Cerpen: Last Seen (Bahagian 1)


早上好

GOOD MORNING

SELAMAT PAGI

Pagi tadi pun seperti biasa bapa Chee Keong menghantar mesej Selamat Pagi dan bercakap dengannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Bulan ini bila kamu mahu balik sini?”

“Tak tahu lagi, pa.”

“Orang lain hari Sabtu dan Ahad dapat cuti, mengapa kamu tak boleh?”

“Kerja saya bukan seperti mereka, pa.

“Dapat gaji tinggi saja mana cukup? Sepatutnya mereka bagi cuti bila-bila masa apabila kamu minta. Ok. Nanti bila dapat cuti beritahu saya awal-awal. Jangan datang dengan tiba-tiba!”

“Kerja saya lain, pa. Tak tahu bila akan mula dan bila akan habis.”

“Kamu sudah belajar elok-elok, tapi saya pun tak tahu mengapa kamu pilih kerja ini. Masa saya panggil kamu sambung belajar, kamu tolak. Ok … ok… saya mahu pergi masak dulu.”

Bapa Chee Keong mahu anaknya bekerja di bank. Itu pun di daerah tempat tinggal mereka sahaja. Sejak dahulu lagi ibu dan bapanya berniaga menjual kuih Ham Cim Peng, Yau Cha Kui dan beberapa kuih tradisi Cina yang lain di bandar Bentong. Pendapatan mereka pun cukup-cukup sahaja. Ibunya pandai berjimat-cermat dan telah membolehkan mereka membeli sebuah rumah kos sederhana.

Sebelum mereka berniaga menjual kuih, ibu bapa Chee Keong menoreh getah di kebun tauke Lim selama 15 tahun. Pada suatu hari di waktu subuh, mereka menemui kemalangan jalan raya dengan melanggar seekor babi hutan ketika menunggang motosikal ke kebun. Selepas itu bapanya bertekad tidak mahu meneruskan pekerjaan itu dan memulakan perniagaan ini.

早上好

GOOD MORNING

SELAMAT PAGI

Walaupun setiap bulan Chee Keong cuba memberi wang secara tunai, bapanya tidak mahu menerimanya. Dia akan kata, wang daripada hasil menjual kuih sudah cukup untuk mereka berdua. Selepas itu Chee Keong mula mendepositkan sahaja suatu jumlah ke dalam akaun bapanya dengan harapan ia akan membantu mereka kelak.

Ibu Chee Keong tidak kisah tentang pekerjaan anaknya, asalkan dia mendapat pendapatan yang lumayan dan ia membantu masa depan Chee Keong sendiri. Dia tidak mahu anaknya melibatkan diri dalam perniagaan menjual kuih ini. Pendapatan tidak menentu, ada kalanya bagus, ada kalanya tidak. Lebih-lebih lagi pada musim hujan.

Lagipun, Chee Keong sahajalah anak mereka. Setelah 12 tahun berumahtangga, barulah mereka dikurniakan cahaya mata. Ketika itu, saban hari ibunya akan menyembah Kuan Yin agar mereka dikurniakan anak. Bapa Chee Keong pula tidak mempercayai semua itu. Dia selalu berkata kepada isterinya, itu bukan kerja Kuan Yin atau Tuhan.

早上好

GOOD MORNING

SELAMAT PAGI

Ibu Chee Keong yang menghidap penyakit kencing manis mengalami koma sebanyak dua kali dan pada kali ketiga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Walaupun bapa Chee Keong tidak menunjukkan sedihnya, tetapi Chee Keong tahu betapa sayangnya bapa terhadap ibu. Gambar ibu tetap kelihatan di dalam dompet bapa.

Selepas tamat S.P.M, Chee Keong melakukan pelbagai jenis pekerjaan yang tidak menentu walaupun keputusan S.P.Mnya baik. Kemudian dia menyertai sebuah studio fotografi yang mengendalikan album-album perkahwinan. Baru dia sedar minatnya memang di situ. Bapanya tidak suka.

Selain daripada mengambil gambar-gambar perkahwinan, Chee Keong juga mempelajari cara-cara mengendalikan kamera video dan penyuntingan. Ini dengan seterusnya membolehkan Chee Keong menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah filem pendek setahun.

Baru-baru ini dengan gabungan bersama-sama rakan-rakan, Chee Keong  telah melibatkan diri dalam projek menerbitkan sebuah filem cereka. Dia menjadi pengarah dan jurukamera untuk filem tersebut. Sebab itu, bukan mudah untuk mendapat perlepasan.

Menerbitkan sebuah filem cereka bukanlah suatu kerja yang mudah. Dia perlu memastikan filem arahannya menemui citarasa penonton dan menggembirakan penerbit sekaligus. Kutipan tiket perlu melebihi berlipat kali ganda daripada modal yang ditaburkan.

早上好

GOOD MORNING

SELAMAT PAGI

Chee Keong tidak pernah menjelaskan semua ini kepada bapanya. Bapanya juga tidak pernah bertanya apa-apa. Lainlah jika dia adalah seorang akauntan. Bapanya sudah tentu bangga dan boleh bertanya itu dan ini pasal kerja anaknya di bank.

Chee Keong tahu betapa sayangnya bapa terhadap dia. Cuma Chee Keong tidak pasti adakah bapanya tahu yang dia juga hormat dan sayangi bapanya. Sebab, masing-masing tidak pernah menonjolkan kasih sayang mereka. Tidak seperti apa yang dilakukan oleh kebanyakan anak-anak perempuan terhadap ibu bapa mereka. [Bersambung pada 15 September 2026]

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]

Ulasan