Bawalah Aku Pulang, Sugumaran! (Bahagian 1)

Vadsala meraung dalam kesakitan buat kesekelian kali.

“Bawalahku pulang, acha. Bawalah aku pulang, amme. Saya tak hendak berada di sini lagi,” serunya sambil terkenang akan ibu bapa yang sudah lama meninggal dunia.

Wanita dalam usia emas tersebut terlantar di katilnya yang terletak di ruang tamu selama lebih daripada 12 bulan setelah diserang angin ahmar kali kedua. Serangan penyakit tersebut menyebabkan dirinya lumpuh dan separa hilang ingatan.

“Kamu mahu pulang tetapi anak kita yang pulang,” jawab Narayanan Menon, suami Vadsala dengan lemah

Air mata berlinangan membasahi pipi dan janggut putihnya. Dia tidak pasti sama ada Vadsala memahami apa yang disampaikan.  Dia patah hati, sedih dan tidak pasti apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Jasad anak mereka, Sugumaran Menon, berada di ruang tamu selepas menjalani bedah siasat pagi tadi di Hospital Selayang.

Kematian Sugumaran sesungguhnya tidak disangka oleh Narayanan. Pada umur 40 tahun, anaknya meninggal dunia akibat sakit jantung sedangkan dirinya sendiri menjalani pembedahan jantung.

Anaknya yang menanggung beban keluarga semenjak dia bersara daripada khidmat kerajaan dan isterinya diserang angin ahmar.

Sami dari Kuil Sri Subramaniam yang terletak di Batu Caves tiba di rumah Narayanan untuk menjalankan upacara mengikut amalan mazhab Saivisme yang menjadi ikutan masyarakat India etnik Tamil di Malaysia. Mazhab Saivisme ialah mazhab yang berpusat kepada Dewa Shiva.

Jenazah Sugumaran sudahpun dimandikan dan dibungkus dengan kain putih.  Kalungan bunga meliputi badannya. Sanak saudara yang turut menziarahi Narayanan membacakan mantera Maha Mrityunjaya untuk mendiang. Mereka turut mendoakan roh Sugumaran pergi dengan aman. Tujuan mantera itu dibacakan adalah untuk memudahkan perjalanan roh Sugumaran ke destinasi seterusnya;  sama ada satu lagi kitaran hidup ataupun kembali kepada Pencipta mengikut kepercayaan agama Hindu.

Selepas itu, sami tersebut menyeru sanak saudara membaca Thevaram dan Thiruvasagam

“Thevaram merujuk kepada sebahagian daripada koleksi sajak keagamaan Hindu mengikut mazhab Saivisme. Ia dikarang oleh tiga pendita-penyajak yang tergolong sebagai Nayanar iaitu Sambandar, Tirunavukarasar dan Sundarar,” jelas sami itu. “Thiruvasagam pula merujuk kepada 51 gita puja yang dihasilkan oleh penyajak Saivisme, Manikavasagam.”

Di luar rumah, hujan turun dengan lebat walaupun ramalan cuaca menjangkakan cuaca mendung sahaja. Ribut petir sabung menyabung di langit. 

Sebatang pokok pisang turut disediakan di anjung sebagai sebahagian daripada upacara keagamaan.  Pokok pisang ini relevan kerana Sugumaran meninggal dunia tanpa berkahwin.  Dalam keadaan ini, jenazah Sugumaran akan “dikahwinkan” dengan batang pokok tersebut sebelum dibawa ke krematorium dan dibakar. 

Hujan dan ribut petir tidak mematahkan semangat rakan taulan serta sanak saudara untuk memberikan penghormatan.

Mereka berkumpul di luar rumah di bawah khemah yang dipasang dari anjung ke jalan raya.  Masing-masing menceritakan perkara baik yang dilakukan kepada mereka oleh mendiang.  Suara mereka dikecilkan agar acara keagamaan di ruang tamu tidak terganggu. Masing-masing melayani perasaan hingga tidak menyedari kehadiran seorang wanita Melayu.

Wanita yang memakai jubah peguam tanpa tudung melangkah masuk ke anjung rumah Narayanan. 

Peguam muda tersebut, Iman Sofea Koya, mengetahui keadaan kesihatan Sugumaran tetapi tidak menyangka anak guamnya itu akan mati secepat ini. Tiga bulan lalu, Sugumaran ke pejabat guamannya di Cheras dengan hasrat mahu menyediakan wasiat.

“Tiada siapa yang patut tahu mengenai wasiat ini sehingga selepas saya menemui ajal,” Sugumaran mengingatkan Iman setelah dokumen wasiat siap. — Bersambung di sini

____________________


K. Pragalath
seorang bekas wartawan yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan dalam talian selama 11 tahun dan kini berkecimpung dalam bidang pemasaran digital. Beliau lahir di Perak dan membesar di Kedah sebelum mendapatkan sarjana muda pengajian antarabangsa dan strategi di Universiti Malaya.  Beliau pernah bekerja  dengan portal berita Malaysiakini, Free Malaysia Today, Berita Daily dan The Leaders Online. Pragalath menyertai Sesi Penulisan Intensif anjuran Kavyan (Ogos 2019 dan November 2019). Karya pertama yang dihasilkan ialah sebuah cerpen bertajuk “Dana dan Darah” (Eksentrika, 6 September 2019), diikuti esei “Pakaian Muslimah: Beriman atau Munafik?” (Eksentrika, 4 Oktober 2019).