Bawalah Aku Pulang, Sugumaran! (Bahagian 2)

[Sambungan]

“Tapi, mengapa Encik Sugumaran?  Upacara keagamaan berkaitan dengan kematian hanya sensitif sekiranya si mati bertukar agama tanpa diketahui ahli keluarga,” kata Iman.

Sebagai peguam, Iman mengetahui perkembangan sebilangan kes perebutan mayat seperti dalam kes wira negara, M. Moorthy yang mengharumkan nama negara setelah menjadi rakyat Malaysia pertama mendaki Gunung Everest.

Dalam kes M. Moorthy dan kes-kes seumpamanya, pihak jabatan agama Islam negeri mengambil mayat si mati daripada keluarga berdasarkan bukti kad masuk agama Islam dan dikuburkan menurut tradisi Islam.

Sugumaran tidak pernah meninggalkan agama Hindu. Lalu, mengapa dia membuat wasiat khusus yang amat spesifik?

Sugumaran menghela nafas sebelum memberikan penjelasan kepada Iman, tiga bulan lalu.

“Saya bukan seorang warak.  Ketika masih sihat, ibu saya sering kali mengingatkan saya untuk berkahwin dengan gadis Malayali bermazhab Vaishnava.  Dalam kesibukan kerja dan menjaga ibu bapa, saya tidak berpeluang untuk mengotakan hasrat ibu saya.  Sekurang-kurangnya saya boleh berbuat demikian dalam upacara kematian.”

Itulah penjelasan Sugumaran berkenaan satu klausa di dalam wasiat tersebut.

Berbalik kepada upacara di dalam rumah Narayanan, Iman sempat membisikkan sesuatu kepada sami yang secara spontan memberi isyarat kepada semua yang hadir. Mereka tidak menyambung bacaan Thevaram dan Thiruvasagam.  Sami tersebut turut mengundurkan diri daripada menjalankan upacara tersebut.

“Saya ingin meminta maaf kerana mengendalakan upacara ini.  Saya berada di sini untuk memastikan segalanya berlaku berdasarkan wasiat mendiang,” kata Iman.

“Mendiang Sugumaran mewasiatkan bahawa upacara kematian dijalankan mengikut mazhab Vaishnavisme, bukan Saivisme.  Ini selaras dengan etnik mendiang.  Mendiang turut menegaskan bahawa pokok pisang tidak perlu dibelah sebagai ritual hanya kerana dia meninggal dunia dalam keadaan masih teruna.”

Seluruh sanak saudara dan ahli keluarga terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh peguam tersebut. 

“Bala apa yang menimpa keluarga ini? Apakah upacara terakhir untuk Sugumaran akan tergantung begitu saja?” Sebilangan daripada ahli keluarga bertanya sesama sendiri.

Iman kemudian berjumpa dengan Narayanan untuk memberitahu berkenaan cadangan penyelesaian kepada kemelut itu.

“Jika tuan tidak keberatan, bolehkah saya membawa sami bermazhab Vaishnava untuk menjalankan upacara ini? Langkah ini turut disebutkan di dalam wasiat tersebut ekoran daripada kesukaran mendapatkan sami mazhab Vaishnava. Mendiang sendiri yang telah mengaturkannya dan saya hanya melaksanakan apa yang sudah diwasiatkan.”

Narayanan mengangguk dengan lemah.

Iman mengeluarkan telefon bimbit untuk menghantar mesej kepada pembantunya yang berada di luar rumah agar membawa masuk sami Vaishnava.

Sejurus selepas menerima berita kematian Sugumaran awal pagi ini, Iman dan pasukan peguamnya telah bertemu seorang sami Vaishnava di Seremban.  Sami tersebut berasal dari negeri Kerala, India dan menguruskan sebuah kuil di Seremban 2.

Memandangkan sanak saudara Sugumaran sudahpun membaca mantera Maha Mrityunjaya, Thevaram dan Thiruvasagam, sami tersebut mengajak mereka membaca Garuda Purana. Seusai pembacaan Garuda Purana, sami tersebut menjelaskan perjalanan roh mengikut mazhab Vaishnava.

“Menurut Garuda Purana, roh seorang pengikut mazhab Vaishnavisme akan kembali kepada Dewa Krishna di Goloka Vrindavana. Roh tersebut dipercayai akan diterbangkan dengan divya vimana. Divya vimana merujuk kenderaan seperti kapal terbang.  Goloka Vrindavana merujuk kepada tempat tinggal abadi Dewa Krishna dan temannya, Radha.  Sebagai pengikut Vaishnavisme, roh tersebut akan menerima tubuh persis Krishna sendiri.”

Narayanan menyapu air mata. Dia menghela nafas lega kerana tradisi nenek-moyong dapat diteruskan walaupun selepas anak tunggalnya sudah tiada. Dia memandang ke arah Vadsala yang masih terbaring di katil.

“Bawalah aku pulang, Sugumaran,” bisik wanita itu.

____________________

K. Pragalath seorang bekas wartawan yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan dalam talian selama 11 tahun dan kini berkecimpung dalam bidang pemasaran digital. Beliau lahir di Perak dan membesar di Kedah sebelum mendapatkan sarjana muda pengajian antarabangsa dan strategi di Universiti Malaya.  Beliau pernah bekerja  dengan portal berita Malaysiakini, Free Malaysia Today, Berita Daily dan The Leaders Online. Pragalath menyertai Sesi Penulisan Intensif anjuran Kavyan (Ogos 2019 dan November 2019). Karya pertama yang dihasilkan ialah sebuah cerpen bertajuk “Dana dan Darah” (Eksentrika, 6 September 2019), diikuti esei “Pakaian Muslimah: Beriman atau Munafik?” (Eksentrika, 4 Oktober 2019).