Saya berpeluang membaca petikan cerpen “Scammer” tulisan Uthaya Sankar SB.
Petikan awal ini memang
menarik apabila saya membacanya. Cara penyampaian yang ringkas. Cerita tentang
isu scammer juga menarik minat saya.
Duit yang dimasukkan dalam akaun menimbulkan misteri membuatkan saya
tertanya-tanya adakah ini memangnya scammer
atau bukan.
Pada andaian saya,
pemanggil pertama merupakan salah seorang daripada satu organisasi penggodam (hackers), umpama Anonymous, yang mencuri duit secara
dalam talian (online) daripada
kapitalis-kapitalis dan politikus-politikus jahat dari serata dunia. Duit itu
kemudian mereka berikan kepada golongan yang memerlukan di serata dunia, tanpa
ada sebarang sebab apa pun. Macam modus operandi
ala Robin Hood. Tetapi, pada andaian saya, suara pemanggil pertama tersebut
menggunakan kecerdasan buatan (artificial
intelligence, AI) untuk mengekalkan ketanpanamaan (anonymity).
Seterusnya, pemilik anjing (pemanggil
pada hari Khamis) dan lelaki tua (pemanggil pada hari Isnin) juga merupakan
suara AI sebagai samaran untuk
mengekalkan ketanpanamaan. Cerita-cerita yang mereka kongsikan juga dipilih
secara rawak daripada pelbagai bahan bacaan dan berita-berita dari seluruh
dunia.
Duit RM100 itu pula adalah
duit yang dicuri oleh organisasi hackers
tersebut daripada kapitalis-kapitalis dan politikus-politikus jahat dari serata
dunia dan mereka membahagikan wang itu kepada mereka yang memerlukan
di serata dunia juga. Penerima panggilan itu (watak utama) terpilih mendapat “sumbangan”
RM100 kerana hackers tersebut
berpendapat dia memerlukannya setelah meneliti kehidupan dan kedudukan kewangan
penerima panggilan tersebut.
Pada andaian saya, penerima
panggilan (watak utama) akan terus mendapat duit RM100 selepas setiap panggilan
yang diterimanya. Ini akan berterusan selama tiga bulan dan dia masih tidak
tahu dari mana duit itu datang.
Kemudian, pada firasat dan
andaian saya, tiba-tiba pada suatu hari, dia (watak utama) mendapat mesej
daripada pelbagai bank di luar negara tentang jumlah wang dalam beberapa akaun
simpanan atas namanya yang berjumlah hampir RM10 juta. Dia tak tahu-menahu pun
tentang kewujudan akaun-akaun tersebut. Bermula dari situlah, hidupnya menjadi
kucar-kacir dan dia dikejar bahaya.
[Razlina
Razali lahir
di Pasir Mas, Kelantan tetapi membesar di Shah Alam, Selangor. Beliau memiliki
ijazah sarjana muda undang-undang dan berpengalaman turun-naik mahkamah sebagai
peguam. Razlina pernah juga bekerja sebagai penyunting bahan bacaan
undang-undang dan kerjaya dalam bidang korporat. Beliau salah seorang penyunting
bersekutu bagi projek buku Kisah Dari Siru Kambam (2013).]