Scammer

Memang sudah boleh agak panggilan daripada scammer. Dari nombor peribadi; private number. Namun, oleh kerana memang tidak ada kerja lain, maka dilayan sahaja.

“Anda akan menerima panggilan dari Isnin hingga Khamis, tepat pukul lima tiga puluh petang.”

Didengar sahaja ayat yang nampaknya berbeza sedikit berbanding ayat dan frasa lazim digunakan scammer – belum ada kata sepadan paling tepat dalam Bahasa Malaysia.

“Anda hanya perlu mendengar selama sepuluh minit. Kemudian, pada pukul enam petang, wang seratus ringgit akan dideposit ke akaun anda.’

Mungkin scammer sedang mencuba modus operandi baharu kerana taktik dan tipu muslihat yang biasa digunakan sudah diketahui umum. Namun begitu, agak pelik juga mengapa hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai individu – guru, pesara, janda, nenek – menjadi mangsa scammer – money scam, love scam, job scam. Wang yang “terbang” pula bukannya kecil.

Pemanduan pulang ke rumah diteruskan. Agak hairan juga si pemanggil – scammer – tidak meminta sebarang butir peribadi. Atau memaklumkan ada pakej sedang menunggu untuk dituntut. Atau menawarkan cinta dari negeri atas angin.

Panggilan itu dilupakan begitu sahaja sebaik tiba di rumah.

Pada keesokan hari – Khamis – panggilan masuk tepat pukul 5:30 petang. Sewaktu sedang memandu pulang seperti biasa. Private number.

Pasti scammer yang sama. Mungkin mahu mencuba pendekatan baharu memancing mangsa.

Manalah penipu itu tahu jumlah wang kurang daripada RM200 dalam akaun bank. Kalau tahu, tentu tidak menghubungi semula kerana memang tidak berbaloi cuba memeras wang daripada insan miskin bandar – urban poor – yang terpaksa membeli kereta semata-mata untuk mampu pergi kerja. Dan terpaksa bekerja semata-mata untuk mampu membayar pinjaman bank bagi kereta dan rumah.

Belum mengambil kira tanggungjawab sebagai anak tunggal yang perlu menjaga ibu bapa yang uzur. Bil perubatan yang perlu dibayar setiap bulan.

Belum mampu memikirkan soal berumah tangga. Mana mungkin scammer ambil kisah semua itu! Mana mungkin scammer ada belas kasihan dan perikemanusiaan.

Panggilan dijawab dan suara pemanggil keluar menerusi pembesar suara. Biarlah dilayan sahaja scammer ini memandangkan jalan sesak dan stesen radio tidak menyajikan apa-apa yang menarik.

“Terima kasih kerana sudi menjawab panggilan saya,” kata suara yang berbeza daripada hari sebelumnya.

Sengaja tidak dibalas. Mahu dibiarkan sahaja pemanggil – scammer – membacakan skrip yang tentu sudah banyak kali digunakan dalam usaha menipu mangsa.

Pemanggil private number itu menceritakan tentang anjingnya yang mati – “meninggal dunia” – seminggu lalu. Anjing itu – Tommy namanya – dibela sejak kecil dan sudah menjadi sebahagian daripada keluarga. Diceritakan saat-saat indah dan pengalaman bermakna bersama Tommy.

“Terima kasih kerana sudi mendengar.”

Panggilan terputus. Tepat 10 minit. Skrin telefon pada pemegang hands-free dipandang. Seolah-olah mengandaikan – malah mengharapkan – individu tadi menelefon semula dan menyambung cerita.

Tiada.

Sampai di rumah, urusan dan tugas hakiki membuatkan kisah pemilik Tommy – tidak pula pemanggil private number menyebut namanya – hilang dari ingatan.

Pada keesokan hari, sewaktu memandu pulang dari kerja, seolah-olah mengharapkan pemilik Tommy menelefon semula. Sekurang-kurangnya ada kisah untuk didengar sepanjang perjalanan pulang dalam kesesakan jalan raya.

Segera teringat: Jumaat. Bukankah panggilan hanya dijanjikan dari Isnin hingga Khamis? Mungkin scammer berehat tiga hari dalam seminggu.

Mungkin pada Isnin akan ada panggilan susulan untuk memancing wang. Ah! Macamlah ada beribu-ribu atau berjuta-juta ringgit dalam akaun.

Hanya pada hari Sabtu, sewaktu mahu membuat bayaran bil elektrik secara dalam talian, disedari ada wang RM100 dideposit ke akaun. Hairan.

Butiran deposit disemak. Tepat pukul 6:00 petang pada hari Khamis. Wang dimasuk menggunakan mesin deposit tunai (CDM). Butiran pendeposit tidak dinyatakan.

Ketibaan hari Isnin dinanti. Tidak mampu memberi tumpuan penuh di tempat kerja. Tidak sabar menanti pukul 5:15 petang untuk tamat waktu kerja dan bergegas ke tempat letak kereta.

Tidak sabar mahu menerima panggilan daripada scammer untuk mendapatkan pengesahan tentang wang RM100 yang masuk ke dalam akaun bank pada hari Khamis.

“Terima kasih kerana sudi menjawab panggilan saya.”

Suara lelaki. Tua. Bukan pemilik Tommy. Bukan juga pemanggil yang mula-mula menelefon untuk memaklumkan tentang panggilan yang akan diterima dari hari Isnin hingga Khamis. (Nikmati kisah penuh dalam Koleksi Cerpen)

Tonton/dengar di YouTube - [di sini]. Baca reaksi Anuradha Chelliah [di sini] dan reaksi Razlina Razali [di sini]

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]