Lima Sasterawan Kavyan masing-masing mengemukakan dua soalan yang kemudian dikumpul dan dijawab secara berasingan oleh kelima-lima individu terbabit. Berikut jawapan daripada Malini Lakshmi Bai.
1. Siapa yang menjadi inspirasi kepada anda menulis (selain mana-mana penulis)?
Nenek dan pak cik saya. Mereka adalah dorongan bagi
saya dalam bidang penulisan; selain sumber inspirasi utama saya iaitu penulis fiksyen
Harry Potter, Joanne
Kathleen Rowling. Nenek dan pak cik sentiasa memberi semangat positif
dan mengingatkan saya supaya kerap berkarya. Mereka berdua juga banyak
berkongsi idea mengenai penulisan bersama saya.
2. Dari manakah datangnya idea atau inspirasi untuk anda menulis?
Kebanyakan idea atau inspirasi untuk menulis terhasil melalui
visual yang saya lihat di Google
Images, buku atau suasana alam semula jadi. Sebagai seorang visual
learner, saya rasa lebih mudah untuk berkarya apabila ada maklumat atau
idea dalam bentuk gambar, terutamanya gambar berwarna.
3. Apakah karya sulung/pertama yang tersiar/terbit? Bagaimana peluang menyiarkan karya itu muncul?
“Aku Mahukan Hatimu, Karna” adalah karya sulung saya yang berjaya
disiarkan di portal Sastera Kavyan pada
12 Julai 2021. Peluang untuk menyiarkan karya ini terhasil apabila saya menyertai
Kavyan.
4. Berapa banyak tempoh waktu diperuntukkan untuk membaca dan membuat kajian sebelum menghasilkan karya?
Tempoh waktu yang diperuntukkan bergantung kepada
karya tersebut. Jika karya yang bakal ditulis berkaitan dengan hal-hal yang
rumit atau perkara yang melibatkan luar negara atau budaya yang asing bagi saya,
maka akan peruntukkan masa lama sedikit. Mungkin, beberapa jam atau beberapa
hari.
5. Pada waktu bilakah atau dalam suasana yang bagaimanakah anda ada “feeling/mood” untuk menulis?
Biasanya, saya fokus pada aktiviti menulis pada waktu senja
atau malam. Suasana pada waktu senja dan malam adalah lebih menenangkan dan membantu
minda untuk menjana idea-idea yang menarik untuk berkarya.
6. Apakah topik/tema/isu yang agak mudah untuk anda tulis dan apa pula yang agak sukar untuk anda tulis?
Karya berunsur genre seram, alam semula jadi,
spiritual dan mistik agak mudah bagi saya untuk menulis tetapi tema atau isu
berkonsepkan cinta adalah agak sukar bagi saya untuk menulis.
7. Apabila anda mengetengahkan kebudayaan komuniti sendiri dalam karya, bagaimana ia mempengaruhi pembaca? Apakah reaksi yang diterima daripada pembaca?
Para pembaca semakin tertarik dengan kebudayaan komuniti
India yang saya paparkan dalam karya dan mereka ingin tahu keunikan kebudayaan komuniti
itu dengan lebih lanjut.
8. Apa yang mendorong anda untuk terus menulis walaupun tiada pendapatan lumayan melalui bidang penulisan?
Semangat untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak
hasil bacaan untuk ahli keluarga, kawan-kawan dan pelajar-pelajar saya yang
banyak memberi dorongan dan sokongan moral.
9. Apakah karya terkini anda yang sedang diusahakan? Berikan sedikit maklumat dan cabaran dalam menyiapkannya.
Kini, saya sedang giat mengusahakan beberapa cerpen dan
puisi dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Kesemuanya masih dalam fasa pertama (draf
awal) disebabkan oleh kekangan masa.
10. Ramai yang mempunyai aspirasi (cita-cita) untuk menjadi seorang penulis seperti anda. Apakah tips yang boleh anda kongsikan kepada mereka?
Jangan berasa malas atau malu untuk menimba ilmu penulisan
daripada penulis-penulis yang lebih banyak pengalaman. Jangan sia-siakan masa
dengan menunggu peluang untuk menulis datang bergolek kepada anda. Rajinlah
melayari internet untuk mencari maklumat sayembara atau pertandingan menulis.
[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah
Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul
Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada
tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar,
pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru
bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga
menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran
Diri (2022) dan di portal
Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula
diterbitkan di laman Eksentrika. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]