Perbicaraan kes pembunuhan Veer Singh berlangsung di Mahkamah Polis, Taiping mulai 7 Ogos 1925 (Jumaat) di hadapan Majistret T. S. Adams. Sementara pendakwaan dilakukan Penolong Pesuruhjaya Polis Perak Utara, ACP Louis Arnold George Morris dan Ketua Polis Daerah Taiping, Cif Inspektor D. J. Marquess, kelima-lima tertuduh diwakili Jones dan Fisher dari firma guaman Messrs Braddell and Fisher.
Saksi seterusnya yang dipanggil ialah Kartar Singh a/l Mutta Singh. Dia memegang kontrak pengangkutan kereta lembu bagi Kamunting Tin Dredging Company. Lelaki itu memaklumkan bahawa dia yang membantu Veer Singh menulis satu petisyen pada Sabtu, 28 Mac 1925.
Apabila Louis Arnold George Morris bertanya sama ada Kartar Singh kenal mana-mana tertuduh dalam kes ini, saksi itu mengaku mengenali Kishan Singh (tertuduh pertama) selama lima tahun dan Tara Singh (tertuduh kedua) selama hampir enam bulan.
“Semasa saya masih seorang pelajar sekolah, saya pernah melihat Kishan Singh yang menjadi seorang ahli gusti. Tara Singh pula dulu menjadi pemandu kereta lembu di Kamunting. Begitulah saya mengenali mereka. Tapi saya tak pernah melihat mereka berdua bersama-sama,” katanya.
Pihak pendakwaan kemudian memanggil Ramasamy, seorang penulis petisyen di Tupai, Taiping untuk memberi keterangan. Dia mengaku pernah membantu menulis satu petisyen bagi pihak Veer Singh pada Isnin, 30 Mac 1925.
“Veer Singh datang bersama kawannya, seorang konstabel polis, sebab dia tidak tahu bahasa Melayu,” katanya.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah penolong pengurus Ladang Windsor, Arthur James Grant Hose yang mula-mula menemui mayat Veer Singh di atas jalan raya di Batu 8, Jalan Batu Kurau.
“Untuk mengendalikan sesi muster atau roll-call iaitu sesi perhimpunan para pekerja kuli Windsor Estate, saya perlu berjalan sekitar suku batu menggunakan jalan utama. Pada pagi Jumaat, 17 Julai lalu, saya sedang pergi ke muster seperti biasa pada pukul lima pagi,” penolong pengurus ladang itu menceritakan dari kandang saksi.
Pada waktu itu, Arthur James Grant Hose ternampak satu objek yang meragukan di tengah jalan raya. Pada mulanya, dia menyangka seorang kuli yang mabuk sedang terbaring di situ.
“Saya sentuh tubuhnya dan suruh bangun. Tapi sebaik disentuh, saya sedar orang itu sudah mati sebab tubuhnya sejuk,” lelaki itu meneruskan penceritaan. “Saya terus menjerit ke arah banglo saya yang terletak berhampiran untuk memanggil pekerja saya, seorang lelaki Malayali, supaya bawa lampu."
Dengan bantuan cahaya lampu, maka penolong pengurus ladang itu dapat mengesahkan objek berkenaan memang mayat seorang lelaki Punjabi. Kaki dan seluruh tubuhnya luka parah.
“Saya segera memanggil seorang kuli Tamil bernama Sockalingam. Dia ialah tukang masak di Hospital Ladang Windsor. Saya suruh dia segera menunggang basikal ke Balai Polis Kamunting untuk melaporkan penemuan mayat itu.”
Arthur James Grant Hose diminta menggambarkan keadaan mayat yang ditemui. Katanya, mayat terbaring terlentang dengan muka mengarah ke atas. Kepala mengarah ke Batu Kurau dan kaki ke arah Taiping. Kain turban yang biasanya dipakai lelaki beragama Sikh tiada pada kepala mangsa; rambutnya pula terurai.
“Saya masih ingat bahawa bahagian dagu dan janggut sudah tiada. Seperti sudah tercabut dari wajah mangsa. Di sisi kiri dan kanan mayat, ada tanda tayar kereta. Jadi, saya rasa mayat itu diheret menggunakan kereta dan kemudian ditinggalkan di tengah jalan. Ada juga darah di atas jalan raya.”
Keadaan fizikal mayat Veer Singh diperincikan lagi oleh saksi seterusnya iaitu Dr. James Noel Banks, pegawai perubatan di Hospital Daerah Taiping. Beliau melakukan bedah siasat pada pukul 10:00 pagi, 18 Julai 1925 (Sabtu).
“Konstabel 2858 ada bersama semasa prosedur ini. Sebagaimana dinyatakan dalam laporan bedah siasat, seluruh tubuh diliputi pasir. Pipi mangsa luka teruk. Kedua-dua siku lengan cedera parah dan ada tulang yang hilang. Pergelangan tangan dan jari juga cedera,” doktor itu menjelaskan.
Hasil bedah siasat juga mendapati ada kecederaan pada bahagian dada, serta luka pada tulang rusuk, pinggul, pinggang, dan sebagainya. Otot pada pinggang dan paha terkoyak, manakala tulang paha hilang. Kepala mangsa cedera dan bengkak; paru-paru bocor.
Tentu sahaja segala penerangan secara terperinci ini memeranjatkan dan mengejutkan orang ramai – khasnya penduduk keturunan Punjabi – yang mengikuti perbicaraan kes di mahkamah. Pasti sahaja mereka dapat membayangkan betapa ngeri keadaan mayat Veer Singh yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam.
“Kecederaan pada dada kemungkinan besar berlaku sejurus sebelum mangsa meninggal dunia. Maknanya, mangsa masih bernyawa semasa tubuhnya diseret di atas jalan raya. Kebanyakan kecederaan dan luka memang menunjukkan bahawa tubuh mangsa telah diheret di atas jalan raya bagi suatu jarak yang agak jauh,” James Noel Banks memberikan pandangan profesional berdasarkan bedah siasat ke atas mayat Veer Singh.
Menurutnya lagi, terdapat juga kecederaan akibat mangsa dipukul menggunakan benda tumpul seperti baton atau cota yang biasa digunakan konstabel polis.
Doktor itu turut ditanya sama ada beliau diarah memeriksa kelima-lima tertuduh. Menurutnya, beliau tidak menemui sebarang kecederaan atau luka baharu pada tubuh kelima-lima tertuduh.
“Bagi Kishan Singh (tertuduh pertama), saya tidak menemui sebarang ulser atau luka yang dikatakan menjadi punca kesan tompokan darah pada kain sarungnya yang diambil oleh polis sebagai barang kes. Walau bagaimanapun, bagi Begail Singh (tertuduh keempat) pula memang ada ulser teruk pada tapak kaki,” James Noel Banks memaklumkan.
Pengakuan
pemandu kereta yang terbabit dalam insiden ini boleh dibaca dalam Bahagian Empat [di sini].
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]