejutnya saya melihat perempuan itu. Bukan saya sahaja yang terkejut, malah
jiran-jiran kami di rumah pangsa ini semua pun tercengang dan berbisik-bisik
sesama mereka. Saya tahu apa yang mereka bisikkan walaupun saya tidak dapat
mendengarnya.
“Siapa ini?”
tanya saya.
Vijay kelihatan
seperti takut dan segan untuk berdepan dengan saya bersama perempuan itu.
Berani dia bawa seorang perempuan ke rumah. Lagi pula perempuan itu …
Perempuan itu
mahu bersalaman dengan saya. Sudah tentu dia tahu saya sedang teramat marah.
Mungkin sengaja mahu menyejukkan hati saya. Saya tidak menyambut tangannya.
Saya membetulkan
selitan sari pada pinggang lalu menghenyakkan punggung ke sofa. Saya tidak
mempelawanya untuk duduk. Tetapi Vijay mempelawanya. Mereka berdua duduk
berdepan dengan saya.
Dada saya
menjadi sebak.
“Amma,
ini Maya.”
Maya?
Perempuan
kurus, berpakaian Punjabi itu membetulkan selendangnya di kepala. Dia memang
cantik. Namun, ini bukan masanya untuk saya memperakui kecantikannya. Saya tahu
apa yang Vijay akan tuturkan selepas memperkenalkan perempuan itu.
Saya memerhatikan Vijay dengan suatu perasaan
yang sungguh luar biasa yang tidak pernah saya alami sebelum ini. Geram, marah,
kecewa, hiba dan sungguh sedih.
Saya pernah
merotan ketika Vijay bertumbuk dengan budak-budak di sekolah, saya pernah
menamparnya apabila dia pulang lewat dari sekolah dan saya pernah juga pernah
piat telinganya ketika dia tidak menyiapkan kerja-kerja sekolah. Saya memukul
dengan merotan bukanlah untuk menghukumnya tetapi untuk menginsafkannya. Saya
memaafkan kesilapan-kesilapan yang dilakukan itu.
“Amma,
saya dan Maya akan berkahwin tidak lama lagi.” [Bersambung pada 7 Ogos 2026]
* * * * *
Mahu
mengirim karya ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.