Sewaktu memberi keterangan di mahkamah di hadapan Majistret T. S. Adams pada 7 Ogos 1925 (Jumaat), pengurus Tekka Mines, H. H. Brich mengaku ada beberapa kali mendengar tentang masalah dan pertelingkahan antara Veer Singh dan Kishan Singh (tertuduh pertama).
“Berlaku juga perselisihan antara mereka pada malam sebelum tahun baharu dulu. Saya berada di banglo saya pada waktu itu. Kishan Singh bersama seorang lagi jaga (pengawal keselamatan) bernama Begail Singh datang berjumpa saya. Muka mereka berdua ada tanda cedera,” H. H. Brich menceritakan.
“Apa yang mereka beritahu?” tanya Penolong Pesuruhjaya Polis Perak Utara, ACP Louis Arnold George Morris.
Menurut H. H. Brich, kedua-dua jaga itu mengadu dipukul oleh Veer Singh. Tidak lama kemudian, Veer Singh pula datang dan mengadu dipukul oleh Kishan Singh dan Begail Singh.
“Saya masih ingat bahawa mereka bertiga nampak seperti mabuk. Pada keesokan hari, iaitu pada 1 Januari 1925, saya panggil mereka bertiga dan memberi amaran bahawa jika masalah pergaduhan dan perselisihan terus berlaku, mereka akan dibuang kerja,” pengurus Tekka Mines menjelaskan.
H. H. Brich menambah bahawa Veer Singh sekali lagi bertemu dengannya dan mengadu kononnya para pengawal lain – semuanya Punjabi – memang merancang supaya dia (Veer Singh) dibuang kerja sebab mereka bercadang membawa “orang mereka” untuk menjadi pengawal keselamatan di Tekka Mines.
“Pada hujung Januari lalu, saya ada terima satu petisyen iaitu aduan bertulis daripada Veer Singh. Katanya, wujud pelbagai masalah di tempat tinggal para jaga.”
Ketua Polis Daerah Taiping, Cif Inspektor D. J. Marquess mencelah untuk bertanya sama ada memang menjadi kebiasaan bagi pengurus itu menerima pelbagai petisyen daripada pekerja.
“Memang suatu kebiasaan. Jadi, bukanlah sesuatu yang aneh atau luar biasa apabila Veer Singh beri petisyen untuk perhatian saya. Malah, dua minggu sebelum terbunuh dalam tragedi itu, Veer Singh ada memberi satu lagi petisyen untuk mengadu masalah hampir sama. Dia ada sebut nama beberapa orang jaga tapi saya tidak ingat nama-nama itu sekarang,” H. H. Brich memberi keterangan di kandang saksi.
Seterusnya, Louis Arnold George Morris mengemukakan dua petisyen yang ditemui di dalam sebuah kotak milik Veer Singh. Kotak itu ditemui sewaktu polis memeriksa bilik mendiang pada 17 Julai 1925.
H. H. Brich diberi sedikit masa untuk membaca kedua-dua petisyen itu yang dialamatkan kepadanya.
“Veer Singh tidak pernah memberitahu saya tentang kejadian bijih timah dicuri dari Tekka Mines,” kata pengurus itu seketika kemudian.
Petisyen kedua pula mengandungi satu lagi aduan bahawa Kishan Singh dan jaga lain merancang Veer Singh dibuang kerja supaya mereka boleh membawa kawan mereka masuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di Tekka Mines.
“Pernahkah anda menerima aduan daripada salah seorang tertuduh tentang insiden kehilangan wang di tempat tinggal para pengawal keselamatan?” Louis Arnold George Morris bertanya lagi.
“Ada,” H. H. Brich mengakui. “Tiga minggu sebelum kematian Veer Singh, jaga bernama Begail Singh mengadu kepada saya bahawa wang tiga puluh ringgit di dalam poket bajunya yang digantung di bilik hilang semasa dia pergi kerja.”
Pengurus itu tidak pernah pergi ke pondok tempat tinggal para pengawal keselamatan tetapi dia tahu bahawa dinding antara bilik-bilik itu agak rendah dan memang boleh dipanjat kalau mahu.
Menjawab satu lagi pertanyaan, H. H. Brich menegaskan bahawa tidak ada apa-apa masalah peribadi antara dia dan Veer Singh. Malah, lelaki Punjabi itu disifatkannya sebagai pengawal keselamatan terbaik di Tekka Mines.
“Berdasarkan rekod yang ada, Veer Singh pernah menjadi sipahi (askar British). Dan berdasarkan pemerhatian saya sendiri selama sepuluh bulan dia bekerja di Tekka Mines, saya boleh katakan Veer Singh seorang pekerja yang baik,” H. H. Brich mengesahkan.
Seterusnya, Louis Arnold George Morris bertanya jika pernah timbul masalah berkaitan kerbau.
“Memang ada. Beberapa ekor kerbau pernah masuk ke kawasan kami dan menyebabkan kerosakan. Jadi, saya minta jaga tangkap dan tambat. Mereka berjaya tangkap dua ekor kerbau tetapi seekor melarikan diri pada waktu malam,” jawabnya.
Menurut pengurus itu lagi, Veer Singh memberitahunya bahawa Tara Singh (tertuduh kedua) yang sengaja melepaskan kerbau itu. Tara Singh pula sebaliknya menuduh Veer Singh sengaja melepaskan kerbau berkenaan.
Butiran lanjut
perbicaraan kes akan dikongsi dalam Bahagian Tiga [di sini].