Reaksi Remaja Terhadap Dewan Siswa


Minat remaja dan penulis kaum India mengirim cerpen ke majalah Dewan Siswa ternyata amat mendukacitakan [baca di sini]. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna golongan pelajar dan remaja kaum India tidak mengetahui kewujudan majalah ini yang terbit mulai Januari 1979.

Penelitian terhadap kandungan majalah berkenaan dari Januari 1979 hingga Disember 2017 membuktikan ramai juga pelajar dan remaja kaum India mengirim bahan ke ruangan “Surat Anda” dan “Surat Pembaca”.

Surat pertama daripada pembaca kaum India yang tersiar ialah surat kiriman Pandian a/l Muniandy dari Kampung Berapit, Tikam Batu, Kedah dalam keluaran Februari 1981, iaitu setahun selepas majalah Dewan Siswa berada dalam pasaran. Pandian berkongsi pandangan mengenai perlunya mendalami mata pelajaran Sains secara teori dan praktikal.


Surat kedua yang tersiar adalah kiriman R. Bala dari Kuala Lumpur di ruangan “Masalah Remaja” pada November 1983. Bala menceritakan bahawa dia pernah belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan “tidak mengambil berat terhadap pelajaran Bahasa Malaysia”. Dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Bala setakat lulus dalam Bahasa Malaysia. Pada 1984, dia bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lalu meminta panduan bagi mengatasi kelemahan penguasaan Bahasa Malaysia.

Surat seterusnya juga dalam ruangan “Masalah Remaja” pada Mac 1984. Raj Anand dari Hutan Melintang berumur 18 tahun dan merupakan pelajar Tingkatan Lima dalam aliran Sains. Cita-citanya “hendak menjadi penjaga gol terkenal di dunia” ditentang oleh ibu. Akibat perselisihan, Raj meninggalkan rumah. Dia ingin tahu bagaimana dia boleh mencapai cita-cita dan patutkah dia pulang ke rumah.

Dalam keluaran Mei 1984, K. Anantha dari Sungai Kerpan, Kuala Lipis, Pahang bertanya kemusykilan bahasa, iaitu “Apakah maksud ayat berlapis dan ayat berkait?”


Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.